Friday, February 27, 2009

Rozita nafi ‘demand’ tinggi!

“Itu bukan saya. Saya tak pernah ‘demand’ macam tu sekali. Tak mungkin saya minta RM50,000 hanya untuk enam 'scenes'. Saya pun tahu juga batas-batasnya. Mereka mungkin salah faham,” kata Rozita Che Wan, 36, mengenai kontroversi yang melandanya ketika ini.

Pelakon jelita itu dikatakan bersikap ‘demand’ dengan meminta bayaran yang tinggi untuk membintangi filem ‘Dimensi Cinta’ arahan Mohd Aliff Najmi Abdullah atau Eddie Pak. Dek permintaannya yang ‘tidak masuk akal’ itu, pihak produksi filem itu, Harian Inovatif, telah menggugurkan nama Rozita dan menggantikannya dengan pelakon Catriona Ross.

Bagaimanapun kata Rozita, sejak awal lagi dia sudah memberi kata putus kepada penerbit bahawa dia tidak dapat membintangi filem tersebut kerana terikat dengan beberapa projek yang lain.

Katanya, tidak timbul soal dia telah digugurkan daripada produksi itu.

“Saya ditawarkan untuk berlakon filem ini sejak awal Disember tahun lalu. Ketika itu saya cuma sempat terlibat dengan pelancaran filem itu sahaja dan aktiviti yang selebihnya tidak dapat dipenuhi sebab saya terlalu sibuk dengan penggambaran lain. Oleh kerana saya tidak dapat memberikan komitmen untuk filem tersebut, saya menarik diri. Perkara ini sudah pun saya maklumkan pada pihak penerbitan.

“Sebenarnya saya tak mahu panjang-panjangkan cerita. Tapi bila keluar isu seperti ini, secara tidak langsung akan menjejaskan nama saya. Manakan tidak, sudah ada rakan-rakan yang mula mengusik saya, mereka kata ‘takutlah nak ambil saya berlakon sebab saya minta bayaran tinggi’. Malah tidak mustahil kalau ada produksi juga takut untuk mengambil saya berlakon lepas ini.

“Terus-terang, memang saya letakkan harga untuk berlakon, tapi tak adalah sampai tinggi macam tu. Biasanya, saya tengok juga watak apa, berapa scene dan tempoh ‘shooting’ sesuatu filem atau drama itu. Dan sebelum ini pun tak pernah ada produser yang merungut dengan bayaran yang saya letakkan,” jelas Rozita yang bakal menjalani penggambaran filem ‘Aman’ arahan Prof Hatta Azad Khan di samping kumpulan Senario pada bulan Mei ini.



Mangsa gosip



Sejak awal kemunculannya lagi, nama Rozita tidak pernah lekang daripada dikaitkan dengan gosip-gosip cinta. Jika tidak dengan VIP, dia pasti dikaitkan dengan suami orang. Mungkin sudah menjadi lumrah bagi wanita yang berstatus janda sepertinya yang sewenang-wenangnya diheret dengan situasi seperti itu. Sebelum ini, dia pernah dikaitkan dengan Datuk K, suami kepada penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza, kali ini dia dikaitkan pula dengan suami Datin Seri Tiara Jacqualina, Datuk Seri Affendi Norwawi.

“Setiap kali ada gosip mana-mana VIP yang bercinta atau berkahwin dengan artis, orang mesti tuduh saya. Sejak dulu lagi, saya sering menjadi mangsa, lepas satu-satu cerita saya dengan VIP akan timbul. Saya juga tak tahu apa motif mereka kaitkan saya dengan semua VIP ini sedangkan ia langsung tidak benar sama sekali.

“Bila cerita macam ini keluar, orang akan anggap saya ni perosak rumah tangga orang, materialistik dan macam-macam lagi yang negatif. Padahal saya tak pernah ada kena-mengena langsung dengan individu yang dikaitkan itu. Sampai satu tahap, saya dah lali. Tengoklah Datuk mana pula yang dikaitkan dengan saya lepas ini,” sindir Rozita.

Akui agak tertekan dengan gosip yang sering melanda dirinya, ibu kepada dua orang anak, Ammar Effendy, 13 dan Aniq Ezzra, 11, ini bagaimanapun terpaksa akur dengan situasi itu dan menganggapnya sebagai lumrah dalam dunia seni. Walaupun sering berdepan dengan situasi ini, kata Rozita, dia tidak pernah putus asa untuk meneruskan kariernya dalam bidang seni kerana selain minat yang mendalam ia juga menjadi sebahagian dari punca rezekinya.

“Kalau kita tak jadi artis pun, orang akan tetap mengata kita. Cuma bila jadi artis ni, ia akan mendapat perhatian yang lebih meluas. Selagi ada orang yang suka mereka-reka cerita, selagi itulah kita akan berdepan dengan semua ini. Apa –pun saya berharap sangat agar mana-mana pihak yang suka membuat cerita tentang saya itu, hentikanlah benda yang tak berfaedah ini.

“Kesannya pada saya. Orang bukan sahaja pandang rendah pada saya, tetapi juga pada keluarga dan anak-anak saya. Berilah saya ruang untuk bernafas dan teruskan kehidupan saya seperti biasa. Saya tak perlukan gosip-gosip murahan ini,” pinta Rozita.



Pilih orang biasa



Tidak terlepas dari persoalan cinta dan jodoh, Rozita mengakui dirinya masih ‘single’. Mungkin sukar untuk mempercayai kata-katanya itu, kerana masakan wanita cantik dan glamor sepertinya itu tiada yang berkenan.

“Itulah kalau saya kata macam tu (single), ramai yang percaya. Tapi itulah hakikat yang sebenar. Mungkin orang takut nak dekat dengan saya, maklumlah terlalu banyak gosip yang tidak baik tentang saya.

“Memang saya kenal ramai lelaki, tetapi saya tak berani nak lebih-lebih. Takut kalau tersalah pilih, kena suami orang pula. Buat masa ni, biarlah saya ‘single’ dulu, Insya-Allah kalau ada jodoh adalah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: