|
|
BERBANDING lima tahun lalu, nama Almy Nadia kini kian menjadi sebutan sebaris rakan seperjuangannya, pelakon Fouziah Gous.
Seperti Fouziah, kini, dia mampu menarik nafas lega apabila langkahnya dalam lakonan telah mula mendapat perhatian penggiat filem dan drama tempatan.
Perjalanan seni gadis berusia 23 tahun ini bermula sekitar tahun 2005. Menerusi pertandingan Dewi Remaja 2005/2006, kerjaya seninya ketika itu tidaklah seperti sekarang dilambakkan dengan pelbagai tawaran filem dan juga drama.
Sepanjang tempoh tersebut, Almy telah pun melakonkan sebanyak lima buah filem antaranya ialah Nana Tanjung, Dunia Baru The Movie serta yang bakal menyusul, Rasukan Ablasa, Jangan Tegur dan Skrip 7707.
Malah, drama lakonannya yang kini sedang ditayangkan di kaca televisyen ialah Mertua vs Menantu.
Almy bakal muncul sebagai watak utama dalam filem seram, Rasukan Ablasa arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen yang mengambil giliran ditayangkan di pawagam bermula 26 Februari ini.
Dalam filem tersebut, Almy memegang peranan sebagai Kim, seorang gadis periang bagaimanapun, bertukar watak kepada seorang penggoda setelah dirasuk oleh roh jahat Melati yang mati dibunuh oleh suaminya sendiri.
Sikap Kim yang berperangai pelik dan menggoda setiap lelaki yang ditemuinya menyebabkan dia ditahan dan dirawat di pusat rawatan mental.
Ditemui pada majlis pra-tonton filem tersebut di Cathay Cineleisure, Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, akui Almy, pelbagai cabaran perlu ditempuhi dalam menghayati watak Kim yang mempunyai tiga karakter.
Biarpun telah menjayakan banyak filem sebelum ini namun, Rasukan Ablasa merupakan filem pertama yang menguji bakat lakonannya di dunia perfileman negara.
Menurut Almy, filem tersebut tertangguh selama dua tahun sembilan bulan kerana proses teknik janaan komputer (CGI), memakan masa yang lama untuk disiapkan.
Bercerita tentang watak Kim, akui Almy, dia sebenarnya malu menonton aksi lakonannya sebagai penggoda dan adegan panas dalam filem tersebut.
Malah, katanya, menukar karakter dari seorang normal kepada penggoda dan pesakit mental tidaklah semudah yang disangka.
"Sebenarnya saya rasa malu sangat lakonkan watak penggoda dalam filem ini. Masa buat dulu saya tidak nampak bagaimana hasilnya tetapi setelah menonton tayangan filem memang terasa malu sangat.
"Pada awalnya memang saya rasa risau juga nak bawakan watak tersebut sebab saya bukan orang yang jenis sebegitu dan tiada pengalaman melakonkan watak penggoda tambahan pula, nak tukar karakter daripada seorang gila kepada penggoda bukan mudah.
"Bagaimanapun, saya bernasib baik sebab Prof. Razak dan Latiff Mohaideen banyak beri tunjuk ajar dan meyakinkan saya dengan watak yang saya lakonkan.
"Alhamdulillah, saya akhirnya berjaya menjiwai watak penggoda di mana semasa berlakon dulu saya membayangkan yang diri saya ketika itu bukan Almy Nadia tetapi adalah Kim," katanya.
Selain Almy, pelakon lain yang menjayakan filem tersebut ialah Gambit yang memegang watak Ashraf, Fouziah Gous (Elly), Hafiz (Jimmy), Nurnadia (GG), serta penampilan istimewa Datuk Jalaludin Hassan, Aznah Hamid dan Yusry Abd. Halim.
Sekilas mengenai filem tersebut, tragedi bermula 50 tahun lalu, di mana seorang suami 'membeli' ketaatan isterinya dengan memuja iblis. Namun, pemujaan itu sebaliknya membuatkan isterinya bertambah curang, malah berasmara di depan matanya sendiri.
Dikuasai amarah, lelaki tersebut memancung kepala isteri dan pasangannya.
Sebagai balasan, rumahnya dibakar penduduk kampung sehingga musnah bersama kesesatan amalan sehinggalah suatu hari, kawasan tragedi itu dikunjungi seorang anak muda dan rakan-rakannya.
Mereka bukan saja membawa pulang peti milik pemuja iblis terbabit, malah menghidupkan kembali sang iblis yang menyebabkan hidup mereka tidak lagi tenteram.
Sebagai pendatang baru yang pertama kali melakonkan watak penggoda dan adegan panas, Almy berhak berasa bimbang.
Namun, kebimbangannya itu bukanlah besar jika dibandingkan dengan pelbagai kritikan sama ada baik mahupun buruk yang bakal menyusul dalam kerjayanya selepas ini.
Bagi gadis yang gemar tersenyum ini, watak tersebut sedikit sebanyak membantu mewarnai lagi profil seninya memandangkan dia masih hijau dalam bidang seni lakon.
Tidak takut dilabel sebagai 'penggoda', kata Almy: "Ini merupakan lakonan pertama saya sebagai penggoda. Untuk maju, mahu atau tidak saya perlu terima apa sahaja kritikan yang dilemparkan.
"Sekarang pun, orang sudah mula labelkan saya dengan watak jahat sebab kebanyakan lakonan saya adalah watak jahat. Bagaimanapun, saya tidak kisah sebab ia hanya dalam lakonan sahaja.
"Selepas ini, jika ada mana-mana pihak yang menawarkan watak penggoda kepada saya mungkin saya akan terima tetapi perlu lihat pada skripnya terlebih dahulu. Jika wataknya boleh membuatkan reputasi buruk saya memang tidak akan ambil," jelas kekasih hati pelakon Fizz Fairuz itu lagi.
Dirasuk di set Rasukan Ablasa.
Tidak lengkap rasanya apabila produksi penggambaran filem seram tidak menyimpan kisah pelik atau pun yang menyeramkan.
Dalam diam, Almy menyimpan kisah dirinya sendiri yang dirasuk ketika beraksi di set filem tersebut.
"Masa itu saya memang tidak sedar apa yang berlaku sebab saya di set filem ini ketika itu, tiba-tiba sahaja saya sudah berada di pejabat.
"Saya memang macam itu, setiap kali berlakon cerita seram pasti saya akan diganggu.
"Walaupun sudah ada pengalaman ngeri tetapi saya rasa seronok berlakon cerita seram dan pengalaman dirasuk itu agak menarik bagi saya.
"Selepas ini, saya akan tetap terima tawaran berlakon filem seram sebab saya mahu diri melawan benda-benda alam halus," kata Almy lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: