Bagaimana dua wanita ini menjalani kehidupan setelah suami mereka hilang tanpa khabar berita?
DAHULU dia pernah menghadapi kesukaran hidup lantaran kesilapan lalu. Malu dengan apa yang berlaku, Wan Nor Azlin Wan Mohd. Husain, 40, mengasingkan diri biarpun dunia lakonan ialah bidang yang sangat dicintainya.
Selepas hidupnya kembali tenang, Wan Nor Azlin atau lebih mesra dengan panggilan Wan sekali lagi diuji.
Cerita mengenai Wan kembali hangat diperkatakan media cetak dan elektronik apabila diri dan keluarganya dikecam dan diburu ah long.
"Saya tidak mahu semua ini berlaku. Tetapi kepada siapa lagi saya boleh minta pertolongan jika tidak kepada polis. Suami pula menghilangkan diri. Saya takut jika terjadi apa-apa kepada saya dan anak-anak," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Tasik Perdana, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Apa yang dia mahukan hanyalah perlindungan buat dirinya dan anak-anak yang masih kecil.
Tetapi lelaki yang diharapkan menjadi benteng pertahanan kini hilang tanpa khabar berita.
"Sejak suami menghilangkan diri lapan bulan lalu, saya terpaksa keluar mencari rezeki untuk anak-anak. Saya tidak ada kemahiran untuk bekerja di pejabat. Nasib baik beberapa rakan artis dan penerbit membantu saya.
"Saya tidak pernah terfikir untuk kembali dalam bidang lakonan. Saya gembira menjadi suri rumah dan menjaga anak-anak," katanya yang menetap di Damansara.
Namun, semua kebahagiaan yang dimilikinya lenyap tatkala mendapat tahu kehadiran orang ketiga dan apabila suaminya mula berhutang dengan ah long.
"Saya sedih dan terkilan dengan apa yang berlaku. Saya seboleh-bolehnya tidak mahu menceritakan masalah saya kepada orang ramai. Apa yang penting sekarang ialah anak-anak.
"Kalau dia tidak ingat saya, tak mengapa. Tetapi, bagaimana dengan anak-anak? Anak-anak selalu bertanya di mana ayah mereka," katanya yang berusaha untuk menjadi seorang yang tabah.
Menurut Wan, dia akan cuba menjadi ibu dan pada masa yang sama bertindak sebagai ayah kepada anak-anaknya.
Hasil perkongsian hidup Wan dan suaminya, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Danial Luqman, 9, Danny Iskandar, 8, dan Dania Camelia, 5.
Bagaimana dia menjalani kehidupan sekarang? Anak kedua daripada empat beradik itu memberitahu, dia bersyukur kerana dirinya tidak lagi diganggu oleh ah long.
Selain menerima tawaran berlakon, dia juga mendapat peluang daripada Aziz Bakar untuk menjalankan program keusahawanan iaitu Star2 U.
"Program Star2 U ini melibatkan 14 artis di bawah naungan Aziz Bakar. Ia adalah satu perniagaan yang melibatkan produk kesihatan Herbavescent," ujarnya.
Malah, menurut Wan, dia juga bersyukur kerana kehadirannya kini semakin diterima masyarakat.
Bagaimana dia membahagikan masa menjaga anak dan menjalani penggambaran drama serta perniagaan?
Wan memberitahu, ayahnya Wan Mohd. Husain, 73, melahirkan hasrat untuk menjaga ketiga-tiga anaknya.
"Ayah sanggup berulang-alik dari rumahnya di Keramat, Kuala Lumpur untuk mengambil cucunya yang bersekolah di Damansara jika saya ada penggambaran.
"Saya terharu dengan pengorbanan yang ayah lakukan. Saya bangga dengan dia. Dia amat menyayangi cucu-cucu," katanya.
Menurut Wan, ayahnya ialah seorang lelaki yang penyayang dan tempat dia berkongsi masalah selepas ibunya meninggal dunia dua tahun lalu.
Bagaimana perasaan Wan terhadap suaminya? "Saya masih menyayangi suami. Lebih-lebih lagi kerana tiga orang anak kami masih kecil dan mereka memerlukan kasih sayang serta perhatian ayah mereka.
"Saya amat sedih dan kecewa apabila suami memberitahu bahawa dia tidak ada sekelumit perasaan pun terhadap saya. Saya tidak faham mengapa beliau perlu membuat kenyataan begitu, sedangkan beliau boleh menghubungi saya pada bila-bila masa," kata Wan sambil berharap suaminya kembali ke pangkuan keluarga. - FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
Terpaksa bayar hutang suami
SEORANG wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Noor, 40, memberitahu, dia mengetahui mengenai perangai sebenar suaminya dua minggu sebelum majlis perkahwinannya dilangsungkan.
|
|
Menurut cerita teman Noor, bakal suaminya itu tidak mempunyai pekerjaan. Malah, dia kerap mendampingi wanita-wanita bekerjaya untuk kepentingan dirinya.
"Lebih kurang setahun berkenalan, kami mengambil keputusan berkahwin. Namun, saya tidak mengetahui perangai sebenar suami kerana dia kelihatan seorang yang baik dan bersopan santun. Malah, keluarganya juga tidak menceritakan sikapnya yang sebenar.
"Sehinggalah dua minggu sebelum berkahwin, seorang teman memberitahu bahawa dia (suami) ialah seorang pisau cukur," katanya kepada Kosmo!.
Menurut anak bongsu daripada 14 adik-beradik itu, selepas mendapat tahu mengenai suaminya yang hanya dikenali sebagai Amir, dia mengambil keputusan untuk membatalkan perkahwinan mereka.
Namun, Amir berulang kali memujuk rayu dan bersumpah untuk berubah. Noor yang terlalu mencintai Amir akhirnya termakan dengan pujukan tersebut.
"Waktu itu saya percaya yang dia akan berubah. Lebih-lebih lagi dengan kesungguhan yang dia tunjukkan. Ibu saya sendiri begitu gembira kerana akhirnya saya mengambil keputusan untuk berkahwin setelah umur saya menjangkau 31 tahun," kata wanita kelahiran Melaka itu.
Selepas tiga bulan berkahwin, Amir mula menunjukkan perangai sebenar. Dakwaan mengenai Amir bekerja di salah sebuah syarikat pengeluar kereta ternama hanyalah palsu.
"Saya sedih sangat. Namun, saya tetap menerima dia. Saya nasihatkan dia untuk mencari pekerjaan. Namun, dia tetap menganggur dan hanya mengharapkan wang saya," katanya yang memiliki sebuah salon di Damansara.
Menurut Noor, selepas setahun berkahwin, suaminya dilihat sudah mula membuat perangai dengan mempunyai perempuan lain. Akhirnya, selepas hamil anak kedua yang berusia tiga tahun setengah, Amir menghilangkan diri dengan meninggalkan hutang yang banyak kepada Noor.
Kehidupan Noor ketika itu ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Dalam keadaan sarat mengandung, banyak pihak termasuk ah long datang meminta hutang.
"Salon dan kereta saya tergadai kerana membayar hutangnya. Kini, selepas empat tahun kehilangannya, saya sudah tidak kuasa hendak tahu di mana dia berada. Jika keluarga dia memberitahu dia nazak sekali pun, saya tidak akan datang.
"Apa yang penting sekarang adalah untuk membesarkan kedua-dua anak saya," katanya yang kini bekerja sebagai pembantu peribadi di sebuah butik kecantikan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: