Wednesday, February 25, 2009

Kaki tuba ancam galah Setiu


LUMAYAN kalau sabar menunggu hingga malam.
LUMAYAN kalau sabar menunggu hingga malam.

SETIU: Berpandukan pedoman orang tua-tua, jika daun getah mula luruh, itulah tanda awal udang galah mula mudik dari hulu ke hilir sungai untuk bertelur. Angin kencang timur laut yang membawa sama angin kering petanda kemarau di pedalaman Pantai Timur dan ini masa terbaik memancing udang galah.

Sungai Setiu umpamanya, mempunyai puluhan cabang anak sungai. Ia menjadi lokasi tersohor di kalangan kaki pancing untuk memburu udang galah. Kini mereka mula bertandang ke setiap lokasi terpilih di sepanjang jaluran dan cabang anak sungai.

Setiap hujung minggu dan cuti, deretan bot dilihat berlabuh di tepi sungai yang dipenuhi pokok nipah. Beberapa batang joran aksi ringan disandarkan di birai bot menunggu sentapan si sepit biru.

Kawasan Gelam Hangus dan Kampung Nyatoh, adalah antara tempat menjadi kegemaran pemancing udang galah. Bagi mereka yang tidak mempunyai bot, kawasan Jambatan Penarik adalah lokasi terbaik untuk memancing.

Kehadiran puluhan bot dan ratusan batang joran yang dipacak bagaikan pesta. Namun pada masa sama agak malang apabila ada segelintir individu rakus mula bertindak bodoh dengan menabur tuba untuk mengaut keuntungan jangka pendek tetapi memusnahkan keseluruhan generasi udang di sungai itu.

Walaupun tidak begitu serius jika dibandingkan sebelum ini namun kegiatan itu mesti dikekang. Penduduk dan pemancing juga mesti bersikap profesional untuk terus menghalang dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya penubaan berlaku di depan mata mereka.

Berita buruk ini mungkin dapat didengar tidak lama lagi dari Sungai Penarik, Sungai Chalok dan Sungai Nyatoh apabila penuba sudah bersedia untuk menuai udang galah dari lokasi itu pada bila-bila masa saja sekarang.

Udang galah Sungai Penarik tidak kurang hebatnya. Penulis ketika bersembang dengan penduduk setempat yang majoritinya nelayan pancing mengakui bahawa spesies udang galah di sini adalah yang dianggap bermutu dan mempunyai nilai pasaran yang tinggi bagi saiz L, XL dan XXL. Nilai pasarannya antara RM15 hingga RM30 sekilogram.

Pembeli juga sangat berpuas hati kerana udang galah di sini bersaiz agak besar. Lazimnya ia dijual hidup-hidup. Rasanya pula enak dan manis.

Cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini memberi ruang kepada penulis bersama dua rakan untuk turun memancing di Sungai Penarik. Kami menaiki bot dan menyusuri sungai itu menuju ke lubuk udang galah di Gelam Hangus kira-kira 30 minit perjalanan dari jeti di Jambatan Penarik.

Walaupun kurang pengalaman dalam selok belok memancing udang galah namun hasil yang kami diperoleh agak lumayan.

Pendek kata, udang galah Sungai Penarik memang menjadi bualan, buruan dan hidangan popular di sini sekarang. Tetapi apa yang amat dibimbangi, kehadiran penuba yang sentiasa mengintai peluang menuai hasil di hulu sungai sekali gus memusnahkan generasi udang galah di sungai itu.

1 comment:

  1. sy sempat memancing dkt sini td..udang2 dkt sini masih ada lagi..jgn la penuba tu tuba sungai setiu ni..

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: