Friday, April 15, 2011

Berlakon bukan kerana kecewa

WANA dan Nashrin.
WANA dan Nashrin.
Wana tidak tinggalkan nyanyian walau mencipta nama sebagai pelakon

BUKAN asing apabila penyanyi berjinak-jinak dalam bidang lakonan. Penyanyi luar negara juga tidak terkecuali daripada membabitkan diri dalam lakonan drama mahupun filem.Sebahagiannya mampu menyerlahkan bakat tidak kurang hebat apabila beraksi di depan kamera seperti yang dibuktikan Awie dan Ziana Zain. Di Hollywood, bekas peserta American Idol, Jennifer Hudson, turut memperlihatkan bakat lakonan seiring nyanyian sehingga mampu membawa pulang Oscar.
Juara program realiti MyStar, Noriezuana Syed Shafudin atau Wana, 24, turut mengikut jejak langkah beberapa penyanyi senior yang terlebih dulu turut menceburkan diri dalam lakonan. Begitupun, wanita muda ini bukan menyifatkan kemunculannya dalam bidang itu untuk melarikan diri daripada dunia nyanyian, apabila kurang menerima sokongan peminat.

Sebaliknya, dia hanyalah ingin mengasah serta mengembangkan lagi bakat yang sedia ada dalam dirinya. Ketika yang sama, dia akur dirinya belum berjaya menawan hati ramai peminat setelah memenangi program realiti terbabit.

Tidak dinafikan, ramai artis kelahiran program realiti kurang menyerlah setelah tamatnya musim yang membabitkan diri mereka. Namun dengan pembabitannya dalam dunia lakonan, Wana berasakan sedikit sebanyak namanya makin dikenali orang ramai.

Dia turut menjelaskan, cabang seni lain mampu mempelbagaikan kebolehannya sebagai insan seni, lebih-lebih lagi dia sendiri pernah terbabit dalam pementasan teater.
Mengaku beraksi di depan kamera sebagai agak sukar, berbanding persembahan di pentas, terutama apabila diperlu bermain dengan emosi, namun itu semua bukanlah halangan untuknya terus mencuba.

“Agak susah sebab apabila kita berlakon, kena hafal skrip dan menjiwai watak. Lebih sukar daripada merakamkan lagu atau mengadakan persembahan nyanyian di pentas.

“Begitupun, jika dibandingkan dengan lakonan teater, rasanya lakonan drama masih dianggap mudah kerana kita tidak beraksi secara langsung di depan penonton,” kata ketika ditemubual di Balai Berita baru-baru ini.

Meskipun begitu, Wana tidak menafikan watak yang dibawanya dalam drama bersiri Sejambak Di Bawah Serumpun arahan Mat London agak sukar dan di luar karakter sebenarnya. Malah, watak gadis bertudung dilakonkannya itu memang menguji kesabaran.

Menjayakan watak gadis kampung yang memiliki sifat lemah-lembut dan bersopan-santun menguji sifat sebenarnya yang agak lincah. Hakikatnya, bidang nyanyian lebih diutamakan gadis ini. Bahkan Wana baru saja selesai menjalani rakaman lagu duet bersama Kozae, bekas anggota One Nation Emcees.

'Susah jadi penyanyi dikenali'

BAGI Nashrin atau Wann Nashrinie Zafri, 22, keutamaannya tetap kepada nyanyian dan mengaku masih banyak lagi ilmu perlu ditimba dalam bidang itu, sebelum bersedia untuk terbabit dalam lakonan.

Lahir dengan album single berjudul Fobia Cinta pula nyata memberi kepuasan kepadanya biarpun tidak dinafikan lagu-lagunya kurang dimainkan di stesen radio.

“Mungkin belum banyak permintaan menyebabkan lagu saya kurang dimainkan radio. Tetapi, saya berpuas hati dengan sambutan peminat terhadap album itu setakat ini,” katanya.

Biarpun album terbabit masih dilihat agak baru memasuki pasaran, namun Nashrin kini sudah pun sibuk dengan pembikinan album kedua berjudul Percaya Pada Luka. Album hasil sentuhan beberapa komposer termasuk Audi Mok ini lebih kepada rentak pop rock dan balada, dengan rentak masa kini yang dijangka mendapat sambutan daripada peminat.

Nashrin juga mengharapkan penjualan album secara digital mampu memberikan mereka pulangan yang setimpal dengan usaha dicurahkan kerana pada ketika ini, sememangnya jualan album fizikal agak kurang memberangsangkan.

“Trend hari ini memang lebih kepada jualan secara digital di mana peminat sendiri berasakan lebih mudah untuk mereka menikmati muzik yang dimuat turun,” katanya.

Penyanyi ini juga bersyukur apabila mendapat sokongan baik daripada khalayak walaupun dirinya masih begitu baru.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: