Sunday, April 24, 2011

Jejaka Indonesia dihati Dayang


Dayang


DAYANG Nurfaizah jarang bergulir dengan cerita hodoh lagi bodoh. Jarang sekali kedengaran perilaku buruk tentang artis yang satu ini, sementelah peribadinya sendiri cukup menyenangkan.

Pun, baru-baru ini tersebar cerita kurang molek tentang penyanyi hitam manis mesra disapa Dayang ini.

Kononnya dia akhir-akhir ini dilihat agak panas. Ini termasuklah dalam soal berpakaian. Usia mencecah 30 tahun, Dayang dengan selamba berani tampil dengan skirt pendek separas paha, gaun tanpa lengan dengan aksi cukup remaja.

Belum lagi tentang gambar-gambar adegan mesra di pentas bersama penyanyi Indonesia, Marcell yang menjadi persoalan peminat, kenapa Dayang izinkan diri dipeluk lelaki?

Apatah lagi kala di pentas, ia bukan satu perilaku yang sesuai tambahan buat seorang yang berstatus anak dara sepertinya. Tidak dapat lari daripada menjawab persoalan tersebut, Dayang mengakui dia tidak kisah dengan tanggapan yang diberikan.

Mengakui gambar-gambar mesra itu dirakamkan pada persembahan terbarunya dengan Marcell baru-baru ini, Dayang memohon ia tidak terus dijadikan isu.

“Kami sebenarnya terperangkap dalam emosi. Sesiapa saja yang menyanyi dengan Mercell akan sama, terperangkap dengan sikap romantis dia waktu di pentas. Dayang juga begitu.

“Bila Marcell memeluk bahu Dayang ketika kami menyanyi, anda fikir sendiri, adakah Dayang perlu tolak dan buat tidak suka? Sedangkan kami ketika itu sedang berada di pentas. Sebagai rakan duet, kita tak boleh pentingkan diri sendiri dan sentiasa berkongsi emosi waktu bersama supaya bait lagu sampai kepada penonton.

“Pada Dayang, selagi ia tidak disertakan dengan perasaan yang keterlaluan dan masih dalam situasi yang wajar, ia bukan satu persoalan yang besar untuk diperdebatkan,” katanya.

Mengharapkan agar semua pihak tidak tersalah anggap, apatah lagi dengan status Marcell sebagai suami orang, Dayang memberitahu aksi mesranya dengan Marcell itu turut ditonton oleh isteri penyanyi berkenaan.

“Isteri dia ada di sebelah. Marcell ni bila menyanyi, dia cukup romantis, dia memang akan buat kita rasa seronok dan menjiwa lagu tu. Isteri Marcell pun tahu kami memang sudah lama berkawan, jadi ia takkan jadi isu besar.

“Jangan pula buat tanggapan kononnya Dayang ada ‘apa-apa’ dengan dia semata-mata kerana kami mesra di pentas,” ulasnya.

Tentang isu semakin seksi pada usia menjengah 30-an, Dayang sendiri tertanya-tanya, di manakah seksi yang dimaksudkan itu? Apakah sebagai artis, dia tidak boleh memilih fesyen yang sesuai dengan cita rasa dan imej yang ingin ditampilkan?

“Dayang semakin seksi? Mungkin orang tak tahu, beginilah imej saya sejak dulu. Tapi tak apa, katalah apa saja, sekurang-kurangnya saya sentiasa dalam ingatan mereka. Saya akan ambil positif semua yang datang kepada saya dan tidak akan membuang emosi dengan berfikir negatif.

“Cakaplah apa saja, saya tak peduli kerana yang penting kepada saya ialah cari duit banyak-banyak, cari kerja dan fikir masa depan. Itu lebih bagus,” katanya yang kekal dengan prinsip peribadi semenjak awal muncul menyanyi.

Bercakap tentang kerjaya, album solo ke-lapan penyanyi ini akan muncul pada tidak lama lagi. Malah single baru berjudul Saat Itu sudah mula diterima media. Album berkenaan diterbitkan oleh syarikat milik Dayang sendiri, DN&AD Entertainment, diedar Warner Muzik.

Pilihan Harvey Malaiholo

Secara kebetulan pula, akhir-akhir ini bukan Marcell seorang artis Indonesia yang dikaitkan dekat dengan Dayang. Selepas Marcell dia rapat dengan Tompi, kali ini Harvey Malaiholo pula sebagai lelaki Indonesia yang rapat dengan anak dara Awang Dowty.

Pertemuan Dayang dan Harvey berlaku atas kehendak syarikat rakaman Erama Records, sebuah syarikat tempatan yang sedang berkembang. Menariknya mereka merakamkan semula lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Slam, Gerimis Mengundang dalam bentuk single.

Gerimis Mengundang adalah prelude kepada album penuh Harvey yang dalam proses pembikinan, juga bakal diterbit Erama Records.

Peminat yang mahu mendengar gandingan mereka boleh memuat turun lagu berkenaan melalui alamat www.erama.tv, bermula awal Mei ini.

Tak kisah pilihan ke-dua

Bercakap tentang Gerimis Mengundang, lagu berkenaan mencipta sejarah tersendiri dalam era kegemilangan lagu Malaysia di Indonesia sekitar tahun 1990-an apabila album kumpulan Slam yang memuatkan lagu berkenaan terjual lebih 1 juta unit di negara jiran.

Justeru ada sebab untuk Dayang menjadi begitu syahdu pada sesi rakaman yang dilakukan di Studio Back Beat, Cipete Raya, Jakarta pada 8 April lalu.

Pancaindera yang turut menyaksikan sesi rakaman itu secara eksklusif telah diperdengarkan dengan hasil rakaman awal gandingan suara mereka.Ternyata pilihan Erama Records cukup tepat apabila alir suara Harvey dan Dayang bersatu dalam nuansa penuh romantis.

Gerimis Mengundang yang awalnya dihasilkan Saari Amri kedengaran seperti lagu baru setelah diberi sentuhan oleh komposer ternama negara jiran itu dan jika kena dengan cara promosinya ia akan kembali menyinar terang benderang.

Khabarnya pada awalnya Harvey bakal berduet dengan penyanyi asal lagu berkenaan, Zamani Slam sendiri. Tetapi atas satu sebab yang tidak jelas, nama Zamani digugurkan dan Dayang dipilih bersama dalam projek itu. Pun tidak ada istilah pilihan kedua atau ketiga bagi Dayang dan dia melihat segalanya sebagai rezeki yang datang.

“Pada Dayang, ia adalah rezeki. Tak tahu pula mereka hendak beri pada Zamani atau penyanyi lain pada awalnya. Dayang tak kisah tentang hal itu, setiap peluang yang datang kita perlu gunakan dengan sebaik mungkin. “Tak kisahlah sama ada ia pilihan kedua ke, pertama ke, asalkan buat yang terbaik, itu adalah rezeki yang datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: