Friday, February 20, 2009

Kekasih misteri jejaka idaman...Nasreen Ngasri

"Saya akan bertunang pada Mac dan berkahwin pada pertengahan tahun ini juga" – DARLING




KISAH putus cintanya masih lagi bersisa dan menjadi bualan ramai. Ada juga spekulasi yang kurang 'waras' menerjah kala cerita luka cintanya yang kecundang bertebaran.

Namun, tiada hujan, tiada ribut, tiba-tiba sahaja selebriti bertubuh genit Nasreen Ngasri atau Darling dikatakan bakal mengakhiri zaman gadisnya tidak lama lagi.

Malah, ada pihak mendakwa jejaka yang bakal menjadi suaminya itu merupakan pilihan ibunya sendiri.

Benar atau tidak berita itu, hanya Darling yang mampu menjawabnya.

Pertemuan dengannya baru-baru ini di set penggambaran drama bersiri popular terbitannya iaitu Gadis Cuci di Ampang telah menukarkan segala gosip yang tersebar itu menjadi realiti.

Ini kerana Darling sendiri mengakui kepada Kosmo!, dia bakal mengakhiri zaman gadis pada pertengahan tahun ini.

Bagaimanapun, jejaka bertuah yang bakal bergelar suaminya itu bukanlah pilihan ibunya seperti yang didakwa.

Menurut Darling, jejaka itu merupakan pilihan hatinya sendiri, dan perancangan untuk mendirikan rumah tangga pada pertengahan tahun ini juga bukan desakan atau paksaan daripada keluarganya.

"Andai ada jodoh, saya akan berkahwin. Saya tidak pernah mahu menyembunyikan perkara baik ini, cuma ia disebarkan oleh orang lain sebelum waktunya.

"Pada saya kalau lelaki yang saya pilih itu disukai oleh ibu bapa saya, itu lebih baik. Ibu bapa mana tidak mahu lihat anak mereka bahagia," ujarnya sambil ketawa kecil.

Darling tersenyum lagi apabila ditanya tentang desas-desus kononnya ibu bapanya 'mensyaratkan' hanya lelaki kaya saja yang layak menjadi suaminya. Ini berikutan khabar yang diterima bakal suaminya merupakan seorang ahli perniagaan yang kukuh pendapatannya.

Lama dia terdiam seraya berkata: "Ya, memang dia kaya, tetapi dia kaya hati. Itu yang saya senang dengannya. Salah ke kalau bakal suami saya seorang ahli perniagaan?

"Saya menerimanya bukan kerana harta, rupa paras atau pun umur, saya tidak pandang semua itu. Apa yang penting hatinya.

"Kalau sudah jumpa orang yang tepat dan mempunyai keserasian, kenapa perlu tunggu lagi? Umur saya pun makin meningkat, bukannya makin menurun," ujarnya berseloroh.

Cinta gantian segera?

Jika diukur tempoh putus cinta dengan perancangan perkahwinannya ini, ia dilihat terlalu pantas dan terlalu tergesa-gesa.


BAKAL bergelar isteri orang pertengahan tahun ini.


Mungkinkah perkahwinan yang diaturkan itu sekadar ingin menutup kekecewaan cintanya yang lalu? Atau ia menjadi titik tolak untuk Darling memperlihatkan bahawa dia tidak mudah patah hati dengan lara yang lalu?

Gadis berusia 26 tahun ini dengan tenang memberitahu, kegagalan cinta lalu tidak sekelumit pun mempengaruhi keputusannya untuk menamatkan zaman gadis dengan kadar segera.

"Terus-terang saya katakan, rancangan perkahwinan ini bukan kerana saya kecewa tetapi saya telah bersedia dan bertemu dengan orang saya cintai.

"Saya akui, memang banyak pengalaman buruk dalam hubungan cinta sebelum ini tetapi itu bukan halangannya. Hubungan yang tidak berjaya itu saya anggap sudah tidak ada jodoh.

"Tidak pernah ada rasa kecewa atau menyesal, pada saya segala kisah putus cinta itu sebagai satu pengalaman hidup yang berguna untuk saya perbaiki dalam hubungan pada masa akan datang," katanya.

Tambahnya lagi, perkenalannya dengan bakal suaminya berlangsung secara tidak sengaja. Semua gara-gara kerjayanya sebagai seorang ahli perniagaan, dan tidak menyangka hubungan sebagai rakan bertukar menjadi cinta dalam detik yang sekejap saja.

"Memang kami berkenalan kerana kerjaya. Ingin saya katakan cinta kami bukannya drastik kerana kami berkenalan tidak terlalu lama, tidak juga terlalu singkat. Tempoh masa perkenalan itu cukup untuk saya mengenali hati budinya.

"Rancangan kahwin itu datang secara tidak sengaja dan dia pun menyunting saya untuk menjadi isterinya dengan cara yang betul,ikut adat, sebab itu saya terima," jelasnya lagi.

Dia lelaki idaman

Bercerita lebih lanjut tentang jejaka pilihan hatinya, Darling masih tersipu-sipu malu. Jauh sekali untuk mengumumkan nama penuh atau menyiarkan foto wajah jejaka idamannya itu.

Apa yang dijelaskan hanyalah, jejaka pilihannya itu berusia dalam lingkungan 30-an.




Malah, kerana jejaka tersebut memenuhi ciri-ciri lelaki idamannya, tiada sebab untuknya menolak cinta yang telah berputik dalam diam itu.

"Dia seorang yang cukup sederhana, ikhlas, amanah dan mempunyai asas agama yang pada saya layak untuk membimbing saya sebagai isterinya kelak.

"Saya juga ikhlas dengannya kerana pada saya cinta itu satu ibadah, saya harap hubungan ini akan bahagia dan kekal sehingga akhir hayat.

"Jika selama ini saya habis masa 24 jam sehari dengan kerja, selepas berkahwin saya harus membahagikan masa dan dalam masa yang sama saya tidak akan lupa dengan cita-cita saya untuk menjadi seorang usahawan berjaya," luahnya yang belum bersedia untuk 'mendedahkan' identiti diri lelaki berkenaan.

Bila ditanya tentang tarikh hari bahagia, Darling hanya menjawab: "Saya akan bertunang pada Mac dan berkahwin pada pertengahan tahun ini juga. Tarikh pertunangan dan perkahwinan akan saya beritahu nanti. Jangan risau, saya akan jemput semua," katanya lagi.

Menantu kaya lagi bagus!

NAMPAKNYA perkhabaran gembira ini turut disambut dengan penuh kesyukuran oleh bapa Darling, Ngasri Sain.

Bapanya ketika ditemu bual memberitahu, seluruh keluarganya merestui hubungan anaknya dengan ahli perniagaan asal Melaka itu.

Menurutnya, bakal menantunya seorang yang amat sederhana, hormat orang tua dan bertanggungjawab, kerana itu dia disenangi seluruh anggota keluarganya.

"Mudahan-mudahan, semuanya akan berjalan lancar. Kalau ikutkan pihak lelaki mereka mahu percepatkan tarikh nikah ke bulan Mac tetapi kami di pihak perempuan mahu menguruskan banyak perkara menjelang hari bahagia Darling.

"Sebab itu kami minta tangguh ke pertengahan tahun ini.

"Saya menyenangi bakal menantu ini kerana kesungguhannya yang ditunjukkan untuk bersama Darling. Memang usianya pun sudah sampai 'seru' untuk berkahwin, eloklah dia sudah bertemu dengan orang yang baik," jelasnya.


NGASRI SAIN


Ketika ditanya tentang pendapat yang mengatakan keluarganya hanya memilih menantu kaya sahaja, Ngasri hanya mampu tertawa. Ironinya, Ngasri tidak menolak dakwaan itu.

"Saya tidak meletakkan syarat hanya ingin menantu kaya saja. Asalkan dia boleh membahagiakan anak saya, kira okeylah.

"Kalau kaya pun apa salahnya? Ia lebih baik dan lebih bagus, tidak perlulah saya lihat anak saya kerja teruk. Tetapi ini semua berbalik pada soal jodoh. Jodoh kita tidak boleh cakap, kalau itu jodoh anak saya, saya terima.

"Namun, saya kena juga lihat sejarah keluarganya juga. Bukan kami memilih, tetapi saya ada juga buat sesi temuramah dengan bakal menantu sebelum beri izin kepada dia untuk memiliki anak saya.

"Saya rasa semua ibu bapa pun lakukan hal yang sama. Mana ada ibu bapa yang tidak ingin lihat anak mereka bahagia, semua mahu lihat anak bahagia, begitu juga saya," ujarnya.

Tambahnya lagi, sebagai bapa dia bersyukur setelah beberapa episod duka yang dilalui anaknya tahun lalu berakhir dengan kegembiraan.

"Alhamdulillah, saya doakan hubungan mereka sehingga ke anak cucu, ini pilihan Darling dan kami terima dengan tangan yang terbuka," luahnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: