
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau menjangkakan pengagihan melanggan syer terbabit akan diputuskan Lembaga Pengarah Bank Rakyat pada Mei ini.
Menurutnya, senarai menunggu untuk melanggan syer itu sudah panjang dan nilai permintaan melebihi RM1 bilion, bukan ahli mewakili 40 peratus daripada yang berada dalam senarai menunggu itu.
Beliau berkata, apa yang jelas, tidak semestinya semua yang memohon akan mendapat syer dan dapat syer itu pula tidak semestinya akan mendapat dalam jumlah yang mereka mohon.
Katanya, permintaan untuk syer Bank Rakyat adalah kerana prestasinya yang memberangsangkan dan berjaya mengekalkan pembayaran dividen tahunan sebanyak 15 peratus sejak 1999.
Terdahulu, semasa berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Bank Rakyat, beliau mengingatkan Bank rakyat supaya tidak lupa sumbangan kerajaan yang pernah memberikan suntikan dana apabila Bank Rakyat hampir muflis dahulu.
Ismail Sabri berkata, deposit lebih RM30 bilion dalam Bank Rakyat sekarang adalah datang daripada Kerajaan, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan.
Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim berkata, Bank Rakyat merancang membuka tujuh lagi rangkaian Ar-Rahnu X’Change dan menyarankan koperasi mengambil peluang membangunkan perniagaan pajak gadai Islam itu bersama Bank Rakyat.
Ini katanya, selaras dengan sasaran pengeluaran pinjaman melalui rangkaian terbabit kepada RM200 juta dalam tahun ini.
Katanya, Bank Rakyat berkongsi kepakaran menerusi perniagaan francais Ar-Rahnu X’Change dengan 17 koperasi mencatatkan pengeluaran pinjaman RM121.702 hingga Disember 2010.
Mengenai sokongan Bank Rakyat kepada koperasi, beliau berkata, sehingga akhir bulan Februari tahun ini, Bank Rakyat menyalurkan pinjaman RM1.027 bilion kepada koperasi iaitu sebanyak RM943.48 juta dalam bentuk modal kerja, RM57.62 juta untuk perniagaan Ar-Rahnu serta selebihnya untuk membeli hartanah, pembinaan dan pengangkutan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: