Friday, April 1, 2011

Hidangan dari resipi asli Johor


Aima Manap (empat dari kanan) bersama para pekerjanya dengan hidangan yang membangkitkan selera.


SUASANA di Restoran Le Lac begitu tenang dengan dekorasi dan lokasinya yang strategik. Ia sekali gus menjanjikan pengalaman berbeza kepada setiap pelanggan yang memilih untuk menjamu selera di restoran berkenaan.

Perkataan Le Lac diambil daripada bahasa Perancis yang membawa maksud tasik memandangkan lokasi restoran itu yang terletak bersebelahan dengan sebuah tasik di sebuah taman rekreasi di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Hiasan dalaman restoran itu yang kemas dan teratur membuatkan selera setiap pelanggan ketika menjamah nasi putih bersama gulai asam pedas ikan tenggiri ketika hidangan makan tengah hari semakin menyelerakan.

Harga makanan yang berpatutan di restoran ini membuatkannya sesuai untuk dikunjungi oleh pelajar universiti memandangkan lokasinya yang berdekatan dengan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Selangor (Unisel).

Suasana dalam restoran yang tenang juga sesuai untuk setiap lapisan masyarakat termasuk mereka yang ingin menjamu selera bersama ahli keluarga di hujung minggu.

Pemiliknya, Aima Manap, 36, berkata, restoran yang mula beroperasi sejak 10 bulan lalu itu mula menjadi pilihan masyarakat setempat terutama pada bulan Ramadan tahun lalu.

''Restoran ini menjadi pilihan mereka yang tinggal berdekatan mungkin kerana harganya yang berpatutan dan sesuai untuk segenap lapisan masyarakat," katanya.

Antara makanan menu makanan Johor yang disediakan adalah claypot asam pedas, mi rebus Johor, sizzling mi Bandung, laksa Johor dan laksa asam.

Set makanan nasi putih yang dihidangkan bersama gulai claypot asam pedas ikan pari bersama air minuman sirap limau yang berharga serendah RM 7.90 adalah antara pilihan setiap pelanggan yang datang ke restoran ini.

Selain makanan tempatan, ia turut menyediakan makanan dari Asia Barat iaitu nasi Arab yang dimasak sendiri oleh chef dari Yemen yang mampu untuk membawa keaslian rasa nasi Arab yang disediakan di restorannya.

Selain makanannya yang menyelerakan, restoran ini turut popular dengan hidangan air istimewanya seperti kedondong asam boi dan epal asam boi yang boleh didapati dengan hanya RM3.

Tambah Aima, restorannya juga menyediakan juadah pencuci mulut seperti otak-otak, tauhu bakar, ais kacang dan cendol.

Kuih-muih tradisional seperti bingka ubi turut terdapat di restoran ini yang boleh dinikmati dengan kopi atau teh yang serasi dengan semua cita rasa.

Dibantu 18 pekerja, Aima berkata, restorannya mampu untuk menerima lebih 180 pelanggan dalam satu masa.

Restoran ini turut menyediakan bilik berhawa dingin dan layar televisyen bagi memudahkan pelanggannya menikmati perlawanan bola sepak antarabangsa secara langsung sambil menikmati juadah makanan.

Operasinya bermula pada pukul 11 pagi hingga 3 pagi dan ia menyediakan hidangan secara bufet serta ala carte. Selain itu, Le Lac turut menerima tempahan untuk majlis kenduri, majlis rasmi korporat dan sebagainya.

Orang ramai yang berminat untuk mengunjungi atau membuat tempahan boleh menghubungi 017-2851047 dan 012-3791995. Restoran Le Lac ini boleh dikunjungi di alamat 2G, Jalan Kristal A, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: