TIADA LESEN...lelaki warga Paksitan yang ditahan dalam operasi, semalam.
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Pakistan yang tiada lesen memandu manakala cukai jalan teksi dipandunya tamat tempoh ditahan dalam Operasi Halang Siri 12/2011 di ibu kota, semalam.
Ketua Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan, Mohd Zamri Zainal Abidin, berkata lelaki itu pada mulanya cuba melarikan diri sebaik menyedari operasi dijalankan pihak berkuasa, tetapi gagal sebelum dia ditahan.
“Lelaki terbabit akan dikenakan tindakan mahkamah kerana menyalahgunakan permit kerja manakala pemilik teksi yang menyewakannya kepada lelaki itu akan diberi surat saman kerana membenarkan warga asing terbabit memandu teksinya,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Katanya, lelaki terbabit antara 28 pemandu teksi yang ditahan kerana melakukan kesalahan menghalang lalu lintas sebelum mereka dikompaun RM150 mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Operasi dua jam itu diketuai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), JPJ, Jabatan Alam Sekitar dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bertujuan memastikan kenderaan pengangkutan awam tidak menghalang lalu lintas hingga menyumbang kepada kesesakan.
Tumpuan operasi ialah membabitkan beberapa jalan utama seperti Jalan Tun Razak dan Jalan Tun HS Lee di samping lokasi tumpuan lain termasuk pekarangan KLCC, Jalan Tun Tan Siew Sin, Jalan Leboh Ampang dan Jalan Sultan Muhamad.
Selain itu, 23 saman dikeluarkan kepada pemandu bas, 22 saman bagi kenderaan lain dan 12 kereta ditunda.
Sementara itu, Ketua Inspektor Unit Trafik dan Tunda Bahagian Penguatkuasaan DBKL, Shaiful Anuar Shaharom, berkata operasi berkenaan diadakan bagi memastikan ibu kota tidak terus sesak disebabkan tindakan pemandu bas dan teksi meletakkan kenderaan mereka sesuka hati.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: