Wednesday, April 27, 2011

Senang ambil kawan berlakon

  • Foto

  • Foto

    SHARIFAH Amani membawakan watak Tengku Zalia dalam drama bersiri Cita dan Cinta.

Memudahkan kerja kerana masing-masing sudah ada pengalaman

BUNYINYA macam pilih kasih atau kroni tetapi apa sekalipun yang hendak diperkatakan, segala-galanya bagaikan tidak dipedulikan oleh pengarah muda, Azma Aizal Yusoof kerana asyik menggunakan orang sama dalam drama arahannya.Alasannya, senang untuk bekerjasama. Lagi pun, kawan yang dipilih pula bukanlah orang baru dalam bidang lakonan dan ia memudahkan tugasannya sebagai pengarah.
Memanglah sesekali timbul juga rasa serba salah hendak membuat teguran kalau ada sebarang aksi tidak memuaskan hati, kerana maklumlah mereka adalah kawan baik iaitu Bront Palarae, Sharifah Amani dan Norkhiriah.

Bagaimanapun, Azman tidak menghadapi masalah rumit kerana mereka memberikan kerjasama yang baik walaupun diakui masing-masing dikenali sebagai mempunyai nama besar dalam bidang lakonan.

“Kami sudah berkawan lama jadi faham perangai masing-masing. Bagi saya tak ada masalah untuk bekerja dengan mereka kerana masing-masing sudah ada pengalaman dan pandai membawa watak dengan berkesan,” katanya.

Walaupun drama terbaru arahannya, Cita dan Cinta tidak membabitkan Bront dan Noorkhiriah, tetapi bagi Azma setiap drama yang dihasilkannya akan turut dibintangi salah seorang daripada mereka.
Baginya, pemilihan mereka adalah satu langkah untuk menaikkan lagi nama mereka disamping mempunyai keupayaan dan karektor tersendiri yang mampu mewarnakan lagi dramanya.

“Saya tak payah nak bagi arahan sangat sebab mereka boleh membawakan watak tersendiri cuma saya akan tambah sedikit apa yang kurang dan itulah yang membuatkan saya senang untuk mengambil mereka berlakon.

“Kalau orang nak cakap saya ini asyik ambil rakan sendiri berlakon biarlah. Kalau bukan saya siapa lagi walaupun mereka memang sedia maklum sudah ada nama dalam bidang ini,” katanya.

Pada perancangan awalnya Bront dan NorKhiriah dipilih untuk membintangi dramanya namun kerana Bront terbabit dengan tugas lain manakala Khiriah kini sedang berpantang selepas bersalin, Nani pula yang menjadi pilihannya.

Watak yang dilakonkan Nani sebagai Tengku Zalia kembar kepada Azlan lakonan Izzue Islam dalam drama terbabit dilihat satu karektor yang berbeza berbanding lakonannya sebelum ini.

Tengku Zalia adalah gadis dari keluarga kaya yang mementingkan penampilan diri dan gemar membeli belah, adalah satu karektor di luar imaginasi Sharifah Amani atau Nani.

Malah, Nani sendiri berasa teruja membawakan watak terbabit yang disifatkannya sebagai mencabar keupayaan walaupun dirinya tidak sedemikian dan sukar untuk menjiwai watak yang lebih feminin.

“Watak Tengku Zalia seorang yang lengkap tetapi tidak stabil sebab dia seorang yang sombong dan bongkak. Watak saya dalam drama ini memang sedikit mencabar dan lain daripada watak sebelum ini. Ini kerjaya saya jadi kena beri komitmen 100 peratus walaupun watak yang saya bawa bukan diri sebenar,” katanya.

Drama yang mengisahkan tentang kehidupan enam remaja terbitan Radius One Sdn Bhd ini mengupas isu terkini remaja yang membabitkan percintaan, kasih sayang antara keluarga dan persahabatan.

Drama 13 episod ini mula ditayangkan di slot Aurora di TV9 bermula 21 April lalu memberi fokus kepada penonton remaja sebagai sasaran stesen TV terbabit. Pelakon lain dalam drama Cita dan Cinta itu, Chomel Fana (Indah), Beto Khusyairi (Fiq), Nadia Aqilah (Diya) dan Keifli Idir (Jimmy).

Geli dikatakan bercinta

KEAKRABAN Nani dan Azma menimbulkan spekulasi yang kurang enak didengar sehinggakan ada yang beranggapan hubungan intim mereka membuahkan bibit-bibit percintaan.

Hakikatnya, dakwaan itu disangkal kedua-dua mereka dan menyifatkan gosip terbabit sekadar untuk menarik perhatian orang, malah gambar mereka berdua di tepi kolam renang di dalam laman sosial Facebook Azma adalah sekadar suka-suka.

“Rasa geli bila ada yang kata kami ini sedang bercinta. Saya memang rapat dengan Nani dan memerlukan dia dalam memberikan kata semangat dan menyokong saya dari belakang dalam industri ini sebab hanya dia saja yang faham saya,” jelas Azma.

Bagi Nani, tanggapan sebegini tidak memberikan apa-apa makna dan hanya sekadar gosip liar tetapi keluarganya mengetahui perkara sebenar hubungannya dengan Azma.

Malah, ibunya, Fatimah Abu Bakar sendiri tercuit tak kala terbaca gosip terbabit dan menganggap hanya sekadar kosong tak berasas.

“Kami sudah berkawan lama termasuk dengan Bront dan Khiriah jadi tak ada apa yang dapat mengaitkan hubungan kami melainkan sekadar kawan rapat dan saling ambil berat antara satu sama lain.

“Sekarang saya nak tumpukan kepada lakonan dan menceburi pengarahan, nak jadi seperti arwah Yasmin Ahmad,” kata Nani.

Nani kini lebih menumpukan kerjayanya, malah amat serius dalam melakukan kerja dan kini mula berjinak-jinak dalam penulisan skrip sebelum membabitkan diri dalam bidang pengarahan.

Mana tidaknya, Nani meletakkan impian akan menulis skrip filem romantik drama yang akan dihasilkan tahun ini.

Baginya, setiap pelakon mengimpikan untuk mengembangkan sayap lebih luas lagi dan tidak tertumpu kepada bidang lakonan semata-mata kerana Nani beranggapan terdapat banyak cabang dalam industri ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: