Tiga beradik gergasi Karak tumpas
KARAK: Tiada peristiwa paling indah dapat digambarkan empat sekawan dari Taman Karak Setia, Bentong, dekat sini melainkan kejayaan mereka mendaratkan ‘tiga beradik’ patin buah gergasi di sebuah lombong tinggal berhampiran Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), baru-baru ini.
Amat mengejutkan Muhammad Ridzam Abdul Razak, Cahlo, Iman dan Zanif ialah patin berkenaan tersungkur pada set kekili murah berharga RM25. Namun set itu kemudian terpaksa dibuang kerana kerana sistem bebola serta drag rosak gara-gara melayan aksi lasak spesies itu hampir dua jam.
Muhammad Ridzam berkata, tidak sampai 24 jam memancing di lombong berkenaan tiga patin seberat 30 kilogram (kg), 28kg dan 25kg berjaya mereka tewaskan dengan menggunakan dedak gaul bersama biskut wangi.
“Macam tarik anak lembu... bayangkan tali utama hanya 25 paun dan kena pula ikan bagak. Mahu gugur jantung dibuatnya apabila hampir satu gelendung tali ditarik keluar. Namun saya bernasib baik apabila patin berkenaan mengalah dan saya dapat mengkarau tali.
“Paling merisaukan ialah saya tidak tahu ke mana arah ikan berkenaan melarikan diri kerana ketika itu jam 5.30 pagi dan keadaan gelap. Khuatir juga tersilap langkah kalau-kalau tersangkut pada rumput atau tunggul,” katanya.
Beliau berkata, ekspedisi menjejak patin gergasi dilakukan sejak sebulan lalu apabila kunjungan mereka ke lombong tinggal itu mendapati ikan berkenaan sentiasa bermain di permukaan air.
“Geram juga, kami pernah mencubanya beberapa kali dengan menggunakan kekili kecil namun gagal apabila habis satu gelendung tali dilarikan serta putus.
“Trip kedua minggu lalu, saya gunakan kekili sederhana, tali Spider berkekuatan 25 paun, perambut rambai dengan mata kail bersaiz 11. Selang setengah jam mendaratkan patin 30kg, joran saya sekali lagi diragut ganas.
“Selepas melayannya hampir sejam dengan bantuan mata tiga, seekor patin seberat 28kg dapat didaratkan. Manakala, patin seberat 25 kilogram saya naikkan keesokannya,” katanya.
Muhammad Ridzam berkata, dua patin seberat 28kg dan 25kg dijual masing-masing RM500 seekor kepada seorang pengusaha restoran di Karak.
“Wang berkenaan saya kongsi dengan rakan-rakan, selebihnya digunakan untuk membeli kekili baru yang lebih bagus dan berjenama,” katanya.
Ditanya sama ada patin gergasi masih ada lombong berkenaan, beliau berkata, kunjungannya selepas beberapa hari peristiwa itu masih terdapat riak besar di permukaan air.
“Saya merasakan masih banyak patin gergasi di situ. Dengan peralatan baru ini, saya merancang hendak memancingnya dalam masa terdekat ini,” katanya.
Wednesday, February 25, 2009
Patin Karak
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: