![]() |
| |
MEMANG sungguh menakjubkan!.” Itulah kata-kata yang terpacul ketika pertama kali menaiki Airboat atau Hydrodrive ciptaan tokoh inovasi tempatan, Zulkifli Haron di Tasik Biru, Kampung Kundang, Selangor baru-baru ini.
Lebih menarik Airboat ciptaan Zulkifli menerusi syarikatnya Zull Design Autotronic (ZDA) lebih stabil berbanding dengan bot biasa.
Reka bentuk Airboat yang leper pada permukaan dan tajam di depan seperti bot biasanya menjadikannya lebih stabil dan tidak bergoyang walaupun dipandu pada kelajuan 60 hingga 80 kilometer sejam (km/j).
Zulkifli berkata, idea mereka bentuk Airboat timbul apabila melihat kos membeli sebuah hoverkraf yang boleh mencapai sehingga RM200,000.
Malah, keperluan hoverkraf amat luas seperti bagi kegunaan kerja menyelamat semasa banjir, membersihkan sungai, kegiatan riadah di tasik atau sungai, penyelidikan dan aktiviti memancing.
Ini kerana hoverkraf boleh digunakan pada tempat-tempat sempit, sungai yang kotor, kawasan paya bakau berlumpur dan kawasan tasik yang mempunyai sisa tunggul kayu.
Malah semasa uji pandu Airboat di beberapa buah sungai di Terengganu, Zulkifli mendapati banyak sungai yang berpotensi dibangunkan sebagai produk pelancongan berasaskan sumber semula jadi.
Bukan itu saja, ia juga sesuai dijadikan pengangkutan air di Sabah dan Sarawak yang banyak bergantung kepada sungai.
Di sana bot-bot kecil yang menghulu sungai biasanya terpaksa diangkat apabila melalui kawasan cetek tetapi Airboat boleh beroperasi di bukan saja di sungai berbatu tetapi juga di padang bola yang basah.
“Bagaimanapun dalam masa dua tahun, kami menghadapi pelbagai masalah seperti terlalu berat dan kurang kuasa.
“Sehinggalah kami mendapatkan Airboat yang benar-benar ideal dan sesuai semasa diuji di beberapa tempat terutama di sungai dan tasik, katanya.
Memandangkan tiada syarikat tempatan membina hoverkraf, Zulkifli menyahut cabaran tersebut dengan menjalankan kajian selama lebih dua tahun.
Menggunakan semua bahan-bahan tempatan yang mudah didapati, airboat berkenaan amat mudah dikendali dan diselenggara.
“Airboat hanya menggunakan enjin kereta 1,600 kuasa kuda (CC) yang diubahsuai bagi disambungkan dengan kipas dengan diameter 1.5 meter,” katanya.
Selain itu, terdapat drive fin atau sirip di kiri kanan bahagian hadapan Airboat bagi membolehkannya ‘terbang’ di atas air.
“Jika diamati betul-betul, airboat dengan bantuan drive fin akan terapung di atas air setinggi satu hingga dua inci.
“Tetapi masalahnya, Airboat sukar dikendalikan kerana tiada sentuhan dengan permukaan air,” katanya.
Konsep sama seperti kereta, hoverkraf menggunakan kunci bagi menghidupkan enjin, mempunyai pedal minyak, flip di belakang kipas yang bertindak sebagai kemudi.
Malah enjin airboat juga menggunakan minyak pelincir, bateri, tali sawat dan mempunyai radiator dan kipas bagi menyejukkan enjin.
Airboat menggunakan minyak petrol dan boleh beroperasi tanpa henti selama satu jam menggunakan satu gelen petrol berbanding dengan bot biasa yang hanya dapat beroperasi selama 15 minit dengan satu gelen petrol.
Zulkifli berkata, bot yang diperbuat daripada gabus yang dilapisi dengan fiber mempunyai berat hanya 30 kilogram(kg).
“Berat bot dengan enjin pula tidak melebihi 100 kg dengan saiz 12 kaki panjang, enam kali lebar dan kedalaman satu kaki,” katanya.
Bercerita mengenai penyelenggaraan pula, Zulkifli berkata, mana-mana mekanik boleh menyelenggara airboat kerana enjinnya sama seperti kereta.
Apa yang menarik, Airboat yang diuji pandu di Tasik Biru merupakan prototaip. Jika ada yang berminat untuk memiliki, mereka boleh menempah dengan reka bentuk sendiri.
Dengan kata lain, Airboat boleh direka khusus bagi memenuhi keperluan pelanggan. Sama ada dengan menambah keluasan, bumbung, tempat duduk atau apa saja bagi keselesaan.
“Buat masa ini kami telah mereka dua bentuk Airboat iaitu dua tempat duduk dan empat tempat duduk,” katanya.
Pembaca yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai ciptaan Zulkifli yang lain boleh melayari laman sesawang www.zulldesign.com.my.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: