Friday, February 27, 2009

Lebih baik tiada publisiti! -DIA FADILLA

"Bidang seni tidak ada sebarang jaminan kukuh yang dapat meyakinkan golongan artis mampu hidup bersenang-lenang seumur hidup." – DIA FADILLA




KALAU artis lain sibuk bercerita tentang kekasih hati mereka, lain pula halnya dengan Dia Fadilla.

Penyanyi berusia 24 tahun ini seboleh-bolehnya hendak menjauhkan diri daripada bercerita soal peribadi terlalu kerap di media cetak dan media elektronik.

Dia memiliki alasan tersendiri untuk mengelak apabila diajukan pertanyaan nakal daripada pihak media yang seboleh-bolehnya ingin mengetahui dengan lebih lanjut gerangan jejaka yang sedang bertakhta di hatinya.

"Saya lebih suka tidak mendapat publisiti daripada media kalau setakat mahu berbicara soal teman lelaki atau kisah peribadi," jawab Dia ringkas semasa hadir di pejabat Utusan, di Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kenyataan itu keluar daripada mulut Dia apabila diaju soalan tentang pemuda yang dikaitkan bercinta dengan dirinya.

Kalau boleh, Dia enggan mencanang terlalu banyak mengenai kisah peribadi. Dia lebih teruja memperkatakan tentang kehidupan sebagai anak seni serta kerjaya sebagai pensyarah.

"Saya enggan cerita cinta serta peribadi menjadi tajuk utama dalam media cetak. Lebih baik saya tidak keluar surat khabar daripada sibuk menjaja cinta dan perkara yang remeh-temeh.

"Apa yang boleh saya terangkan di sini, saya dan lelaki ini tengah mengenali hati budi masing-masing.

"Dia berusia 29 tahun dan hubungan kami terjalin sejak setahun yang lepas.

"Saya tidak boleh bercakap lanjut tentang pemuda ini apatah lagi saya belum pasti perkara yang bakal terjadi kepada hubungan kami di kemudian hari," ungkap Dia yang masih ingin merahsiakan jejaka pujaan hatinya.

Lantaran itu, Dia amat berharap agar pihak media memahami dan mengerti pendirian dirinya.

"Saya tidak mahu cakap tentang perkara yang tidak pasti terutama apabila membabitkan soal cinta. Biarkanlah saya bercerita tentang karier nyanyian dan hidup saya sebagai pensyarah.

"Harap sangat agar semua pihak faham dengan prinsip saya," ucap Dia mohon dimengertikan.

Dia tidak merajuk


SEDAR dunia nyanyian ada pasang surutnya, Dia mencari kerja tetap.


Keputusan Dia untuk bergelar pensyarah jurusan muzik di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA) bukannya disebabkan dia berkecil hati atau merajuk dengan industri seni tanah air.

Memulakan tanggungjawab barunya sejak enam bulan lepas, Dia menjelaskan karier sebagai seorang pensyarah mula berputik selepas memijakkan kaki ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan mengambil jurusan Muzik.

Dia mengakui tidak pernah merajuk dengan bidang seni yang seolah-olah terlepas pandang akan dirinya, sehingga Dia terpaksa bertukar profession lain.

"Saya tidak merajuk ataupun berputus asa, sebaliknya saya berasa sudah sampai masa untuk saya membuat persediaan bagi menyediakan kehidupan lebih baik pada masa depan.

"Bidang seni tidak ada sebarang jaminan kukuh yang dapat meyakinkan golongan artis mampu hidup bersenang-lenang seumur hidup.

"Oleh itu, saya perlu menyiapkan diri sejak daripada awal lagi agar saya tidak mengalami kesusahan pada masa depan kalau sudah tidak menyanyi.

"Setelah bekerja di ASWARA, saya mula lihat peluang cerah dalam kehidupan. Kalau tidak menyanyi lagi, sudah pasti saya dapat meneruskan hidup," kata Dia.

Tidak henti-henti mengucapkan kesyukuran kepada Allah, Dia memberitahu, dalam waktu singkat, sudah pandai menyesuaikan diri dengan tugas baru sebagai pensyarah.

"Bayangkan, pada awalnya saya mengalami sedikit kesulitan kerana harus memberikan sepenuh tumpuan bermula pukul 7.30 pagi hingga 4.30 petang setiap Isnin sehingga Jumaat.

"Ditambah kalau adanya undangan nyanyian pada hari-hari biasa atau sesi fotografi bersama pihak media, saya kena berkejaran ke sana ke mari.

"Memanglah payah, namun lama-kelamaan saya dapat membiasakan diri di antara tuntutan kerja sebagai penyanyi dan pensyarah," jelas penyanyi lagu Andai.

Dengan status sebagai seorang artis, maka sudah pastilah kelibat Dia sentiasa dinanti-nantikan para pelajarnya yang enggan terlepas pandang melihat penampilannya di sekitar ASWARA.

Dia memberitahu, semasa mula-mula melangkah kaki ke ASRAWA, satu perasaan luar biasa mula menghantui diri.

"Saya berasa kekok jugalah semasa kali pertama masuk ke ASWARA. Ada pelajar yang bertanya sama ada saya turut belajar di situ.

"Lama-kelamaan, barulah mereka mengetahui bahawa saya bertugas di ASWARA sebagai tenaga pengajar.

"Penerimaan pelajar pada mulanya sememangnya sukar sikit kerana mereka memandang saya sebagai seorang artis. Adakalanya saya seakan-akan diperhatikan jika hendak pergi ke mana-mana.

"Selepas enam bulan berada di sana, saya tidak lagi berdepan dengan masalah ini. Mungkin para pelajar di ASWARA macam terbiasa melihat muka saya.

"Lagipun saya ialah Nur Nadia Fadila Abu Bakar apabila berada di ASWARA, bukan sebagai Dia Fadila," luah Dia tegas.

Ditanya tentang kepuasan bergelar seorang pensyarah, Dia mendedahkan, tiada yang lebih membahagiakan apabila anak didiknya mencapai kejayaan yang diimpikan masing-masing.

"Saya ada sasaran tertentu untuk pelajar yang belajar di situ. Seboleh-bolehnya saya mahu mendedahkan mereka dunia yang sebenar supaya mampu berdepan dengan realiti kelak.

"Contohnya saya akan dedahkan mereka kepada industri seni. Saya menekankan kepada mereka bidang nyanyian mencakupi pelbagai skop dan berbeza di antara satu sama lain.

"Saya amat teruja untuk melihat anak didik saya mencapai kejayaan kelak. Mungkin mereka boleh menjadi pelapis penyanyi sedia ada, lantas mengharumkan nama negara," ujar Dia.




Muncul dengan album ketiga

Setelah hampir tiga tahun tidak mengeluarkan album, tahun 2009 yang muncul memberikan sinar baru kepada Dia yang tampil dengan album ketiga, Terbaik Dariku.

"Alhamdulillah, album ini dipasarkan 13 Januari lalu dan album ini menjadi album ketiga milik saya.

"Terbaik Dariku memuatkan 10 buah lagu lama manakala dua lagu baru ciptaan komposer luar.

"Lagu berjudul Satu Ruang merupakan ciptaan anak seni bernama Yunika dan seratus peratus dibikin di Indonesia.

"Jat Da Da Da pula adalah lagu gubahan karyawan Thailand, Chetta Yaroteak yang telah dialih bahasa ke dalam bahasa Malaysia.

"Lagu ini sebenarnya pernah dirakam dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Mandarin dan Jepun oleh penyanyi berbeza.

"Kali ini giliran saya pula untuk mendendangkan lagu berentak rancak ini," beritahu Dia dalam nada teruja.

Dengan kelahiran album ini, Dia mengharapkan ruang supaya terus bernafas dalam industri seni sekali gus dapat diterima dengan baik oleh peminat.

"Baki lapan buah lagu yang dimuatkan dalam Terbaik Dariku merupakan lagu yang dipetik daripada album saya yang terdahulu.

"Biarpun tidak muncul sepenuhnya menampilkan lagu baru, Dia Fadila tidak menganggap kelahiran album ini sebagai kompilasi semata-mata, sebaliknya ada maksud tersendiri.

"Kiranya album ini ibarat mahu memperkenalkan saya semula dalam dunia seni seperti sebelum ini," tutur Dia lagi.

Bukan itu sahaja, Dia akur dengan kehendak pasaran yang tidak menentu. Lantas dua lagu baru bagi Dia sudah mencukupi.

Dia juga bersyukur masih berpeluang muncul dengan buah tangan baru untuk halwa telinga peminat.

"Inisiatif memuatkan semula lagu-lagu terdahulu wajar dipuji dan usaha mengenengahkannya kembali menjadi satu peluang bagi menghargai karya yang tidak diketahui peminat.

"Dia tak menganggap lapan lagu ini sebagai lagu lama, cuma ia tidak berpeluang dimainkan di corong-corong radio atau televisyen sebelum ini.

"Lagipun, sayang juga rasanya kalau dibiarkan begitu sahaja. Tiada salahnya Dia mahu merakamkan semula lagu-lagu lama ini untuk berkongsi dengan para peminat," akhiri Dia sebelum berlalu pergi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: