SELEPAS drama episod Mertua vs Menantu disiarkan di saluran 105 Astro Prima sejak 22 Oktober lalu, ternyata drama terbitan Metrowealth (MIG) ini berjaya berada dalam kelompok drama yang mendapat rating paling tinggi di antara drama-drama bersiri yang pernah disiarkan di saluran tersebut.
Drama ini dibintangi oleh aktres popular Erra Fazira, Aqasha, Raja Farah, Rozi Othman, Jehan Miskin dan ramai lagi.
Pada Mei nanti, MIG akan terus ke lokasi bagi sambungan Mertua vs Menantu dengan kehadiran bayi mereka yang pastinya akan menggamatkan lagi hubungan antara Mertua vs Menantu.
Memandangkan Erra selaku pelakon utama yang membawakan watak Nurul Ain juga bakal melahirkan bayinya pada bulan depan, jadi tidak hairanlah jika ramai yang menantikan kemunculan istimewa anak Erra di dalam drama arahan Feroz Kadir itu.
Menurut produsernya, David Teo, dengan kejayaan drama itu dia juga menyatakan perancangannya untuk memujuk suami Erra, Engku Emran Engku Zainal Abidin untuk membenarkan anak mereka berlakon sama di dalam drama tersebut.
“Sekarang, kami sedang usahakan untuk mendapatkan anak Erra berlakon di dalam drama ini. Setakat ini kami belum berjaya lagi.
“Bagaimanapun, kami hanya berharap semoga anaknya selamat dilahirkan dan perkara ini hanya cadangan sahaja. Kami tak boleh janji apa-apa kerana anaknya belum dilahirkan.
“Jika berjaya menjadi kenyataan, drama ini boleh mencapai rating dua kali ganda lebih tinggi lagi.
“Jalan cerita juga akan berkembang dan semakin ramai watak yang diperlukan untuk berlakon di dalam drama itu.
“Tidak mustahil jika kita mungkin akan memanggil Lisa dan Farid untuk berlakon sekali,” ujar David yang merasakan drama itu berjaya disebabkan persembahan cemerlang daripada satu ‘team’ produksi drama tersebut.
Antaranya adalah plot cerita yang sememangnya pernah melanda keluarga dalam masyarakat kampung mahupun bandar, penceritaannya yang tidak berlandaskan kepada drama berat sahaja sebaliknya konflik digarap dengan unsur komedi serta lakonan daripada artis yang bagus seperti Erra, Aqasha dan Rozi Othman di mana mereka bukannya pelakon kaku.
"Kejayaan tersebut juga termasuk usaha pengarah yang menjalankan pengambaran serta suntingan yang baik dan promosi oleh pihak MIG dan Astro,” kata David mengenai drama yang akan memasuki musim kedua sebanyak 13 episod mulai Mei depan.
Selain itu, kata David, bagi menunggu Erra berehat untuk bersalin, pada awal Mac ini, MIG akan menerbitkan drama 3 Janda yang turut dilakonkan oleh Lisa di samping Rozita Che Wan dan dijangka akan meletup seperti drama Mertua vs Menantu nanti.
Drama 3 Janda dijangka bakal menggantikan drama Mertua vs Menantu yang sedang disiarkan pada setiap Rabu, 10 malam di saluran 105 Astro Prima selepas ini.
Dalam tahun ini juga, David bakal mempertaruhkan filem terbitannya seperti Jangan Tegur pada 9 April, Syurga Cinta (21 Mei), Jangan Pandang Belakang Congkak (Ogos) termasuk Rempit V3 dan Senario The Movie Episode 2: Beach Boys.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: