|
|
RUANGAN Stadium Merdeka Kuala Lumpur kembali bingit dengan pekikan ribuan manusia. Masing-masing mahu menyaksikan kehebatan idola remaja dunia, Justin Bieber.
Kelincahan anak kelahiran Stratford, Ontario, Kanada ini di kaca televisyen dan alam maya melonjakkan rasa teruja. Konsert Jelajah Justin Bieber My World di Malaysia pada malam Jumaat lalu bagaikan ‘orang mengantuk disorongkan bantal’ buat penyokong Bieber.
Jadi tak hairanlah sepanjang konsert berlangsung kira-kira dua jam setengah itu, tidak ada satu pengunjung yang berdiam diri. Semuanya sibuk memanggil nama Bieber dan menyanyi bait-bait lagu bersama. Tangan dilambai dan ada juga yang melenggok-lenggok badan tanda terhibur.
Bermula dengan lagu Love Me, Bieber mengayunkan gerak tari mengagumkan. Lengkap berpakaian serba putih, pemilik nama sebenar Justin Drew Bieber ini kemudiannya mengganas. Bigger mengambil alih momentum kehebatan sebelum mempersembahkan bakat bermain instrumen.
Menerusi Runaway Love, anak muda berusia 17 tahun ini bermain gitar. Menggunakan tangan kiri, Bieber mengalunkan lagu tersebut penuh perasaan.
Pertanyaan ‘‘Perempuan cantik di sini, siapa yang masih belum berpunya?’’ menyebabkan penonton menjerit sambil mengangkat tangan keriangan. Justeru, didendangkan lagu berbaur percintaan One Less Lonely Girl.
Drama sebabak berlaku di atas pentas apabila seorang remaja perempuan menjadi model sepanjang lagu itu berlangsung. Sudah pasti menimbulkan rasa cemburu di kalangan peminat sejantina yang menyaksikan aksi ‘mesra’ mereka berdua di hadapan mata.
Somebody To Love sememangnya ditunggu-tunggu. Lengkap berpakaian serba hitam, Bieber menari dengan lenggok tersendiri. Biarpun tanpa mentor, Usher menyampaikan lagu berkenaan tanpa rasa kekok.
Penangan demam Bieber tak berhenti di situ. Never Say Never yang pernah dirakamkan bersama anak lelaki aktor Will Smith, Jade bertambah gegak gempita. Apabila penonton di setiap penjuru stadium ikut menyanyi bersama.
Lagu One Time mengambil tempat. Kali ini Bieber memakai jaket hitam merah yang dimeriahkan dengan persembahan tarian ‘breakdance’ oleh penari latar.
Tarian ‘moon walk’ yang dipopularkan oleh Michael Jackson kemudiannya mengambil tempat. Dia cukup selesa menyanyikan bait Walk This Way meski pun secara ringkas. Menariknya untuk slot ini, Bieber bertukar menjadi pemain drum pula. Semua dilakukan buat 17,000 peminatnya yang tak henti-henti menyokong di hadapannya.
Eenie Meenie dan Pray antara pilihan lagu Bieber untuk siri jelajah ke Malaysia kali ini. Elemen kejutan terletak sewaktu vokalis Good Charlotte, Joel Madden. Meskipun lagu Dance Floor Anthem yang dibawa kurang mesra kedengaran, namun tetap menambahkan perisa keseluruhan persembahan Bieber.
Sudah pasti lagu Baby ditunggu-tunggu. Bieber yang terjun dari pentas ke arah peminat di hadapannya untuk bersalaman. Kelincahan calon Anugerah Vokal Pop Terbaik Grammy Awards kali ke-53 ini menjadikan tarikh 21 April cukup bermakna sekali.
Sebenarnya, jika diamati betul-betul. Suara anak seni yang memulakan langkah dalam arus perdana sejak 2009 ini sudah pecah. Mungkin disebabkan faktor kepenatan.
Bieber perlu menyelesaikan jadual konsert jelajah ke 40 buah negara. Bermula di Birmingham, United Kingdom pada 4 Mac lalu. Selepas di Kuala Lumpur, dia perlu menjelajah ke 13 buah lokasi termasuk Jakarta, Indonesia, Brisbane, Sydney, Melbourne, Adelaide, Perth (Australia) dan diakhir di Tokyo pada 19 Mei.
Jadual padat dan persembahan selang tiga hari di kebanyakan negara tersenarai juga menyebabkan dia seakan ‘tergesa-gesa’ menyudahkan tugasannya. Kadang kala dia dilihat seperti Nick Carter, ahli Kumpulan Backstreet Boys membuat persembahan.
Apabila tiada lagi rambut yang dibawa ke depan seperti dilihat di klip videonya. Apa pun kehadiran Bieber ke Malaysia mencatat sejarah tersendiri. Menghilangkan rasa rindu buat fanatik ‘Belieber’ tanpa mengira warna kulit dan fahaman budaya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: