KECUAIAN akibat terlalu mempercayai orang lain, akhirnya mengundang padah kepada aktres Azizah Mahzan, 45, apabila gambar koleksi peribadi yang disimpan di dalam ‘thumbdrive’nya dimanipulasi oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
Baru-baru ini, gambar-gambar intimnya dengan pelakon Zaefrul Nordin, 43, disebarkan di internet lalu Azizah dihentam habisan-habisan menunjukkan ramai yang menentang perlakuan dua pelakon drama episod Spa Q 2 itu.
Bukan itu sahaja, Azizah berkata gambar peribadinya yang lain turut disebarkan seolah-olah mencabuli privasinya.
Lebih mengharukan, aktres yang mesra dengan panggilan Kak Zi ini telah dipandang serong oleh penduduk di Kampung Tampin ketika dia terlibat dengan sesi pengambaran sebuah drama.
"Saya berasa malu apabila dipandang serong oleh penduduk kampung di tempat saya melakukan pengambaran drama ini.
"Diikutkan, gambar-gambar tersebut hanya disebarkan di internet. Jadi, saya pasti dikalangan makcik-makcik di sana mungkin tidak tahu tentang internet.
"Tetapi akhirnya mereka boleh tahu juga tentang gambar-gambar itu setelah beberapa akhbar menyiarkan gambar saya dan Zaefrul.
"Daripada orang tak tahu tentang hal ini, mereka sudah tahu termasuklah orang di Ulu Tembeling," komen Azizah selepas beberapa lama mendiamkan diri.
Jika Zaefrul sebelum ini memberikan alasan dia terlupa batasan kerana menganggap aktres itu ibarat kakaknya, Azizah pula akui dia berasa teraniaya tetapi dalam masa yang sama pasrah dengan apa yang terjadi.
"Saya rasa teraniaya apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab sanggup menyebarkan gambar itu.
"Apa yang saya tahu, gambar-gambar itu diambil daripada ‘thumbdrive’ saya.
"Apabila kawan-kawan saya ingin melihat gambar yang kami ambil di Langkawi itu, tanpa teragak-agak terus saya memberikan ‘thumbdrive’ yang mengandungi banyak koleksi gambar saya itu.
"Selain itu ada juga yang bertanya, ‘Akak, boleh tak saya nak dapatkan salinan gambar untuk dibuat ‘props’’. Saya pula jenis jujur, jadi saya terus kata, ‘Ambillah ‘thumbdrive’ ni dan pilihlah gambar yang sesuai’.
"Bagaimanapun, saya tidak mahu menuduh sesiapa yang menyebarkan gambar-gambar itu kerana menganggap diri saya tidak bermusuh dengan sesiapa.
"Saya ni jenis kalau orang datang lambat atau sebagainya, saya akan tegur depan-depan. Saya tak tahulah jika ada yang berdendam dengan saya.
"Bagaimanapun, saya sudah maafkan orang yang sengaja menyebarkan gambar itu dengan niat hendak memalukan saya. Saya terima dan pasrah dengan apa yang berlaku," luah Azizah ketika dihubungi semalam.
Dimaklumkan, kebanyakan gambar intim Azizah dan Zaefrul dirakamkan ketika mereka meluangkan masa bersama rakan artis dan krew produksi yang terlibat dengan pengambaran drama bersiri Spa Q di Langkawi.
Menurut Azizah, antara gambar intim seperti dia duduk di atas riba Zaefrul hanyalah gambar yang diambil untuk dijadikan ‘props’ drama Spa Q 2 kerana di dalam drama itu mereka melakonkan watak sepasang suami isteri.
Kebanyakan gambar yang diambil melibatkan Azizah dan Zaefrul juga diambil secara ‘candid’ dan disebabkan itu, dia menganggap orang lain boleh memberikan pelbagai tanggapan sehingga mendakwa mereka mempunyai ‘hubungan’.
Diaju tentang dakwaan tersebut, sama seperti Zaefrul, Azizah turut menafikan hal itu.
"Saya tidak mempunyai ‘hubungan’ langsung dengan dia. Saya dah jelaskan sebelum ini. Jadi, orang nak saya buat apa lagi?.
"Takkan nak saya bersumpah seperti budak yang diliwat oleh Anwar Ibrahim itu. Tetapi, saya boleh bersumpah kalau mereka nak.
"Saya berani bersumpah kerana memang kami macam adik-beradik sahaja," jelasnya.
Azizah akui kontoversi yang melanda ini boleh menjejaskan karier seninya lalu ibu tunggal kepada seorang anak perempuan berusia 25 tahun ini berharap supaya orang lain berhenti dari menyebarkan gambar-gambar itu.
"Saya bukan seorang cikgu untuk memberikan pengajaran kepada sesiapa. Tetapi jika orang lain rasa hal ini salah dan mengaibkan, mereka sepatutnya berhenti dari menyebarkan gambar-gambar itu.
"Jika mereka rasa tidak mahu memberikan orang lain tahu tentang hal itu, gambar-gambar itu tidak sepatutnya disebarkan sehingga keluar di akhbar.
"Misalnya dulu jika saya mendapat gambar artis lain yang mengaibkan, saya tak pernah sebarkan. Saya fikir kalau buat macam tu hanya tambah dosa. Dosa saya yang sebelum ni pun sudah banyak dan belum terampun....
"Jadi, selepas ini saya tak nak terlibat lagi dengan hal ini. Biarlah media nak tulis apa-apa tentang saya bagi melariskan akhbar dan majalah mereka.
"Saya akui yang semuanya datang daripada kesilapan saya yang terlupa, tidak kisah dan mempercayai orang lain sehingga tidak menyangka hal sebegini akan berlaku.
"Selain itu, saya juga mengakui kesalahan saya yang lupa diri dan lupa kepada Tuhan. Tetapi, orang lain yang menyebarkan gambar serta merekacipta pelbagai andaian dan syak wasangka juga perlu ingat tentang kesalahannya dengan Tuhan. Hal itu lagi teruk, tetapi saya akui yang saya bukan Tuhan.
"Jika saya kata tiada apa-apa, jadi tiadalah. Kami memang tidak mempunyai apa-apa ‘hubungan’ walau seintim mana pun gambar kami diambil," tegas Azizah.
Tambahnya, dia juga sudah serik memberikan komen kerana orang akan tersalah anggap dan memutarbelitkan komen yang diberikan.
"Saya rasa malas nak bercakap dengan sesiapa pun sebab saya sudah jelaskan tentang gambar tersebut sebelum ini.
"Saya tak suka cakap perkara yang sama. Apabila saya cakap macam ni, korang cakap macam ni. Jadi, saya rasa malas nak memberikan apa-apa komen lagi.
"Saya tak minta pun orang lain kasihankan saya. Saya tak rasa rugi apa-apa pun.
"Tetapi, orang yang bertanggungjawab menyebarkan gambar itu mesti rasa bahagia dan selepas ini bukan saya sahaja yang akan menjadi mangsa malah mungkin ramai artis lain lagi yang kena.
"Tiada apa-apa yang saya boleh katakan termasuk menafikan gambar tentang gambar tersebut.
"Saya lebih suka biarkan apa yang orang nak kata dan jangka apa-apa tentang gambar itu.
"Jika orang itu rasa gembira apabila melihat gambar itu dan menceroboh kehidupan privasi orang lain, terpulanglah.
"Saya bukannya jenis sukakan publisiti di dalam industri seni ini. Jadi, saya tak nak terlibat dengan apa-apa yang melibatkan publik dan publisiti.
"Saya tidak mahu memberi apa-apa komen dan hanya biarkan apa yang berlaku ini dengan mereka," ulas Azizah yang turut merasakan dirinya ‘disabotaj’.
Jelas Azizah, selepas ini, dia akan lebih mengambil langkah berhati-hati bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang lagi.
"Kalau orang meminta gambar saya untuk dijadikan ‘props’ dan sebagainya, saya nak mereka ambil sendiri gambar itu dan tidak akan sekali-kali dengan mudahnya memberikan ‘thumbdrive’ saya kepada orang lain," akhirinya yang masih berkawan dengan Zaefrul dan isteri selepas hal ini terjadi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: