|
BUAT pertama kalinya menjengah kaca televisyen tempatan, saluran HBO membawakan siri drama komedi terbaru, Mumbai Calling yang bakal memula siarannya pada 25 Februari, pukul 10.30 malam di HBO (saluran Astro 411).
Siri tujuh episod yang menjalani pengambaran sepenuhnya di India itu dihasilkan oleh Allan McKeown yang juga penerbit eksekutif siri tersebut.
Barisan pelakon utama yang membintangi siri tersebut termasuklah Sanjeev Bhaskar, Nitin Ganatra dan Daisy Beaumont, pelakon sebelum ini pernah membintangi filem Star Stories.
Mumbai Calling mengisahkan sekumpulan siswazah institusi pengajian tinggi di England menghabiskan masa berjam-jam hanya untuk mendengar aduan dan menjawab pelbagai pertanyaan masyarakat di pusat Panggilan Teknobable di pusat bandar Mumbai.
Kenny Gupta yang berasal dari London telah dihantar bertugas ke Mumbai untuk mengendalikan pusat panggilan tersebut.
Bagaimanapun, dia melewati kehidupan sukar dan hilang arah tujuan kerana kehilangan kekasih dan satu-satu harapannya adalah untuk kembali ke kampung halamannya di London.
Tanpa disedari, Kenny terlibat dengan pelbagai insiden dan gangguan yang berlaku di Mumbai.
Menangani konflik yang berlaku, pengurusan Teknobable diambil alih oleh Dev Rajah yang merupakan pengurus besar serta pembekal barangan dan perkhidmatan-perkhidmatan rahsia Kenny.
Keadaan berubah apabila ibu pejabat London menghantar Terri Johnson (lakonan Daisy Beaumont), seorang wanita seksi berusia awal 30-an untuk meninjau keadaan pusat panggilan di Mumbai.
Hubungan di antara Kenny dan Terri tegang namun, terpaksa bergandingan bagi menangani krisis yang berulang kali berlaku di pejabat mereka.
Bergandingan dengan pelakon asing bagi Sanjeev merupakan pengalaman yang menarik dan unik kerana menurutnya, dari situ dia dapat berkongsi pelbagai pengalaman dengan barisan pelakon terutamanya dalam membincangkan hal spiritualisme, politik, keluarga, serta filem dan muzik.
Melakukan pelbagai kajian untuk siri tersebut kata Sanjeev: "Saya telah mengunjungi pusat-pusat panggilan apabila melakukan siri dokumentari mengenai India, tetapi kami juga mempunyai beberapa penasihat teknikal bagi membantu tentang ciri-ciri ketulenan siri ini.
"Semua unsur-unsur kreatif yang saya lakukan termasuklah berlakon, menulis, mengarah dan mengarang semuanya wujud daripada keinginan saya untuk berkreatif. Dalam skrip atau buku-buku, TV atau filem, saya cuba tonjolkan ekspresi daripada diri sebaik yang saya boleh," katanya.
Bercerita tentang keunikan Bandar Mumbai, menurut Sanjeev yang telah tujuh kali berkunjung ke Mumbai berkata, dia menyukai tenaga, campuran kebudayaan, potensi serta kehidupan malam di Bandar itu.
Biarpun membenci keadaan trafik di sana namun, produksi Mumbai Calling sedaya upaya memberi posisi yang baik tanpa membabitkan persepsi buruk tentang Bandar tersebut.
Bagi peminat siri komedi, pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan Mumbai Calling yang bakal memulakan siarannya setiap hari Rabu bermula hari ini pukul 10.30 malam menerusi saluran HBO (saluran 411, Astro).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: