![]() |
| |
KUMPULAN kulit hitam, The Platters yang popular pada tahun 1950-an di Amerika Syarikat (AS) terus meninggalkan nostalgia dengan lagu-lagu malar segar mereka biarpun penyanyinya silih berganti sejak enam dekad lalu.
Donne Ray Radford salah seorang bekas penyanyi kumpulan legenda yang mula mencipta nama di Las Vegas, AS itu yang meneruskan bidang nyanyian di merata-rata pelosok dunia termasuklah di negara ini.
Beliau yang menganggotai The Platters dari tahun 1986 hingga 1992 kini singgah di Kuala Lumpur bagi mengimbas semula lagu-lagu kumpulannya yang masih popular pada persembahan Minggu Setiausaha esok, 20 April.
Menurut Donne, pada persembahan yang akan diadakan di Hotel Equatorial itu, dia akan menyanyikan 20 lagu-lagu popular The Platter yang bersadurkan irama blues dan jazz yang tidak luput ditelan zaman.
"Mungkin ada di antara anda yang belum lahir saat lagu-lagu The Platters popular pada tahun 1950-an. Tetapi saya rasa, ramai peminat yang masih ingat lagu-lagu kami termasuklah generasi muda yang mampu menghayatinya.
"Ini kerana irama lagu-lagu kami masih relevan didengar sehingga kini. Saya merupakan penyanyi generasi keempat The Platters yang tidak jemu-jemu menyanyikan lagu-lagu kumpulan ini sampai bila-bila," katanya.
Pada persembahan sempena Minggu Setiausaha yang mengenakan bayaran RM200 dan ke atas itu, Donne antaranya akan menyanyikan lagu-lagu popular The Platters seperti Only You, The Great Pretender dan Smoke Gets In Your Eyes.
Jelas Donne yang telah hampir lima tahun menetap di negara ini banyak mengadakan persembahan di hotel-hotel dan majlis makan malam di mana kebanyakan lagu-lagu The Platters yang disampaikannya masih diingati ramai.
"Selain lagu-lagu The Platters, saya juga akan cuba mempelbagaikan lagu-lagu nyanyian saya misalnya dengan menyanyikan lagu-lagu popular penyanyi seperti Stevie Wonder, Lionel Richie dan Al Jarreau pada persembahan hampir dua jam itu.
"Bukan setakat menikmati lagu-lagu saya dan makan tengah hari, para pengunjung yang bertuah juga berpeluang memenangi cabutan bertuah berupa televisyen LCD 32 inci dan tiket penerbangan ke Taipei, Taiwan tajaan China Airlines," ujarnya.
Persembahan Donne juga akan diselang-selikan dengan pertunjukkan fesyen pereka terkenal dari Venezuela iaitu Nila Palacios. Sebarang tempahan untuk persembahan itu sila hubungi talian 03-21617777 atau 03-21605510.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: