Tuesday, February 24, 2009

Loudspeaker rancang jual album pada harga RM10

SEAWAL penubuhan band indie yang dikenali sebagai Loudspeaker pada Mei 2007 lalu, tidak ramai yang mengenali band yang dianggotai oleh Alef dan Joel ini.

Dua anak muda ini bergerak selaku vokalis tetapi di dalam masa yang sama memegang posisi gitar kedua iaitu Alef manakala Joel (gitar utama).

Mengimbau kembali sejarah penubuhan mereka, Loudspeaker adalah band yang berbeza kerana konsep ‘duo’ mereka.

Ditanya tentang bagaimana tertubuhnya band ini, Alef atau nama sebenarnya Alef Aizudden, 23, berkata, idea untuk menubuhkan band itu tercetus apabila dia selalu terlibat dengan persembahan secara akustik.

Alef (kiri) dan Joel mengelarkan diri mereka sebagai Loudspeaker. -foto The Star oleh ART CHEN

“Dari situ, baru saya dan Joel terfikir untuk membuat konsep baru iaitu duo 'ala-ala' kumpulan M2M kerana mereka juga menyanyi sambil bermain gitar.

"Tetapi kalau kami membuat persembahan ‘live’, kita akan jemput ‘sessionist’ seperti Am Hujan (drum), Gjie Sixth Sense (keyboard), dan Jash Coda (bass),” kata Alef yang pernah menyertai band ‘No Cash Refunds’.

Idea nama ‘Loudspeaker’ tercetus hasil daripada Alef dan Joel yang gemar melontarkan vokal mereka dengan kuat selain daripada mereka gemar mencuba dan mengkaji penggunaan pelbagai jenis bunyian alat-alat muzik dan penggunaan bunyian dari speaker, ‘amplifier’ dan ‘synthesizer’.

Mereka datang dari dua dunia muzik yang berbeza tetapi minat yang sama membuatkan mereka kekal sehingga ke hari ini. Mereka dikenali dengan ton blues yang dicampur dengan irama bak di tepi pantai yang mudah diingat (catchy) dan menenangkan.

Menurut bekas anggota band ‘Subtitle’ iaitu Joel atau M. Nazirul Karim, 19, mereka memilih muzik blues sebagai salah satu cara mengeksperimentasikan muzik pilihan mereka kerana genre muzik tersebut kurang terdapat di dalam industri hiburan tempatan sejak akhir-akhir ini.

“Kami lebih mengeksperimenkan muzik moden. Saya lihat sekarang ini kurang muzik yang datang daripada hati. Misalnya, kami berdua yang datang dari dua dunia muzik berbeza tetapi penyatuan kami disebabkan menyukai muzik yang sama,” ujarnya.

Alef pula mencelah: “Kami tidak ‘rush’ tentang album dan rakaman. Jadi, apabila mendapat idea, memang kami akan eksperimenkan dengan betul-betul dengan membuat suatu ‘klimaks’ dan ‘demo’ kemudian perdengarkan kepada orang lain seperti kawan-kawan kami sama ada lagu yang dicipta ini bagus atau tidak.

“Kami mengeksperimenkan pelbagai jenis muzik termasuk blues, pop, funk, jazz, soul, R&B, dan latin. Kami memang suka mengkaji setiap muzik.

“Disebabkan itu, kami suka menyanyi dengan kuat sehingga ada jiran terdekat yang datang ketuk rumah kami dengan besi.

“Di rumah, kami mempunyai studio sendiri dan apabila menyanyi kami akan menyanyi sepenuh hati dengan menggunakan alat di studio itu.

“Pengalaman satu malam itu memang membuka fikiran kami. Selain itu, kami suka mencuba pelbagai jenis speaker dan berfikir. Kami juga gemar mengkaji jenis-jenis speaker seperti dari London dan Amerika Syarikat iaitu dari segi bunyinya.

“Kami juga mengkaji pelbagai jenis alat muzik dengan melihat apa yang bagus.”

Memandangkan mereka baru berusia dua tahun di dalam industri dan umum belum mengenali band duo ini, pelbagai strategi diatur untuk memperkenalkan muzik mereka kepada audiens.

Loudspeaker baru sahaja merakamkan single ketiga mereka iaitu ‘Walau’.

Diakhiri dengan vokal teman baik mereka, Lokman daripada rancangan realiti ‘One In A Million’, membuatkan lagu ini sampai ke tahap klimaks.

'Walau' kini boleh didengari di mana-mana stesen radio tempatan seperti X-Fresh FM dan Era FM.

“Kami dan ‘release’ single ‘Walau’ di Jakarta, Indonesia. Alhamdulillah, lagu itu sudah diputarkan di stesen radio di sana. Selepas mendengarnya, penyampai radio juga mengatakan lagu kami sebagai suatu muzik baru.

“Pada Rabu lepas, pengurus kami, Fizar Harun baru pulang dari sana. Insya-Allah, selepas ini kami akan ditemubual oleh stesen radio di sana pada bulan depan.

“Jadi, strategi kami di sana nanti adalah cuba mengkaji dan membuat muzik yang boleh menembusi pasaran di situ.

“Kadangkala mentaliti pemuzik tempatan kurang bersemangat untuk menembusi pasaran sana. Jika ada pun, mereka hanya ‘rush’ atas nama album untuk menempa nama di sana.

“Tetapi berlainan pula dengan kami di mana kami akan pastikan terlebih dahulu album tersebut adalah betul-betul berkualiti dan menjual album dengan harga yang lebih rendah agar semua orang mampu membelinya.

“Di dalam masa yang sama kita akan cuba membanteras masalah cetak rompak. Kami akan menjual sebuah album yang mempunyai 10 buah lagu pada harga RM10.

“Syarikat Mujik Productions yang menerbitkan album kami juga telah bersetuju dengan cadangan kami itu.

“Lagipun, kos untuk menerbitkan album kami tidak berapa mahal sangat kerana kami lebih menumpukan kepada ‘volume’ dan cuba buat yang terendah,” terang Alef mengenai album ‘Impian Realiti’ yang dijangka bakal dipasarkan pada bulan Ogos depan.

Percaya atau tidak, memandangkan mereka merupakan band indie, Alef berkata kos untuk rakaman sebuah lagu seperti Walau hanya menggunakan RM500.

Selain itu, Joel berkata dia menyimpan cita-cita untuk membawa Loudspeaker dikenali di seluruh negara Asia seperti Thailand, Jepun. Tidak terlalu jauh jika dikatakan mereka juga berhasrat memasuki pasaran Amerika Syarikat.

“Kami memang merancang untuk memasarkan album kami ke negara lain selain Indonesia. Jadi, kami telah memilih beberapa lagu berbahasa Inggeris untuk dimuatkan di dalam album kami nanti.

“Alef di dalam perancangan untuk merakamkan lagu ‘Mimpiku Tonight’ dengan rakan sebumbung, Atilia dan sebuah lagi lagu featuring dengan seorang rapper yang setakat ini masih belum ditetapkan lagi,” bual Joel.

Selain Atilia, Loudspeaker turut sebumbung dengan Salamiah Hassan, Doul, Ida Nerina, Zahim Albakri, Goh Wee Ping, artis seberang Maliq & D’ Essentials, Twenty First Night, The Boogiemen dan Sister Duke di bawah Mujik Productions.

Lagu-lagu lain yang bakal dimuatkan di dalam album mereka nanti adalah ‘Ibu’, ‘Sinopsis’ ‘Yang Satu’ dan lain-lain.

Walaupun mereka merasakan pasaran muzik blues kurang mendapat pemintaan yang memberangsangkan, namun mereka tidak takut untuk mengambil sebarang risiko bagi mendekatkan pendengar sekarang dengan ‘muzik alaf baru’ ini.

“Cuba dengar dulu muzik blues kami kerana kami mencampurnya dengan elemen lain seperti rap, jazz dan funk. Kalau kita dengar muzik blues lama-lama memang bosan. Tetapi, ia ibarat suatu revolusi.

“Ramai di kalangan peminat kami yang datang menonton persembahan kami mengatakan mereka menyukai muzik yang kami bawakan dan ada juga yang tidak sabar untuk menantikan album sulung kami,” ujar Alef. Tambah anak muda yang meminati muzik blues, funk, jazz dan soul ini, mereka ada menjual EP yang memuatkan tiga buah lagu iaitu ‘Impian Realiti’, ‘Walau’ dan ‘Hi-skool Blues’ apabila menghadiri setiap persembahan di luar.

Kali terakhir mereka membuat persembahan adalah anjuran Rantai Art Event untuk tabung Gaza.

“Persembahan untuk menolong mangsa serangan Israel di Gaza memberikan suatu pendedahan yang bagus kepada kami.

“Di dalam masa yang sama, penjualan EP ‘Impian Realiti’ agak memeranjatkan kami apabila pembeli bukan sahaja terdiri daripada orang Melayu malah juga menjadi perhatian orang bukan Melayu.

“Ada seorang ‘uncle’ berbangsa cina ini, dia tanya kami tentang lagu Walau,” luah Alef mengenai EP yang telah dicetak dan dijual sebanyak 100 unit itu.

Tambah Alef, itu belum dikira tempahan yang dibuat oleh peminat mereka di laman web MySpace.

Dia berkata mereka akan menerbitkan EP kedua yang memuatkan lima hingga enam buah lagu.

Dalam pada itu, Joel berkata ramai orang yang menyukai dan menyokong muzik tersebut setelah mendapat banyak maklumbalas yang positif daripada peminat di luar sana.

Biarpun mereka terpaksa menerima hakikat tentang fenomena lambakan band indie sekarang, Joel berkata dia dan Alef perlu bersaing dengan sihat dan bekerja dengan lebih keras untuk bernafas di dalam industri ini.

“Semua band indie adalah kawan-kawan kami dan kami rapat antara satu sama lain serta sentiasa menyokong kami. Misalnya, kami rapat dengan Am (Hujan), dan band Sixth Sense.

“Band indie lain selalu melakukan persembahan yang bagus. Bunyi lagu-lagu mereka juga membawa suatu revolusi,” komen Joel mengenai band indie sekarang.

Sementara Alef pula berpendapat mereka perlu menyokong band indie lain di mana dalam masa yang sama meminati cara band Funky Dory, Hujan dan Meet Uncle Hussain melakukan persembahan.

Dalam masa yang sama, Alef mencelah di mana dia menumpang kasihan dengan artis sekarang yang kurang mendapat hasil daripada jualan album.

“Saya berasa sedih apabila CD lagu artis luar iaitu Rihanna dan Switch Foot dijual pada harga RM25.90. Tetapi, album tempatan dijual pada harga RM42.

“Sebagai pembeli, saya rasa lebih baik beli album artis antarabangsa sekurang-kurangnya saya boleh mengkaji bunyi. Kita kena setuju yang muzik di Amerika Syarikat memang dah ‘advance’,” kata peminat John Mayer dan Jimi Hendrix ini.

Selain menyanyi, Alef turut mempunyai bakat di dalam bidang ‘modeling’ dan lakonan.

Menurut Alef, dia pernah berlakon di dalam beberapa buah drama seperti Permata Yang Hilang dan Sunat di bawah pengarah Rashid Sibir dan selepas ini akan memulakan pengambaran dengan produser itu menerusi filem USI sebaliknya Joel pula menumpukan perhatian kepada pengajiannya di Universiti Industry Selangor (Unisel) dalam bidang Multimedia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: