PERISTIWA lalu mengajar Norwatie Sadeli, 33, atau Watie erti kematangan dalam kehidupan. |
Dua kali gagal dalam perkahwinan membuat wanita ini berhati-hati mencari teman hidup.
Ramai yang ingin mendekatinya, tetapi kebanyakan muda belaka.
Jejaka yang beza usia lima hingga 10 tahun daripadanya bukan cita rasa ibu kepada Ahmad Afif Daniel, 5, ini.
Watie sendiri tidak mengerti kenapa sekarang lelaki muda gemarkan wanita berusia.
Jelas Watie dia malu berkawan dengan mereka yang selayaknya menjadi adik atau anak saudaranya.
"Kalau saya pergi ke tempat mencuci kereta ramai anak muda menegur dan rela hati menjaga Daniel. Manakala yang agak berusia buat tak tahu saja. Bukan saya mengharapkan perhatian mereka cuma saya perhatikan kecenderungan lelaki muda kepada wanita berusia.
"Saya sedar umur dah meningkat dan tidak layak lagi mendampingi orang muda. Sekarang umur saya 33 tahun dan katalah lelaki itu baru 20 tahun. Apabila umur saya 43 tahun, dia baru 30 tahun dan mula hendak berseronok.
"Anak saudara saya sendiri ada yang berusia 20 tahun jadi tidak manis saya memilih jejaka semuda itu untuk dijadikan pasangan hidup. Saya suka lelaki berusia daripada saya.
"Sekarang saya rapat dengan seseorang yang bekerja dalam industri ini juga. Umurnya 36 tahun dan masih bujang, tetapi tak tahu lagi sama ada kami ada jodoh.
|
"Selagi hubungan kami belum disahkan saya tidak berani memperkenalkan siapa dia. Nanti tak jadi saya yang malu. Waktu muda lain, sekarang bukan lagi masa menayang teman lelaki. Lainlah kalau kami sudah sah hendak berkahwin.
|
"Saya pun tidak berani mengharap yang kami akan berkahwin. Tak jadi pun tidak mengapa kerana saya pernah melalui alam rumah tangga. Malah, hidup saya kini bahagia.
"Mana ada masa mencari teman lelaki di luar gelanggang seni kerana kebanyakan masa dihabiskan di lokasi. Habis kerja terus balik rumah. Tak ada masa hendak bergaul dengan orang luar. Hidup saya dulu dengan sekarang jauh berubah, tiada lagi mencari hiburan di luar kerana kasihankan anak.
"Daniel dah pandai merajuk kerana saya selalu tiada di rumah. Selalunya apabila saya keluar bekerja dia masih tidur dan bila balik dia dah tidur kerana esoknya hendak ke sekolah. Daniel tahu saya berlakon dan kenal wajah saya di televisyen.
"Kalau saya tak berlakon macam mana hendak menyara kehidupan kami dua beranak. Kini bila ada lapang sehari dua mesti dihabiskan bersama Daniel. Jika saya ada suami boleh bergilir menjaga anak.
"Ini saya seorang kena menjaga dan memberi didikan kepadanya. Daniel pun tidak pernah bertanyakan papanya kerana sejak dia hadir di dunia ini dia tengok muka saya seorang," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: