BIAR industri hiburan kebanjiran bakat baru, nama Jamal Abdillah tidak pernah tenggelam malah hingga kini belum ada lagi yang boleh dianggap setanding dengan kedudukannya sebagai Raja Pop.Jika diselak semula repertoire penampilannya di pentas persembahan langsung, tidak keterlaluan dikatakan juara Bintang RTM 1979 itu berada pada tangga teratas apabila sentiasa menjadi pilihan penganjur.
Malah Jamal mengaku tidak dapat memenuhi permintaan produksi Ace Motion Pictures milik Aziz M Osman untuk tampil dalam filem Azura 2011 membawakan watak Zack ketika tua disebabkan nilai ekslusif itu.
“Memang peminat boleh nampak (persembahan) saya di mana-mana tetapi saya tetap memastikan nilai ekslusif tidak hilang dengan memperhalusi semua faktor, terutama bayaran sebelum menyetujui sebarang undangan.
“Filem Azura 2011 umpamanya, saya bukan enggan berlakon filem itu sebaliknya mereka tidak dapat memenuhi permintaan dari segi bayaran sepatutnya. Saya bukan meletak harga, cuma biarlah berbaloi,” katanya ketika ditemui pada sidang media Sambutan Hari Ibu Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Tampil mengenakan sut gelap bersama kemeja putih yang dipadankan dengan kaca mata hitam-imej sinonimnya-penyanyi kegilaan ramai itu masih kelihatan segak pada usianya yang melepasi separuh abad.
Sebelum ini Aziz dikatakan berminat mengundang pelakon asal Azura yang mencipta fenomena pada 1984 iaitu Jamal dan Ogy untuk membintangi versi baru filem itu yang kini sedang dalam pembikinan tetapi akhirnya hasrat itu terpaksa dilupakan.
Kesempatan bertemu penyanyi itu membolehkan segala persoalan terungkai malah tanpa berselindung, penyanyi Takdir Penentu Segala itu juga mengakui terpaksa berhati-hati supaya peristiwa lama tidak berulang kembali.
“Bukan apa, sampai sekarang saya masih merasakan pengorbanan saya ketika membintangi filem itu dulu kurang berbaloi. Walaupun Azura popular dan hingga kini masih punya daya penarik, bayaran yang diberikan tidak setimpal dengan masa serta pengorbanan yang diberikan.
“Jika dipertimbangkan semula, lebih baik ambil tawaran menyanyi. Itulah yang cuba saya katakan, nilai ekslusif ini perlu dijaga supaya tiada pihak ambil kesempatan. Saya sudah lama cari makan di bidang ini, sama ada nyanyian atau lakonan saya perlu lebih memilih,” katanya lagi.
Bagaimanapun Jamal berkata tidak semua tawaran dibuat secara selektif apabila sampai sekarang dia masih memenuhi undangan ke majlis membabitkan kerjasama dengan kerajaan mahu pun persembahan amal.
Mengenai persembahan sempena Hari Ibu di PWTC pada 17 Mei nanti, dia teruja apabila buat tahun kedua diundang untuk majlis sama sekali gus merancang kejutan dengan memberi peluang tetamu bertuah menyanyi karaoke Sandarkan Pada Kenangan dan Kehebatan Cinta.
“Saya sudah menyediakan cenderahati istimewa untuk teman duet saya malah pada persembahan sepanjang sejam itu, hampir 15 lagu akan saya dendangkan termasuk sebuah lagu ciptaan Fauzi Marzuki, Bonda yang belum saya bawakan di mana-mana.
“Istimewanya, kali ini saya turut mengundang pemain saksafon muda, Alif Nasir yang berbakat besar. Sebenarnya banyak lagi kejutan menanti hadirin. Tunggu saja 17 Mei ini,” katanya mengenai majlis yang bakal dikendalikan pengacara serba boleh, Dee.
Keutamaan pada anak-anak
Ditanya soal hati, bapa tunggal kepada dua cahaya mata itu mengakui sebagai insan dia memerlukan teman hidup untuk berkongsi segala-galanya namun buat masa ini belum bersedia mendirikan rumah tangga selepas perkahwinan ketiganya menemui kehancuran.
“Siapa yang tidak mahu berteman, boleh berkongsi cerita dan segala perkara. Cuma biarlah ia datang tanpa dipaksa. Apatah lagi saya sendiri seorang yang pemalu. Jujur saya katakan, dulu ketiga-tiga bekas isteri saya yang lebih awal memulakan langkah.
“Sekarang tumpuan saya lebih kepada anak-anak dan perniagaan yang baru berkembang selain kerjaya nyanyian. Boleh dikatakan jadual saya sangat sibuk malah saya sendiri sangat sedih apabila anak bertanya kenapa saya sering lambat balik rumah,” katanya penuh syahdu.
Justeru, soal hati cuba diletak ke tepi kerana paling utama adalah memastikan kebajikan kedua-dua buah hatinya, Osama Yamani, 11 dan Ahmad Zaki Yamani, 5 yang dianggap sebagai permata jiwa sekali gus sumber kekuatan hidupnya.
“Biarlah mereka membesar dulu dan memahami erti kehidupan ini. Osama sudah faham situasi kami, tetapi Ahmad Zaki masih terlalu kecil. Siapa tahu mungkin dua tiga tahun dari sekarang saya sudah bersedia untuk kembali hidup berdua,” katanya lagi sambil tersenyum.
Dalam kesibukan memenuhi undangan dan melayani anak-anak, Jamal turut memenuhi impiannya menghasilkan album baru yang memuatkan lagu lama sekitar tahun 50-an yang dijangka ia diedarkan pertengahan tahun ini.
Katanya terdapat dua lagu sendiri manakala lapan gubahan lain dinyanyikan semula tetapi diberi nafas baru menerusi susunan semula iramanya untuk disesuaikan dengan rentak masa kini.
“Saya mendapatkan khidmat ‘orang muda’ dan hampir setahun juga proses pembikinannya. Cuma hanya tinggal satu lagu yang bakal diiringi Orkestra RTM belum dirakamkan,” katanya yang tidak sabar menunggu buah tangan terbarunya itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: