![]() |
| DR. Rahmat Omar menunjukkan cara menggunakan sistem sokongan universal bagi pakar bedah. |
TUGAS seorang pakar bedah memang mencabar terutama apabila sesuatu pembedahan memakan masa yang lama. Tentu saja tempoh pembedahan yang memakan masa lama tanpa henti meletihkan selain perlu melakukan pembedahan lain selepas itu.
Keletihan akan menyebabkan tangan tidak dapat memegang peralatan pembedahan dengan stabil.
Walaupun ada pembantu memegang peralatan pembedahan tetapi masalah ketepatan perlu diambil kira.
Justeru itu pakar telinga, hidung dan tekak yang juga pakar bedah kepala dan leher di Pusat Kepakaran Universiti Malaya, Dr. Rahmat Omar berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi olehnya serta pakar bedah lain.
"Tujuan saya adalah mereka bentuk sistem sokongan universal bagi lengan dan pergelangan tangan semasa melakukan pembedahan di kawasan larinks, tenggorok dan farinks,"katanya semasa ditemui di Ekspo Teknologi Malaysia yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bagi memberikan ciri ergonomik serta sudut terbaik dalam tugas, Dr. Rahmat membangunkan sokongan lengan yang boleh diubah berasaskan ketinggian dan kedudukan lengan dan siku semasa dalam keadaan duduk.
Sebelum ini pakar bedah menggunakan kerusi khusus untuk pakar bedah yang berharga lebih kurang RM20,000. Tetapi masalah keletihan lengan tidak dapat diatasi kerana kurang kestabilan pada lengan.
Beliau yang menggunakan sokongan lengan yang dibangunkan sendiri bagi menguji inovasi selama setahun pada model bagi menentukan kestabilannya.
"Saya mereka bentuk sokongan lengan ini sendiri dan menghantarnya ke bengkel bagi mendapatkan bentuk yang dikehendaki," katanya yang membinanya selepas waktu kerja.
Selepas berjaya membina prototaip pertama, Dr. Rahmat mengubah dan menghalusi prototaip ke arah reka bentuk ideal bagi versi terakhir.
Reka bentuk yang dihasilkan berdasarkan kepada kedudukan pakar bedah semasa pembedahan sebenar.
"Saya juga mengambil kira ukuran pesakit, katil pembedahan, ketinggian pakar bedah serta kedudukan lengan ketika menggunakan mikroskop atau endoskop dan semasa tidak menggunakannya," katanya.
Kajian yang dijalankan menggunakan dana sendiri belum lagi dipatenkan.
Beliau berharap inovasi berkenaan dapat dipatenkan dan seterusnya digunakan oleh pakar-pakar bedah di seluruh negara selain dapat mengurangkan kos membeli kerusi pembedahan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: