Wednesday, February 25, 2009

Siapa bakal jadi Mahsuri?


PROJEK teater Mahsuri bakal membabitkan kos bernilai RM400,000.


KISAH Mahsuri, wanita cantik kelahiran Pulau Langkawi, Kedah sudah lama diceritakan. Difitnah melakukan hubungan sulit dan dijatuhkan hukuman mati, Mahsuri telah menyumpah Langkawi menjadi padang jarak padang terkukur selama tujuh keturunan.

Itu cerita yang sering kita dengar. Namun, apa yang terjadi kepada suaminya, Wan Darus selepas kematian isterinya itu tidak mendapat perhatian. Penderitaan Wan Darus tidak diketahui ramai dan bagi bercerita daripada pihaknya, Istana Budaya (IB) telah mengambil inisiatif menerbitkan pementasan Mahsuri.

Memilih Fauziah Nawi sebagai pengarahnya, pementasan itu akan diadakan pada 24 hingga 30 April nanti di IB. Namun, buat masa ini, para pelakon belum ditentukan lagi dan sesi uji bakat hanya bermula pada 21 dan 22 Februari lalu.

"Kami bukannya mahu mendapatkan pelakon bersuara seperti Datuk Siti Nurhaliza tetapi mahukan mereka yang boleh menyanyi dan juga berlakon serta menari.

"Ini kerana kami ingin mengekalkan elemen teater Melayu asal yang digabungkan dengan tarian, muzik, nyanyian serta teater," kata Fauziah pada sidang media memperkenalkan teater ini di IB.

Mempunyai cadangan untuk mengambil Rosyam Nor sebagai pelakon lelaki utama, tawaran Fauziah telah ditolak aktor itu sendiri kerana belum bersedia untuk berlakon teater.


FAUZIAH cuba mendapatkan khidmat Vanida Imran sebagai pendokong watak teater Mahsuri.


Bukan sahaja menghadapi masalah untuk mendapatkan pelakon lelaki utama tetapi watak Mahsuri juga masih belum diisi lagi.

"Kami tidak tahu siapa yang mempunyai komitmen selama 53 hari dalam menjayakan pementasan ini. Sebelum ini kami ada menawarkan watak itu kepada Vanida Imran (Vee).

"Dia seperti menyukai idea itu tetapi masih memerlukan masa untuk memikirkannya. Vee sudah biasa dengan teater dan rasanya dia boleh meninggalkan kerja dia untuk komitmen teater," tambah Fauziah.

Masih dalam proses memperbaiki skripnya, produksi ini menjangkakan penglibatan tidak melebihi 100 orang. Disebabkan jadual Fauziah yang ketat, pementasan itu hanya boleh direalisasikan tahun ini dalam jangka masa 53 hari.

"Memang sudah lama kami mahu menerbitkan pementasan ini tetapi Fauziah amat sibuk. Pada kami, 53 hari itu sudah mencukupi kerana kami memang tidak mampu untuk melakukan latihan selama enam bulan. Secara purata, produksi IB hanya mempunyai masa 40 hingga 60 hari untuk latihan termasuk hari pementasan.

"Kadar bayaran kami juga hanya untuk sebulan sahaja kerana kami tidak mampu membayar seperti produksi lain. Lagipun seorang aktor yang bagus hanya memerlukan masa selama sebulan. Minggu pertama untuk menguasai skrip dan watak.

"Kemudian aktor itu akan menjalani latihan diikuti dengan latihan atas pentas. Selepas itu, mereka sudah bersedia untuk persembahan. Itu sebabnya kami memerlukan pelakon yang mempunyai asas dalam lakonan," kata Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani mengenai produksi yang bakal menelan bajet sebanyak RM400,000.

Ada sebab mengapa Fauziah dipilih sebagai pengarahnya. Menurut Juhari, Fauziah dikatakan sesuai kerana Mahsuri adalah sebuah cerita wanita dan IB juga mahu memberi peluang kepada lebih ramai penggiat teater beraksi di IB.

"Selama ini, saya rasa diri saya tidak layak untuk menjayakan produksi sebesar ini. Lagipun saya tidak mempunyai sokongan kewangan yang mencukupi. Namun, apabila pihak IB menawarkan memberitahu bahawa mereka ingin mementaskan Mahsuri dan saya amat teruja.

"Pada tahun 1992 saya telah melawat Langkawi untuk sebuah tele-filem dan mempunyai perasaan istimewa terhadap Mahsuri. Memandangkan saya mendapat sokongan daripada IB, saya menerima tugasan ini selepas memikirkannya secara mendalam," jelas Fauziah yang menerima tugasan itu sebagai satu cabaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: