|
BANYAK aspek yang menarik jika mahu membicarakan mengenai figura tersohor ini. Biarpun dirinya diselubungi dengan pelbagai peristiwa duka, dia masih lagi disayangi dan dihargai oleh peminatnya.
Kasih sayang yang tercurah kepadanya adalah kerana dia memiliki aset yang paling berharga dan tidak mungkin akan ada penyanyi yang mampu menyaingi kehebatan vokal emasnya itu.
Ya, itulah Jamal Ubaidillah Ali atau lebih dikenali sebagai Jamal Abdllah, seorang biduan yang tidak pernah henti mengalunkan irama dan ritma yang mampu membuai jiwa.
Tanpa disedari, perjuangannya sebagai seorang seniman sudah pun menginjak ke angka 30 tahun ini.
Memang terasa benar waktu pantas berlalu. Rasanya seperti semalam dia menjulang gelaran Bintang RTM 1979 yang mengangkatnya sebagai bintang ternama.
"Syukur saya masih lagi dihargai sehingga kini. Apa yang membuatkan saya bangga ialah peminat yang mengikuti kerjaya seni saya sejak 30 tahun lalu, tidak pernah bosan dengan setiap lagu dendangan saya," ujarnya membuka bicara petang itu di Hotel Quality, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Untuk itu juga, demi peminat tersayang yang sekian mendamba buah tangan terbaru daripadanya, Jamal memberitahu, album terbarunya yang berjudul Tak Hilang Cinta yang bakal berada di pasaran pada 17 Mac depan.
Masih lagi setia bersama Warner Music Malaysia sejak menjadi penyanyi dan penghibur, anak jati Teluk Intan, Perak ini juga ternyata teruja apabila pertama kali bertindak sebagai penerbit bersama.
"Tak Hilang Cinta dijadikan sebagai judul album saya sebagai tanda dan untuk memberitahu kepada peminat bahawa saya masih lagi di sini atas nama cinta saya kepada dunia seni dan juga cinta saya kepada mereka.
"Saya gembira apabila diberi peluang oleh syarikat rakaman untuk menerbitkan album ini bersama Eddie Marzuki. Satu penghormatan untuk saya setelah 30 tahun menyanyi," katanya yang kelihatan sedikit berisi.
Tidak cukup dengan itu, Jamal turut memberitahu, album solonya yang ke-17 ini juga memuatkan empat buah lagu ciptaannya.
Sebelum ini, lagu dan lirik ciptaan Jamal yang cukup popular adalah Mati Hidup Semula dan kini, Jamal mengakui, dia semakin yakin untuk memuatkan lagu ciptaannya di dalam album ini.
"Dulu, memang tidak berapa yakin tetapi, apabila syarikat rakaman memberi lampu hijau, maka dengan itu, saya keluarkan segala apa yang saya pendam dan simpan sejak sekian lama dan saya luahkan menerusi lagu.
"Saya juga mahu peminat saya melihat sisi baru saya yang bukan sahaja sebagai penyanyi dan penghibur tetapi juga sebagai komposer dan penulis lirik. Apa yang saya harapkan, mereka mampu menerimanya dengan positif," kata Jamal penuh harapan.
Mempertaruhkan lagu Apa Lagi ciptaan Datuk Syed Elias Syed Ahmad sebagai single pertama, lagu ini juga bakal menyaksikan dimensi baru muzik Jamal yang cukup berbeza dengan apa yang pernah dibawakannya sebelum ini.
"Muzik kali ini agak moden seiring dengan perubahan muzik semasa. Saya percaya ia mudah diterima. Namun, identiti saya masih dikekalkan dalam album ini menerusi lagu balada ciptaan Adnan Abu Hassan," jelas Jamal yang kali terakhir muncul dengan album Aku Penghibur pada tahun 2005.
Selain lagu Apa Lagi, Tak Hilang Cinta yang memuatkan 10 buah lagu itu turut menampilkan lagu-lagu menarik lain antaranya Tak Hilang Cinta Di Dunia, Cinta Dua Darjat, Di Mana Akhirnya, Waktu Kerinduan dan Akulah Kekasihmu.
Malah, Jamal juga telah merakamkan semula sebuah lagu lama berjudul Terpesona Dusta dan menariknya, buat pertama kalinya, beliau berkolaborasi dengan kumpulan Ahli Fiqir.
Projek teater muzikal
Jamal yang bakal berusia 50 tahun pada 7 Mei ini turut memasang impian berlakon dalam sebuah pementasan teater muzikal dan apa yang pasti, impiannya itu bakal menjadi realiti.
Bakal dipentaskan di Istana Budaya (IB) sekitar Ogos depan selama lima hari, kata Jamal, ia bakal mengangkat kisah hidup dan perjalanan seninya dengan sentuhan yang cukup berbeza.
Tambahnya, idea itu sudah lama disimpan dan hanya menunggu masa sahaja untuk direalisasikan. Lalu, bila IB menawarkan peluang itu kepadanya, ia seperti bulan jatuh ke riba.
"Ini merupakan projek sulung syarikat saya, Bintang Channel Sdn. Bhd. untuk pementasan teater muzikal seperti ini. Saya juga akan berlakon dalam teater ini selain daripada beberapa orang pelakon yang saya mahukan mereka beraksi dalam teater ini.
"Skrip dan jalan cerita sudah sampai ke peringkat akhir dan saya sedang mencari seorang pengarah untuk menjelmakan naskhah ini. Ketika ini, hanya satu sahaja nama yang terlintas di fikiran saya iaitu Erma Fatima," kata Jamal penuh teruja.
Tetap menunggu Siti
Umum mengetahui, Jamal sememangnya cukup mengagumi bakat luar biasa yang dimiliki oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.
Malah, sehingga kini, Jamal tidak pernah putus harapan untuk berkolaborasi dengan penyanyi pujaan ramai itu baik menerusi sebuah lagu dan apatah lagi untuk sebuah album.
"Salah satu impian saya yang belum tercapai adalah untuk merakamkan sebuah album yang memuatkan lagu-lagu duet Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham Saloma. Kalau diberi peluang, saya mahu berduet dengan Siti dalam album ini tetapi, hanya masa yang akan menentukan," jelas Jamal penuh makna.
Kehidupan yang tenang
Selama hampir tiga tahun menginap di rumah Pengasih, penyanyi yang diberi jolokan Raja Pop ini mengakui, kehidupannya lebih baik seolah-olah tiada masalah yang membelenggu dirinya.
Luahan Jamal itu ternyata menjawab persoalan penulis yang melihat susuk tubuhnya yang kelihatan berisi itu serta ketenangan yang jelas terpancar di wajahnya.
"Saya masih belum bersedia untuk berdepan dengan realiti hidup dan untuk itu, saya memerlukan sekurang-kurangnya setahun untuk memantapkan diri saya.
"Untuk memulihkan diri saya ia bukanlah hanya dari segi luaran sahaja tetapi emosi dan fizikal juga penting untuk kita benar-benar bebas dari segala permasalahan.
"Saya bersyukur kerana orang-orang di sekeliling sentiasa memberikan nasihat dan sokongan untuk saya terus tabah menghadapi hidup," ungkap Jamal dengan makna yang cukup mendalam.
Selain itu kata Jamal, kekuatan dirinya juga adalah daripada semangat dua orang puteranya, Osama Yamani dan Ahmad Zaki Yamani, masing-masing berusia sembilan dan dua tahun meskipun mereka tidak ada di depan mata.
"Saya juga mahu menunaikan ibadat haji dan jika segala-galanya berjalan lancar, Insya-Allah, penghujung tahun depan saya akan ke sana," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: