Thursday, February 26, 2009

Pasangan iblis

KUALA LUMPUR: Mereka bagaikan ‘pasangan iblis’ apabila bijak menggunakan laman sembang di Internet untuk memerangkap lelaki miang yang kemaruk seks sebelum menyamun serta mengugut mangsa menyerahkan wang tunai hingga mencecah RM50,000.

Episod penipuan pasangan suami isteri itu bermula dengan si isteri menggunakan kata-kata manis dan berunsur lucah untuk menggoda mangsa, terutama di kalangan lelaki muda berduit ketika bersembang dalam tempoh tertentu.

Apabila semakin intim di alam siber, mangsa akan diajak berjumpa di lokasi tertentu.

Dalam pertemuan itu, wanita terbabit berpura-pura meluahkan perasaan kononnya dia kehausan seks disebabkan sudah lama tidak dilayan suami.


Dia menetapkan temujanji kedua dengan mangsa di hotel untuk bermadu kasih.

Ketika mereka bertemu di bilik hotel, si suami tiba-tiba muncul lalu mendakwa wanita itu isterinya.

Dengan wajah bengis dan garang, si suami berlakon seolah-olah bengang dengan tindakan isterinya bermain kayu tiga dengan lelaki lain.

Dia juga menuduh mangsa cuba menggoda isterinya.

Si isteri pula akan turut berlakon dengan mendakwa mangsa yang dikenali melalui laman sembang memaksanya melakukan hubungan seks.

Akibatnya, lelaki itu dibelasah sebelum barang berharga miliknya seperti wang, jam tangan, telefon bimbit dan wang tunai dirampas.

Sebelum meninggalkan mangsa, pasangan suami isteri itu mengugut mangsa untuk menghebahkan perbuatan curangnya kepada orang ramai.

Untuk menutup rahsia memalukan itu, mangsa diminta membayar sejumlah wang sebagai upah menutup mulut.

Mangsa yang terpedaya dengan drama pasangan itu akan menuruti kehendak mereka.

Tipu muslihat pasangan iblis itu diceritakan Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong di sini, semalam.

Chong mendedahkan setakat ini, dia menerima tiga kes membabitkan pasangan terbabit.

Katanya, dalam satu daripada aduan itu, mangsa mendakwa terpaksa membayar RM50,000 kepada pasangan berkenaan bagi mengelak rahsianya terbongkar.

“Perbuatan dan perancangan pasangan terbabit begitu licik hingga mangsa tidak menyedari mereka sebenarnya ditipu,” katanya yang percaya ramai lagi menjadi mangsa mereka.

Dia meminta mangsa lain tampil untuk melaporkan kegiatan penipuan pasangan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: