Tuesday, February 24, 2009

Anak Erra belum tentu berlakon drama Mertua vs Menantu

SEBELUM ini, pernah diuar-uarkan bahawa anak kepada pasangan pelakon Erra Fazira dan Engku Emran Engku Zainal Abidin yang bakal dilahirkan bulan depan, akan turut ditawarkan membintangi drama lakonan Erra yang sedang meletup sekarang di saluran 105 Astro Prima iaitu Mertua vs Menantu.

Memandangkan drama yang memasuki musim kedua ini memaparkan lakonan Erra yang sedang hamil sama seperti keadaannya di alam realiti sekarang, jadi tidak hairanlah sekiranya bayi yang dikandungkan itu juga mahu ditunjukkan secara realitinya.

Ulas Erra, produser David Teo yang menerbitkan drama itu ada memberitahu hajatnya untuk mengambil anaknya sebagai pelakon drama itu kelak.

Bagaimanapun, ketika ditanya kepada bakal ibu itu, Erra sambil tersenyum menjawab kemungkinan untuk anaknya berlakon nanti agak tipis.

“Kami merancang akan menyambung penggambaran drama itu dalam bulan Mei nanti. Tetapi bayi saya pula dijangka berusia dalam dua bulan pada waktu itu. Jadi, agak tidak sesuai sikitlah untuk anak saya 'berlakon' masa itu.

Erra sedang menantikan kelahiran bayi sulungnya. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT

“Suami saya pun tidak terlalu menggalakkan anak saya untuk dibawa bersama di dalam drama itu kerana dirasakan terlalu kecil,” jelas Erra ketika majlis doa selamat bagi meraikan kejayaan drama 26 episod Mertua vs Menantu musim pertama yang telah berjaya mencapai rating tertinggi dan antara drama tempatan top 10 sekarang ini.

Majlis tersebut diadakan di restoran milik David Teo iaitu Restoran Lemon, The Mines, Serdang, semalam.

Mertua vs Menantu mengisahkan tentang pergolakan antara seorang ibu mertua (Rozie Othman) dan menantu perempuannya (Erra).

Drama berkonsepkan komedi keluarga ini merupakan satu idea bagi mengupas isu ‘anak emak’ (Aqasha) yang berlegar dalam kehidupan sebuah rumah tangga.

Drama tersebut disiarkan pada setiap Rabu, pukul 10 malam di saluran 105 Astro Prima.

Dengan kejayaan drama tersebut, Erra turut meluahkan rasa senang hatinya apabila mendengar berita gembira itu.

“Apabila drama ini meletup, sudah tentu saya berasa gembira kerana ini merupakan skrip drama pertama yang saya rasakan menarik.

Erra sedang bersalin lapan bulan dan dijangka bersalin pada pertengahan bulan depan.

“Walaupun isu di dalam drama ini agak serius tetapi penyampaiannya bercorak komedi.

“Sebelum itu, saya ada juga mendapat tawaran lain untuk berlakon drama episod Rona Roni Makaroni,” luah Erra yang menerima drama Mertua vs Menantu kerana tertarik dengan skrip dan jalan ceritanya yang sempoi.

Tambah Erra, dia juga teruja berlakon di dalam drama arahan Feroz Kader itu kerana dia tidak perlu berdandan dan hanya berlakon tanpa mekap.

Ditanya tentang keadaan aktres yang sedang menantikan ‘due’ bersalin pada bulan depan ini, Erra berkata keadaannya sekarang agak baik dan tidak sabar untuk melahirkan bayi sulungnya itu.

Selepas selesai pengambaran drama ini, Erra akan berehat untuk melakukan persediaan persalinannya mulai 10 Mac depan.

“Sekarang ini, berat saya juga semakin bertambah, almaklumlah selera makan semakin bertambah tetapi suami saya selalu pesan supaya saya mengawal pemakanan.

“Jadi, dia hanya memberi saya makanan berprotein.

Erra bakal sibuk dengan album pula selepas selesai berpantang nanti.

“Bukan itu sahaja, kalau dulu ketika membeli-belah, saya suka singgah di butik-butik seperti Zara tetapi sekarang dah tak pandang lagi sebab saya lebih suka ke kedai menjual pakaian bayi,” ujar Erra yang sudah mengetahui jantina bayinya iaitu perempuan.

Memandangkan Erra telah mengikat kontrak secara eksklusif selama setahun dengan Astro, jadi, dia hanya perlu menghabiskan projek masternya yang tinggal sebuah telefilem dan sebuah drama 13 episod.

Ternyata, Erra merasakan keputusan yang dilakukan sebelum ini berada di jalan yang betul dan tidak dinafikan dia juga berasa selesa walaupun terikat dengan pihak Astro sahaja tanpa diberi peluang untuk bekerjasama dengan stesen televisyen lain.

“Kontrak secara eksklusif adalah pilihan saya yang betul dan secara tidak langsung telah memenuhi hajat saya untuk berlakon drama kerana pada mulanya saya tidak pasti bagaimana cara untuk menceburi lakonan drama.

“Setelah ditawarkan oleh pihak Astro, saya merasakan ia sebagai suatu saluran yang baik dan diberi tawaran eksklusif merupakan suatu permulaan yang baik,” ulas Erra.

Erra di majlis doa selamat drama Mertua vs Menantu di Restoran Lemon, The Mines, Serdang, semalam.

Mengenai perancangannya selepas selesai berpantang, Erra berkata dia juga tidak mempunyai masalah untuk bekerja semula.

“Saya akan pastikan semasa pantang itu saya akan berehat betul-betul. Semuanya diharapkan tiada masalah cuma yang merisaukan saya adalah ‘naik badan’.

“Saya akan fokuskan kepada album pula yang sudah hampir setahun dibekukan.

“Setakat ini, saya telah merakamkan empat buah lagu di mana hanya dua buah lagu yang baru selesai diadun dengan muzik.

“Selepas ini, pihak label Suria Records (SRC) akan merombak semula pemilihan lagu-lagu saya dengan membikin lagu yang bersesuaian dengan Erra yang baru.

“Kami rancang mungkin album ini akan disiapkan sebelum bulan puasa nanti,” jelas Erra mengenai albumnya yang antaranya mendapat khidmat produser Sharon Paul, Along Exist, Helen Yap dan Mohariz Yaakup.

Di dalam masa yang sama Erra berasa teruja apabila dia sudah mempunyai misi yang akan dilakukan selepas selesai berpantang nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: