Sunday, April 3, 2011

Istana kelengkapan perkahwinan


Tingkat dua menampilkan hiasan pelamin.


BERKONSEPKAN perniagaan francais premis tiga tingkat, Dios Astana Bridal menawarkan pelbagai produk kraf tangan dan kelengkapan andaman perkahwinan.

Istana kelengkapan perkahwinan itu merupakan kota fesyen untuk barangan pengantin.

Daripada sebuah pelamin, busana pengantin dan hadiah untuk para tetamu, semuanya ada di Dios. Bagi yang bercita-cita membina empayar perniagaan perkahwinan, anda boleh memilih francais Dios.

Dios Astana Bridal adalah pusat kraf tangan perkahwinan dan kelengkapan andaman. Ia memang terkenal di kalangan mak andam atau mereka yang berkecimpung dalam bidang perkahwinan, kerana konsep borongnya.

Sebut apa sahaja keperluan yang diingini oleh si pengantin semuanya ada di sini.

Barangan seperti reben, busana pengantin, kelengkapan pelamin, bunga telur, cenderahati, kraf tangan, tekstil, kad undangan dan pakej hantaran semuanya ada.

Malah pengantin juga boleh menempah baju mengikut cita rasa dan impian masing-masing.

Pengarah Urusan Dios Astana Bridal, Zaidi Osman memberitahu, program francais dalam perniagaan kelengkapan perkahwinan ini dibuka khusus untuk bumiputera yang berminat.

“Kepada francaisi, apa sahaja barang yang dikehendaki akan dibekalkan oleh Dios . Kita akan beri galakan dan modal serta barangan. Namun tidak perlu bimbang kerana 80 peratus daripada modal akan mendapat peruntukan PNS (Perbadanan Nasional Berhad),” katanya.

Zaidi menambah tujuannya membuka dan memperkenalkan program francais kelengkapan perkahwinan di bawah satu bumbung bagi berkongsi dan mengimbangi perniagaan yang 90 peratus daripadanya dimonopoli oleh bukan bumiputera.

“Kita harus ingat industri perkahwinan Melayu sekarang ini bukan dimonopoli oleh bumiputera. Ia adalah sesuatu yang janggal apabila budaya kita orang lain yang uruskan.

“Di samping itu, kita juga ingin memberi peluang kepada pengusaha bumiputera yang berminat untuk berniaga dan memudahkan penawaran barangan perniagaan dan stok di seluruh Malaysia,” ujarnya yang turut menaja busana finalis Pencarian Citra Wanita anjuran Mingguan Malaysia tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: