Wednesday, April 6, 2011

Amy mahu lahirkan bintang


AMY... Pengetua AF9.


SELAMA ini ramai peminat dan pengkritik muzik tempatan memandang sinis terhadap program realiti televisyen (TV) Akademi Fantasia (AF) kerana program terbitan Astro Ria itu dikatakan belum benar-benar melahirkan penyanyi berkaliber.

Paling memedihkan apabila ada yang melabelkan bintang-bintang kelahiran AF seperti artis mee segera yang pada dasarnya popular tetapi kurang berkualiti.

Maka itu, bukan sahaja artis keluaran AF menjadi tumpuan sebaliknya perhatian turut terarah kepada pengetua dan tenaga pengajarnya sehinggalah ke musim terakhir program tersebut.

Selaku pengetua AF9, penyanyi rock tersohor Amy Search menyedari dia juga tidak dapat lari daripada semua kritikan yang bakal menjelma dan cabaran.

Biarpun dia yakin dengan bakat 12 pelajar yang memasuki akademi tersebut, vokalis kumpulan Search itu berazam untuk membimbing para peserta terbabit.

“Saya boleh mengubah mereka. Saya yakin mereka mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang nyanyian.

“Mereka juga nanti akan belajar lebih mendalam bagaimana untuk menjadi orang seni. Ada di antara mereka yang sudahpun 'memukau' saya.

“Kita kena beri ruang dan peluang kepada mereka. Saya dapati mereka mempunyai sikap tersendiri.

“Tanggungjawab saya adalah untuk mencurahkan pengalaman yang ada kepada mereka. Ini kerana, perjalanan seni mereka akan bermula selepas berakhirnya AF9 nanti.

“Kalaulah saya sudah dapat melihat 'bintang' itu nanti, maka saya akan terus berada di belakang mereka,” kata Amy pada sidang akhbar seusainya Konsert Tirai AF9 di sebuha pusat membeli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada konsert selama dua jam 30 minit dan disiarkan menerusi Astro Ria itu, 12 pelajar AF9 iaitu Azri, Aida, Laika, Afif, Amir, Nera, Raqib, Miza, Kay, Eka, Lena dan Erul masing-masing menyampaikan dua buah lagu secara medley di hadapan hampir 5,000 penonton.

Menurut Amy atau Suhaimi Abdul Rahman, selain mengambil kira suara dan bakat persembahan, dia turut mengambil kira soal penampilan serta kesungguhan para peserta AF musim terakhir itu sebagai antara kriteria penting sebelum bergelar bintang.

“Saya melihat seseorang pelajar AF9 itu daripada gaya dan persembahannya yang menonjol sewaktu berada di atas pentas.

“Walaupun saya dapati ada yang gemuruh tetapi mereka begitu bersemangat untuk melihat diri masing-masing. Malah, mereka juga seronok.

Banyak tekanan

“Bagi saya AF lebih mencabar berbanding program realiti TV lain. Saya pernah menjadi mentor dalam program Mentor tetapi saya dapati AF lebih banyak tekanan. Kita mengajar pelajar AF dan bersedia untuk melihat mereka hampa selepas tersingkir kelak,” ujarnya.

Amy merupakan pengetua AF selepas Datuk Freddie Fernandez (AF1), Datuk Ramli MS (AF2, AF6), Datuk M. Nasir (AF3), Ramli Sarip (AF4), Roslan Aziz (AF5), Datin Seri Tiara Jacquelina (AF7) dan Norman Abdul Halim (AF8).

Sewaktu ditanya bagaimanakah perasaannya apabila menjadi pengetua AF9 biarpun sebelum ini desas-desus bertiup kencang mengatakan Ahmad Dhani, gitaris dan vokalis kumpulan rock Indonesia, Dewa 19 disebut-sebut sebagai calon tersebut, Amy berkata, dia berserah kepada takdir.

“Syukur kerana saya diberi peluang menjadi pengetua AF9. Saya percaya kalau sudah rezeki ia tidak akan ke mana.

“Semoga saya dapat curahkan jiwa dan raga saya untuk adik-adik kita ini yang mahu menjadi bintang.

“Saya menerima tawaran ini pun beberapa bulan lalu. Mulanya isteri saya (Nourish) tanya sama ada saya mahu terima tawaran itu ataupun tidak.

“Pada mulanya saya tidak mahu terima tetapi apabila fikir semula, saya rasa saya mahu beri sesuatu kepada AF9 ini,” komennya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: