Wednesday, April 6, 2011

Isma tukar haluan


Isma (dua dari kiri) dan Tauke (kiri sekali) menerangkan babak yang perlu dilakonkan untuk salah satu adegan dalam filem Sofazr The Movie ‘Jiwa Kacau’.


DI tangan pengarah yang masih hijau dalam dunia pembikinan filem, Nusanbakti Corporation Sdn. Bhd., berani mengeluarkan bajet RM1.2 juta untuk menerbitkan filem Sofazr The Movie ‘Jiwa Kacau’.

Hanya bersandarkan kepada minat, bekas peserta program realiti televisyen Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), Ismaliza Ismail diberikan tanggung jawab untuk mengarahkan filem tersebut.

Isteri kepada penyanyi kumpulan 2 By 2, Zul itu berkata, dia berani terjun ke bidang pengarahan kerana kepercayaan yang diberikan oleh pihak penerbit kepada dirinya.

Justeru, tanpa berfikir panjang, dia sanggup duduk di kerusi pengarah bagi melaksanakan tugas dan tanggung jawab tersebut.

Siapa sangka bekas pelajar AF yang sememangnya tiada pengalaman dalam bidang pengarahan itu berani untuk duduk di atas kerusi pengarah bagi filem yang menelan belanja RM1.2 juta itu.

"Sebenarnya, saya tidak mengarah filem itu secara sendirian sebaliknya dibantu oleh Tauke Raja Lawak.

"Apabila ada adegan yang melibatkan Tauke, barulah saya mengambil tempat sebagai pengarah,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran filem tersebut di The Wood Resort, Ulu Yam, Selangor, baru-baru ini.

Isma yang juga kakak kepada Tomok, juara One In A Million (OIAM) musim ketiga ini mengakui, dia tidak memiliki ilmu pengarahan yang mencukupi.

Namun kesanggupan ibu kepada lima cahaya mata ini untuk mempelajari selok belok bidang pengarahan membuatkan dia sanggup terima cabaran serta kritikan daripada pelbagai pihak.

"Saya banyak bertanya dan meminta pendapat mereka yang lebih arif dalam bidang ini kerana untuk menjadi yang terbaik, kita perlu belajar dan terus belajar.

"Saya amat bertuah kerana dalam filem ini, pelakon, pelawak dan pengarah veteran A.R Badol adalah salah seorang barisan pelakon filem Sofazr The Movie ‘Jiwa Kacau’.

“Badol banyak memberi tunjuk ajar dan membantu saya sepanjang menjalankan kerja-kerja pengarahan.

“Memang benar apa yang dikatakan orang, tugas seorang pengarah bukan sekadar menyebut “ready for take, action and cut” semata-mata.

“Sebaliknya, lebih daripada itu. Krew produksi dan pelakon banyak membantu. Jadi, saya menjadi yakin untuk melaksanakan tugas sebagai seorang pengarah," ujar penyanyi lagu Aku Bukan Pilihanmu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: