Saturday, February 28, 2009

Rintis jalan ke air terjun

Oleh kerana air terjun ini belum ada nama dan memandangkan kami merupakan kumpulan kedua menjejak kaki di situ maka pihak penganjur menamakannya sebagai air terjun Mangkin.




GUNUNG Dulang bukanlah satu nama yang dikenali dalam kalangan pencinta aktiviti mendaki gunung. Mungkin hanya orang kampung, Orang Asli dan pekerja kongsi balak sahaja tahu mengenainya.

Bagi orang kampung dan Orang Asli, tentulah flora dan fauna yang dicari untuk dijadikan jualan. Bagi pekerja kongsi balak pula, mereka tidak menang tangan menebang pokok-pokok bernilai yang kadangkala saiznya belum cukup matang untuk diangkut keluar. Namun itulah realiti kehidupan.

Bagi orang kampung seperti Wan Ahmad Fadzlilah, 37, membawa keluar hasil hutan dari sekitar kaki gunung Dulang adalah antara pekerjaan yang dilakukannya. Antara hasil hutan yang dibawa keluar termasuklah pelbagai jenis tumbuhan herba seperti kacip fatimah, tunjang bumi dan tongkat ali.

Sudah tentu sepanjang meneroka isi hutan untuk tujuan tersebut, banyak lokasi baru yang cantik, unik, mengkagumkan dan tidak pernah dijejaki oleh sesiapapun ditemui secara tidak sengaja. Ini termasuklah air terjun dan sungai yang berpotensi untuk diketengahkan kepada orang ramai.

Terbaru, Wan Ahmad yang lebih mesra disapa Intan bersama sekumpulan media dan peserta dari Kuala Lumpur meneroka kehijauan hutan dan keunikan air terjun Mangkin. Air terjun itu mengalir jernih dan sejuk ke alur sungai Mangkin yang kemudiannya bersatu dengan sungai Tekal di Jerantut, Pahang.

Ekspedisi yang digelar Rainbow In The Dark itu dikendalikan oleh Middle Earth. Gelaran itu diberi kerana setiap kali cahaya mentari memancar ke tempias air terjun, pasti jalur-jalur pelangi akan muncul di sekitarnya.


WALAUPUN beriadah di dalam hutan, sajian lazat tetap dapat dihidangkan termasuk barbeku kambing panggang dan stik.


Sebanyak 11 kenderaan pacuan empat roda (4x4) dengan 40 peserta dan urusetia menyertainya. Selaku pencinta alam, saya tidak ketinggalan mengikuti ekspedisi ini yang berlangsung pada 20 hingga 22 Februari lalu.

Menurut Intan, terdapat empat air terjun di sekitar kaki gunung Dulang. Kesemua air terjun itu tidak mempunyai nama. Mungkinkah ada di antara air terjun yang tidak bernama itu mempunyai potensi untuk muncul sebagai destinasi persinggahan menarik? Jawapannya sudah pasti ya.

Ini kerana salah satu air terjun yang kami sempat terokai mempunyai keunikan tersendiri yang tidak ada pada air terjun lain. Oleh kerana air terjun ini belum diberi nama dan memandangkan kami merupakan kumpulan kedua menjejak kaki di situ maka pihak penganjur menamakannya sebagai air terjun Mangkin. Ini kerana air terjun itu mengalir di sungai Mangkin.

"Tak ada nama lagi. Letaklah apa-apa nama, sebab kita yang buka tempat ini,'' kata Pengarah Operasi dan Teknikal Middle Earth, Amiruddin Sabri.

Selepas berbincang, kami bersetuju untuk menamakan air terjun ini dengan air terjun Mangkin iaitu mengambil sempena nama sungai yang melaluinya.

Oleh kerana air terjun itu baru dua kali dijejaki kumpulan yang ramai maka tiada jalan lain yang boleh digunakan untuk sampai ke sana kecuali dengan menaiki 4x4.

Berikut catatan perjalanan kami.

Meredah debu

Konvoi kami bergerak meninggalkan Jerantut pada pukul 12.05 tengah hari pada 20 Februari lalu dan satu jam kemudian, kami sampai di simpang masuk ke laluan balak menuju ke tapak perkhemahan sungai Mangkin.

Simpang itu terletak di sebelah kanan jalan raya menuju ke Taman Negara dari arah Jerantut dan beberapa meter melepasi jambatan sungai Tekal. Saya difahamkan laluan balak yang ditempuh telah hampir lima tahun tidak digunakan. Oleh kerana itu, sekumpulan krew Middle Earth mengadakan recce seminggu sebelum ekspedisi ini diadakan. Saya difahamkan, hari pertama recce bermula pada pukul 12.00 tengah hari dan berakhir pada pukul 4.00 pagi, keesokan harinya. Sebanyak dua jambatan dibina, selain kerja-kerja menebang pokok tumbang yang merentangi laluan di beberapa lokasi tertentu.


LALUAN balak yang telah lima tahun terbiar diredah oleh konvoi Middle Earth dalam ekspedisi yang dinamakan Rainbow In The Dark.


Dalam konvoi ini, saya menaiki Frontier milik Muhd Rashdan Mokhtar, 26, bersama Shahfizan Shafin, 26, (Pijan) dan Shuhaida Borhan dari Zusb World Travel Sdn. Bhd. Awal perjalanan agak selesa kerana permukaan jalan yang kering. Namun begitu, jalan yang kering menyebabkan debu-debu berterbangan sekali gus memaksa kami menutup tingkap kereta walaupun hakikatnya, kami lebih suka menghirup udara segar di pergunungan yang menghijau.

Selain berdebu, kami juga menempuh laluan berpasir, pokok resam, tanah merah yang lembut serta tebing bukit di kiri dan kanan yang mana lebar laluan hanya muat untuk sebuah kenderaan sahaja. Kami juga menempuh laluan yang di sebelah kanannya adalah jurang yang ratusan kaki menjunam ke lembah dengan tebing bukit di sebelah kiri. Di laluan ini, panorama alam yang disajikan amatlah menawan dengan kehadiran gunung-ganang dan bukit-bukau berlatar belakang langit biru pekat yang disulami kabus nipis yang dingin.

Terasa damai di hati tatkala melihat keindahan itu. Lebih mengujakan apabila kami turut menempuh kawasan hutan yang dedaunnya pelbagai warna. Bola mata kami liar melihat celah-celah dedaunan hijau tua dan hijau muda yang disulami dengan spesies pokok yang kesemua daunnya berwarna kuning susu. Percikan warna alam itu nyata menjadikan kami begitu asyik melihatnya sehingga tidak sedar masa berlalu begitu pantas dan jam menunjukkan pukul 3.15 petang. Kala itu, langit yang pada mulanya membiru bertukar kepada hitam pekat lantas memuntahkan isinya yang mencurah membasahi bumi.

Sebaik sahaja hujan, ada suara di hujung radio amatur yang berkata: "Hujan dah turun... boleh la... geli-geli.'' Saya kenal suara itu dan sekadar tersenyum memikirkan apakah yang dimaksudkan dengan 'geli-geli' itu?

Suara di hujung radio yang lain pula kedengaran: "Habis la...air kotak kat belakang tu."

Kami berhenti seketika bagi memindahkan katil lipat dari jentera Hilux milik Nubahan yang tidak bertutup ke Land Rover Defender yang dipandu oleh Mat Duan. Titisan hujan menyebabkan tanah merah lembut bertambah lecak sehingga menyukarkan konvoi mendaki bukit. Laluan licin membuatkan setiap pacuan 4x4 mengambil sedikit masa untuk melepasi puncak bukit.

Kami tiba di titi pertama pada pukul 4.20 petang dan titi kedua kira-kira 20 minit kemudian. Segalanya berjalan lancar, tiada jentera yang terbabas dari titian yang dibina oleh krew Middle Earth pada minggu lalu.

Detik paling berdebar

Tempoh satu jam ini merupakan tempoh yang membuatkan jantung kami hampir 'terhenti'. Ini kerana laluan yang ditempuh begitu mendebarkan. Ketika jam menunjukkan pukul 5.25 petang, pacuan 4x4 Nusantara yang dipandu oleh Man tercabut lampu kiri belakang apabila terlanggar sebatang kayu tumbang di kiri jalan. Laluan itu bukan sahaja sempit malah selekoh tajam dan jurang di hadapan membuatkan pemandu bekerja keras menggunakan segala kemahiran yang ada untuk melepasinya. Jika terlajak, pasti jentera yang dipandu akan terhumban jatuh ke dalam gaung di hadapan kiri laluan.


TITI pertama yang perlu dilepasi konvoi.


Sekitar pukul 5.34 petang, gergaji elektrik digunakan untuk memotong pokok tumbang tersebut. Hampir sejam kemudian iaitu kira-kira pukul 6.20 petang, barulah kami tiba di tapak perkhemahan sungai Mangkin.

Sungai Mangkin tidaklah besar tetapi memiliki air yang jernih dan dingin. Kami mendirikan khemah hanya beberapa langkah dari gigi air. Justeru, tatkala terjaga daripada tidur keesokan harinya, hanya pemandangan yang menghijau tersaji di hadapan mata. Ia satu suasana yang begitu mendamaikan. Kami mula berjalan kaki ke air terjun sekitar pukul 10.00 pagi pada 21 Februari. Melihat jarak yang dilalui, perjalanan tanpa henti ke air terjun itu hanya mengambil masa sekitar 45 minit. Di air terjun, mata kami terpukau melihat jatuhan air dari tingkat yang dilapisi batu-batan yang unik dan tidak pernah dilihat oleh saya. Lapisan batu-batan itu membentuk tebing tegak 90 darjah dan di tengahnya mengalir air terjun Mangkin yang deras.

Di bawah pancuran air terjun, terbentuk sebuah kolam yang mempunyai kedalaman yang pelbagai. Uniknya juga, kami boleh berdiri di belakang jatuhan air terjun kerana terdapat ruang yang boleh memuatkan tiga orang sekali gus. Kami sempat masak dan menikmati mi segera Maggie yang ditaja oleh Nestle sebelum pulang semula ke tapak perkhemahan. Nestle turut menaja baju-t dan minuman Nescafe 3+1.

Pada malamnya pula, aktiviti barbeku di tepi sungai diadakan dengan hidangan kambing panggang, ikan patin bakar, spageti, salad, puding dan koktel. Kami meninggalkan tapak perkhemahan keesokan harinya pada pukul 11.05 pagi dan tiba di jalan raya pada pukul 8.59 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: