IZREEN...julung kali bawa watak bertudung dan Zahiril wujudkan komunikasi dua hala berlakon bersama Bront.
BERASAL dari latar belakang dan pengalaman seni, berbeza bukan penghalang tiga pelakon berbakat besar, Bront Palarae, Zahiril Adzim dan Izreen Azminda dipertemukan di lokasi penggambaran.
Bront bergelar Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) melalui lakonannya dalam Belukar arahan Jason Chong, Zahiril pula menyandang Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di FFM22 manakala Izreen makin menyerlah dalam lakonan sejak menang tempat ketiga pertandi�ngan Dewi Remaja 2005/2006.
Mereka diberi kepercayaan pengarah Faisal Ishak menggalas tanggungjawab membintangi drama yang membawa kisah remaja terbabit dengan jenayah iaitu Juvana.
Drama sebanyak 13 episod terbitan Filmscape milik produser, Kabir Bhatia menyaksikan tiga pelakon ini membawa watak dan karakter berbeza mendalami kehidupan pesalah remaja yang ditempatkan di pusat tahanan juvana.
Simbolik pada drama ini yang akan bersiaran di TV3 mulai 25 April ini setiap Isnin jam 9 malam, majlis pelancaran diadakan di Sekolah Henry Gurney, Teluk Mas, Melaka. Rombongan bersama pihak media di bawa ke sana untuk merasai pengalaman berada di kawasan yang dikawal ketat Jabatan Penjara.Menariknya, acara pelancaran bukan saja memaparkan sedikit adegan antara watak Cikgu Zakiah lakonan Izreen bersama pelajarnya termasuk Daim (Zahiril), malah pelakon drama ini turut mengambil kesempatan bermesra dan bersalaman dengan penghuni di pusat tahanan ini.
Di kalangan peminat, nama Bront bukan lagi asing dalam bidang lakonan selepas jejaka berusia 33 tahun ini aktif membintangi pelbagai filem dan drama sejak 2000.
Berbanding penampilan awal sebagai pelakon sampingan menerusi antara filem Lang Buana (2003), Castello, Tipah Tertipu, Man Laksa dan Bilut (2006), Bront tidak putus asa mengasah bakatnya pergi jauh.
Hasilnya, dia berbangga apabila lakonan menerusi filem Belukar arahan Jason Chong melonjak namanya sebagai pemenang Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) tahun lalu. Kejayaan sama berulang pada majlis Anugerah Skrin 2010.
Bagi Bront, kejayaan yang diraih tidak bermakna dia lupa diri atau dilabel sombong terhadap tawaran lakon baru yang diterimanya. Malah, Bront menolak pandangan skeptikal segelintir beranggapan pelakon menang anugerah tidak laku kerana dikatakan terkena badi.
Katanya, dia bersyukur kerana masih mendapat pelbagai tawaran baru yang menampakkan produser dan pengarah berani meletakkan kepercayaan padanya. Begitu juga, menerusi Juvana dia membawakan watak utama sebagai Warden Raja yang menguruskan Sekolah Pemulihan Akhlak Wira Bakti.
“Selepas menang, keba�nyakan tawaran yang saya terima lebih memberikan karakter berat. Ada ketika saya masih rindu untuk bawa kembali karakter lebih ringan seperti mana yang pernah saya lakonan dalam Sindarela.
“Dalam drama Juvana pula, saya dikehendaki membawa karakter seorang yang tegas, keras dan percaya apa yang dilakukan demi kebaikan penghuni di situ.
“Boleh dikatakan egonya lebih tinggi. Secara peribadi, saya tertarik dengan apa yang berlaku pada kisah penghuni yang disabitkan dengan kes juvana.
“Saya harus berterima kasih pada produser dan pengarah kerana berani mengetengahkan cerita ini sebagai drama. Lakonan kali ini menjadi percubaan berani untuk semua pelakon,” katanya.
Pemenang Anugerah Pelakon Harapan Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-22, Zahiril pula mengakui lakonan kali ini lebih mencabar dirinya menonjolkan emosi pada ekspresi wajah dan gerak tubuh.
“Saya tidak mempunyai sumber pada watak ini dan sekadar membayangkan bagaimana watak ini berkembang. Apabila berlakon bersama pelakon lain, saya dapat rasakan beza antara pelakon yang memberi atau tidak.
“Seperti Bront, pengalaman berlakon bersamanya memberikan komunikasi dua hala apabila saya juga merasai kami bukan sekadar melontarkan dialog.
“Saya fikir Bront memberi karakter lebih kuat pada perjalanan drama ini. Saya sendiri beruntung bila digandingkan bersamanya.
“Dalam drama ini, saya lebih banyak adegan bersama Cikgu Zakiah berbanding Warden Raja. Namun, watak Daim yang saya lakonkan membawa keseimbangan antara perasaan sedih dan gembira,” katanya.
Bagi Izreen, kemunculan kali ini membawa perbezaan pada aspek penampilan diri apabila buat pertama kali membawa watak bertudung.
Katanya, sepanjang empat tahun aktif berlakon dia semakin merasai asam garam dan menimba pelbagai pengalaman lakon. Dia yang meminati pelakon Norkhiriah akui berdepan rasa gementar ketika bergandingan bersama pelakon berpengalaman seperti Bront dan Zahiril.
“Saya berasakan watak Cikgu Zakiah berat kerana ini menampilkan personaliti baik. Untuk mendapat penghayatan dalam lakonan, saya banyak membuat kajian sendiri dengan menonton bermacam drama.
“Ada perasaan tertekan ketika membawa watak ini tetapi lakonan berjalan lancar sebaik di lokasi penggambaran. Memberi pengalaman baru, watak saya berdepan cabaran bagaimana mengawal sikap penghuni juvana ini.
“Watak baik sebenarnya memberi cabaran lebih besar pada saya berbanding watak antagonis. Ini kerana, saya sudah biasa membawakan watak jahat kerana ia sesuai dengan karakter peribadi saya yang kasar.
“Untuk menghayati watak Cikgu Zakiah, saya perlu ambil sedikit masa dan belajar bagaimana melontar percakapan dengan lebih feminin,” katanya.
Perkembangan lain, Izreen menyatakan dia turut terbabit dengan penggambaran telefilem, Mendongak Ke Langit arahan Michael Ang yang memberi cabaran baru padanya membawa watak pelacur yang dijual suami.
Selaku pengarah, Faizal pula berharap drama ini memberi pe�ngajaran pada penonton khusus remaja agar mengambil iktibar menjauhi perbuatan berunsur jenayah. Katanya, drama ini menjadi motivasi terbaik dalam menyampai mesej positif pada penonton.
“Apa yang disampaikan juga memberi pengajaran pada remaja yang mungkin tersilap langkah atau terperangkap dengan perbuatan jenayah agar bertaubat. Saya juga berharap drama ini menghiburkan,” katanya.
PROFIL
NAMA: Mohd Zahiril Adzim Mohd Mukhtar
TARIKH LAHIR: 23 Januari 1984
USIA: 27 tahun
ASAL: Taiping, Perak
KERJAYA: Pelakon
PENDIDIKAN: Diploma Teater (Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan)
FILEM: Kami The Movie, Karaoke, Gadoh, Ada Sesuatu Yang Tertinggal, KLIP3GP, Tolong Awek Ku Pontianak, Senjakala, Bunohan
DRAMA: Merah Puteh, Ghost 2, Jidin, ABAM, Waris, 100 Harijadi, 6 Progresif dan Juvana.
PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Lelaki Terbaik (Festival Filem Malaysia ke-22)
PROFIL
NAMA: Nasrul Suhaimin Saifuddin
NAMA KOMERSIAL: Bront Palarae
TARIKH LAHIR: 27 September 1978
USIA: 32 tahun
ASAL: Alor Setar, Kedah
KERJAYA: Pelakon, penulis skrip, pengacara, pengarah dan penerbit
FILEM: Lang Buana, Man Laksa, Castelo, Bilut, Tipah Tertipu, Dukun, 1957: Hati Malaya, Anak Halal, Akhirat, Kala Malam Bulan Mengambang, Setem, Remp-it V3, Belukar, Hanyut, Ombak Rindu, Kongsi, Sekali Lagi, Bunga Lalang, Bara Jiwa dan dua filem antarabangsa Quattro Hong Kong 2 (China) dan Liberating Soul (Jepun).
DRAMA: Mat Nor Kusyairi And The Velveboys, Dengan Nama Cinta, Rumah Itu Duniaku, Garisan Takdir, Cinta Tsunami, Cinta Secangkir Kopi, Sindarela, Rona Roni Macaroni, Senandung Malam, Tower 13, Tangkal Besi, Bunga Rampai Musim Tengkujuh dan Juvana
PENCAPAIAN: Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 (2010)
PROFIL
NAMA: Izreen Azminda Aznam
TARIKH LAHIR: 30 Ogos 1985
USIA: 25 tahun
ASAL: Kangar, Perlis
KERJAYA: Pelakon
AKADEMIK: Diploma Kewartawanan Integratif dari Institut Media Integratif Malaysia (MIIM)
FILEM: Nana Tanjung 2 dan Otai
DRAMA: CID 3278, Gerak Khas, Atiqah Najwa 2, Dilema Wanita, Air Mata Maria, Pasrah, Pria, Bella, Gila Auto Cinta, Apa Kata Cinta, Sedetik Aku Berpaling dan Juvana.
PENCAPAIAN: Tempat ketiga pertandingan Dewi Remaja 2005/2006
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: