Tuesday, April 19, 2011

Cara terbaru raikan setiausaha


PENAMPILAN Al-Farabi Band untuk menghiburkan hadirin di majlis sambutan Minggu Setiausaha di Hotel DePalma, Ampang baru-baru ini.


Ibarat menghadiri kursus motivasi atau kem jati diri. Begitulah gambaran yang dapat diberikan ketika para setiausaha hadir pada majlis makan tengah hari sempena sambutan Minggu Setiausaha anjuran Human Capital Development Service (HCDS) bertempat di Hotel DePalma, Ampang, baru-baru ini.

Majlis itu digarap dengan sedikit kelainan apabila menampilkan dua pakar motivasi, Datuk Dr. Maznah Hamid dan Prof. Dr. Ahmad Lothfi Ibrahim, bukannya penyanyi popular tanah air.

Majlis yang bermula pukul 11.30 pagi itu dilihat kurang tepat untuk dijadikan sebagai satu hari bagi meraikan insan-insan penting dalam sesebuah organisasi.

Usaha HCDS yang cuba menyajikan satu kelainan memang dipuji tetapi selaku penganjur, HCDS sepatutnya menggarap majlis itu dengan lebih kemas lagi agar dapat dielakkan rasa kebosanan.

Andai majlis itu diilhamkan bertujuan meningkatkan motivasi para setiausaha agar lebih berdedikasi dalam menjalankan tugas, biarlah gelanggang yang dipilih bertepatan.

Ironinya, setiap majlis sambutan minggu setiausaha yang dianjurkan bersifat santai agar minda yang serabut dapat ditenangkan.

Namun persoalannya, apakah percaturan yang dibawakan oleh HCDS itu dapat membangkitkan rasa dihargai di kalangan setiausaha yang hadir pada hari itu?

"Kami cuba menampilkan kelainan kerana kami mahu setiap setiausaha yang hadir pada majlis ini memperoleh ilmu apabila mereka melangkah keluar tatkala majlis tamat.

"Kebiasaannya setiausaha dihiburkan dengan persembahan artis sahaja dan apabila majlis tamat, ia habis begitu sahaja."

Begitulah pandangan Pengarah Program, Shaharul Ridzuan Shamsuddin dalam ucapan ringkasnya di majlis tersebut.

Kehadiran aktor popular tanah air, Rosyam Nor yang diberikan satu slot istimewa pada majlis makan tengah hari itu, berjaya menghidupkan suasana yang hambar.

Senario janggal yang terpancar di wajah hadirin, akhirnya kelihatan ceria dengan celoteh Rosyam tentang usahanya untuk mendapatkan anak lelaki.

Pelengkap majlis pada hari itu ialah kemunculan kumpulan rock berkonsep Islam, Al-Farabi Band yang menghiburkan hadirin dengan lagu popular mereka termasuk Seruan, Sunnah Berjuang, Pahlawanku dan Evolusi selain instrumental Searching The True.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: