Friday, February 20, 2009

Iklan Milo temukan cinta Intan Ladyana dengan Kevin Zahri

Kevin Zahri berkongsi rasa, rahsia dan pengalaman manis menghabiskan saat terindah bersama kekasih hatinya, Intan Ladyana.




BULAN Februari ialah bulan untuk meraikan kekasih. Pasti ramai yang menunggu tarikh 14 Februari walaupun ada sesetengah orang menganggap tarikh itu sekadar hari-hari biasa yang tidak perlu disambut. Bagi yang berjiwa romantis di setiap benua, bagi setiap pasangan kekasih mahupun yang telah berumah tangga, mereka akan saling bertukar hadiah, kad ucapan, bunga-bungaan atau menikmati makan malam bersama.

Bagi Kevin Zahri, 35, dia mempunyai pandangan sendiri mengenai Hari Kekasih. Penasihat pemakanan terkenal yang juga teman lelaki kepada pelakon Intan Ladyana, 28, itu memberitahu, setiap tahun dia pasti akan meraikan hari tersebut bersama kekasihnya. Bagaimanapun, Kevin memberitahu dia tidak akan menyambut hari tersebut pada tahun ini.

Kosmo! berpeluang berbicara dengan jejaka campuran Melayu dan Jerman ini yang pernah dipilih sebagai 50 Individu Tercantik 2005 oleh majalah Female di outlet New Zealand Natural, The Garden's Mid Valley, Kuala Lumpur.

Kenapa anda tidak mahu menyambut Hari Kekasih pada tahun ini sedangkan anda menyambutnya pada tahun-tahun lalu?

Apa nak buat, kami masing-masing sibuk. Intan terpaksa keluar negara untuk penggambaran drama manakala saya pula sibuk menguruskan portal kesihatan saya iaitu cekodok.com.

Makna dan definisi cinta bagi Kevin?

Cinta bukan untuk keghairahan tetapi lebih kepada saling mengambil berat dan sayang menyayangi antara satu sama lain. Bagi saya, cinta itu biarlah untuk jangka masa yang panjang. Apabila bercinta, kita hendaklah bersungguh-sungguh.

Bagaimana anda boleh bertemu dan jatuh cinta?

Kami berjumpa semasa berlakon iklan Milo. Ketika itu, masing-masing sudah ada pasangan. Selepas itu, kami tidak berjumpa sehinggalah awal tahun 2006 apabila saya hantar e-mel kepada Intan. Kami bersetuju untuk berjumpa di Restoran Italian, The Curve. Jatuh cinta... emm... pertengahan bulan Jun tahun 2006?




Apakah pengalaman sepanjang bercinta?

Banyak yang manis terutama semasa menyambut Hari Kekasih. Saat-saat kami berdua ialah saat yang tidak boleh dilupakan.

Pada Hari Kekasih, di manakah anda berdua menghabiskan masa?

Biasanya saya bawa dia makan malam, bagi hadiah dan tengok wayang.

Apakah detik paling romantik yang anda pernah lakukan?

Mungkin semasa saya ambil banner wajah Intan di kedai dan hadiahkan kepada dia. (ketawa). Lagi satu, semasa saya hadiahkan dua ekor kucing jenis Burmilla. Pernah juga, saya ajak Intan buat biskut sama-sama.

Apakah pandangan anda tentang cinta?

Saya menganggap cinta sebagai sumber kekuatan, inspirasi dan semangat pada saat saya terasa lemah.

Pandangan anda mengenai Intan?

Dia seorang yang comel, baik dan pandai jaga diri.

Bagaimana anda melihat diri anda lima tahun akan datang?

Masa itu saya sudah berumur 35 tahun. Mungkin saya sudah berkahwin dan mempunyai anak. Perniagaan juga semakin berkembang.

Apakah daya tarikan anda?

Saya jenis lelaki yang suka berterus terang. Bertindak spontan dan boleh dibawa berbincang. Saya juga boleh masak (ketawa).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: