KUALA LUMPUR: Pelbagai jenis ilmu pembomohan dijualnya, bahkan berunsur jahat semata-mata untuk mendapatkan wang.
Dengan hanya membayar RM30, sesiapa saja boleh mempelajari ilmu seperti perangsang, (membangkit berahi wanita), menghilangkan diri, pelaris, membuat minyak pengasih, penunduk, tarik duit, cinta berahi dan memikat suami yang ditawarkan sebuah laman web ilmu pengasih.
Laman web itu bagaimanapun mencampur adukkan ayat suci al-Quran dengan pelbagai mentera yang dianggap menyeleweng daripada ajaran Islam.
Ini seolah-olah memperdagangkan ayat suci al-Quran untuk kegiatan ke arah kesesatan.
|
Ilmu pembomohan itu tidak ubah seakan tuisyen gaya pos yang popular satu masa dulu apabila individu boleh mempelajari sendiri ilmu berkenaan selepas menerima panduan dikirim menggunakan e-mel pelanggan.
Bagi mengumpan pelanggan, pengendali laman web terbabit turut mendakwa ilmu ditawarkan bukan saja laris di pasaran tempatan tetapi juga luar negara.
Antara pelanggan luar yang dikatakan menempah ilmu terbabit dari New Zealand, Australia dan Amerika Syarikat, Britain serta beberapa lagi negara Eropah.
Dakwa pengendali itu lagi, ada pelanggan dari luar negara yang taksub mempelajari ilmunya sanggup berbual melalui telefon berjam-jam untuk mendapatkan petua, keberkatan serta menjamin kemujaraban ilmu dipelajari daripadanya.
Bukan itu saja, dia yang mendakwa sudah berkahwin menceritakan kisah hidupnya sebelum ini yang dipenuhi peristiwa duka.
Tetapi, kini, kehidupannya berubah selepas dia mengamalkan pelbagai ilmu berkenaan daripada seorang guru.
Apabila merasakan hidupnya mulai senang, dia mengambil keputusan untuk berkongsi amalan terbabit dengan menjualnya kepada umum melalui online.
Bagi individu berminat melanggan produknya, mereka diperlukan membuat bayaran menggunakan akaun bank atau kad kredit.
Curiga dengan laman web terbabit, wartawan Harian Metro cuba menghubungi pengendali laman web berkenaan menggunakan telefon bimbit tertera.
Namun, panggilan tidak dijawab dan sengaja diputuskan.
Sementara itu, pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, ketika diminta mengulas kewujudan laman web aneh itu, berkata teknik pembelajaran sedemikian tidak digalakkan agama berikutan boleh mengakibatkan akidah umat Islam disongsangkan.
Katanya, doa daripada ayat suci al-Quran serta mentera yang diragui maksudnya boleh menyesatkan umat Islam.
“Ia dicurigai menyeru makhluk lain jika diamalkan tanpa meminta nasihat daripada pakar agama.
“Lebih merisaukan mengikut hadis Rasulullah, teknik pembelajaran tanpa berguru boleh diibarat seperti berguru dengan syaitan, khasnya jika diamalkan golongan muda yang masih mentah serta kadang-kadang terlalu ghairah mempelajari ilmu seperti itu.
“Berikutan itu, bagi mereka yang ingin mendalami ilmu agama hendaklah berguru agar kesilapan atau sebarang perkara tidak jelas boleh dirujuk terus pada guru masing-masing,” katanya yang menjelaskan aktiviti jual beli ayat suci al-Quran adalah ditegah.
Menurutnya, beliau sendiri hampir terjerat dengan ilmu pembomohan apabila diminta menghuraikan maksud mentera dalam bahasa jawa dicampur aduk dengan ayat Kursi dan Al-Fatihah kononnya untuk menghalau jin oleh seorang wanita.
“Ketika mula dibaca, saya merasakan ia gabungan ayat yang mantap, bagaimanapun selepas dikaji mentera terbabit, didapati mengarut kerana turut memuja makhluk halus bagi membantu menghalau makhluk halus mengganggu manusia,” katanya.
Berikutan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu taksub dengan tawaran mendapatkan ilmu dengan harga serendah RM30, sebaliknya merujuk pada pakar agama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: