Monday, April 18, 2011

3G Maxis kuasai 80 peratus



Peneraju penyedia perkhidmatan komunikasi bersepadu Malaysia, Maxis Berhad (Maxis) mencipta sejarah dalam industri jalur lebar negara apabila muncul sebagai pembekal perkhidmatan pertama di Malaysia menjangkaui jumlah 5,000 stesen 3G di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Berbekalkan fasiliti itu, Maxis kini menyediakan keupayaan jalur lebar berkelajuan tinggi wayar-les dan data mudah-alih kepada 21 juta rakyat Malaysia, merangkumi 80 peratus daripada jumlah penduduk negara.

Maxis dalam kenyataan medianya berkata, kejayaan itu dicapai berikutan usaha dalam memperluaskan kawasan liputannya yang dilaksanakan pada 2010 dengan perbelanjaan modal lebih RM1.4 bilion.

“Menerusi rangkaian pintar sepenuhnya, Maxis berupaya menyediakan pengalaman data yang lebih baik kepada pelanggan, baik daripada penggunaan suara yang ringkas hinggalah kepada penggunaan aplikasi data yang intensif disampaikan melalui pelbagai peralatan pintar,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sandip Das berkata, Maxis sememangnya bekerja keras dalam mengubahsuai sistem, memodenkan rangkaian, mencipta transmisi baru dan membina rangkaian Internet Protokol (IP). Kejayaan itu terus mengekalkan status sebagai peneraju ditambah puladengan keupayaan dan kualiti liputan yang membolehkan Maxis membawa pelbagai aplikasi untuk kepuasan pelanggan.

“Kami begitu teruja dengan pencapaian ini yang secara tidak langsung melengkapkan kedudukan kami sebagai peneraju dalam rangkaian fiber, selain memperkuatkan kedudukan kami sebagai penyedia perkhidmatan bersepadu dengan menyediakan perkhidmatan tanpa mengira akses atau cara penyampaian,” katanya.

Timbalan Presiden Eksekutif, Rangkaian dan Teknologinya, Mark Dioguardi berkata, liputan rangkaian jalur lebar yang luas dan terpantas di Malaysia daripada Maxis ini membolehkan pelanggan ‘membawa’ Internet bersama mereka ke mana sahaja menggunakan sambungan yang mantap sepanjang perjalanan seluruh Malaysia.

“Menerusi rangkaian jalur lebar yang lebih menyeluruh, pelanggan kini menikmati liputan lebih luas merangkumi kawasan luar bandar utama,” katanya.

Melangkah ke depan, Mark berkata, Maxis baru menyempurnakan ujian teknologi LTE Generasi Masa Hadapan yang menjanjikan kelajuan data dengan kapasiti rangkaian empat kali lebih tinggi.

Rangkaian IP Maxis Berkelajuan Tinggi kini sedia untuk menyokong perkhidmatan termaju yang dijangka dapat dilaksanakan dalam beberapa bulan akan datang ini.

Maxis kini muncul penyedia perkhidmatan pertama yang mengadakan ujian LTE dengan jayanya. Ujian makmal pada Jun 2010 diikuti ujian di empat kawasan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: