|
|
PEMILIK nama penuh Farah Najwa Zulkifly pernah menggenggam cita-cita untuk bergelar peguam. Justeru peluang melanjutkan pengajian peringkat diploma dalam bidang syariah dan undang-undang di Kolej Univeristi Islam Selangor tidak disia-siakan.
Namun mungkin sudah tertulis, rezeki si cantik manis yang berasal dari Raub, Pahang ini bukan pada bidang guaman. Selepas menamatkan pengajian diploma, nalurinya lebih terarah untuk bergelar kaunselor atau pakar motivasi pula. Lantaran merasakan profesion itu amat cocok dengan dirinya, Ara tidak teragak-agak untuk melanjutkan pengajian kaunseling peringkat ijazah di Universiti Sains Islam Malaysia.
"Saya melihatnya dari sudut positif. Bagi saya, menjadi seorang kaunselor sangat mencabar. Bukan senang untuk membantu menyelesaikan masalah dan menaikkan semangat seseorang.
"Kita perlu menjadi pendengar yang setia dan mendalami permasalahan orang lain sebelum membantu mereka menyelesaikannya," kata wanita berusia 24 tahun itu.
Memiliki sepasang mata dan senyuman menawan, Ara masih lagi dibaluti kegembiraan selepas dinobatkan sebagai pemenang tempat kedua Pencarian Model Tudung Fareeda - Kosmo yang berlangsung baru-baru ini.
Baginya kejayaan tersebut menjadi dorongan kuat untuk terus mengejar impian. Penglibatan dalam bidang peragaan juga katanya menambah keyakinan dalam diri untuk menjadi seorang kaunselor yang berjaya kelak.
"Dulu sebenarnya saya sangat pemalu dan tidak pandai membawa diri terutama di hadapan khalayak. Namun setelah menyertai dunia peragaan, keyakinan mula datang secara perlahan-lahan dan kini saya tidak gementar lagi," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: