Sunday, April 3, 2011

Dia...Misha ubati rindu peminat

Lupakan sejenak gosip perkahwinan yang melanda penyanyi yang popular dengan lagu ‘Bunga-Bunga Cinta’ ini. Dua tahun tanpa sebarang album, Misha Omar kembali mengubati kerinduan peminat dengan album kompilasi berjudul Dia...Misha.

Berbekalkan tiga lagu baru dan 13 lagu dari album sebelum ini, Misha menyifatkan album itu sebagai saksi perjalanan karier seninya selama sembilan tahun.

“Susunan muzik dan instrumen tiga lagu baru yang berbeza dengan rakaman album terdahulu umpama ‘makanan’ baru bagi saya.

“Malah, dari segi nyanyian menunjukkan kematangan suara saya. Saya berharap perubahan yang ditampilkan ini dapat diterima peminat dan menarik peminat baru,” katanya.

Misha turut mengambil inisiatif dengan merakamkan semula lagu ‘Kerana’ dendangan kumpulan Alleycats dengan gubahan dan susunan muzik oleh Datuk Ramli MS.

“Lagu ini memberi makna kerana mereka yang pernah mendengar saya menyanyikannya mengatakan ia sesuai dengan suara saya. Membawa lagu ini seolah-olah menyanyikan lagu sendiri,” katanya.

Sudah tentu album ini tidak lengkap tanpa lagu Bunga-Bunga Cinta yang pernah diangkat sebagai Juara Lagu 2003.

“Saya akui bahawa lagu ini memberi impak yang cukup besar dan memanjangkan hayat saya dalam industri seni tanah air.

“Jika ada rezeki, saya teringin untuk merakamkan semula lagu ini dengan iringan orkestra Dewan Filharmonik Petronas,” katanya yang akan muncul dengan album baru Disember ini.

Selain lagu baru Berlalu dan Detik Antara Waktu, lagu popular lain yang termuat dalam Dia...Misha adalah Nafas Cahaya, Pulangkan dan Sembunyi (duet bersama Andy Flop Poppy).

Menyentuh sedikit gosip perkahwinannya, sambil tersenyum Misha berkata, dia belum berkahwin lagi, namun akui menjalin hubungan dengan seseorang yang bergelar kekasih.

“Apabila sampai masanya kelak, saya akan umumkan kepada semua jika saya ingin berkahwin. Jangan risau, itu janji saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: