[SEMASA] SHAH ALAM: Impian Norhidayu Md.Tekhary atau Ayu untuk meneruskan perjuangan di dalam One In A Million musim kedua (OIAM) akhirnya berkecai apabila dia menjadi peserta pertama tersingkir dari program realiti popular itu yang berlangsung di Sri Pentas 2, di sini, malam tadi.
Persembahannya pada minggu lalu ternyata gagal meraih undian secukupnya daripada penonton untuk memastikan dirinya terus kekal di dalam program itu.
Ayu diumumkan tersingkir sebelum bermulanya persembahan minggu kedua itu yang mana penyingkiran tersebut sekaligus turut melenyapkan hasrat peserta berusia 20 tahun itu untuk merangkul wang kemenangan RM1 juta.
Ditemui sejurus berakhirnya program itu, Ayu akui persembahannya minggu lepas kurang memberangsangkan setelah mendengar komen yang diberikan oleh juri-juri profesional.
"Awal-awal lagi saya memang sudah bersedia andai kata tersingkir. Tambahan pula, minggu lalu saya akui persembahan saya kurang memuaskan dan telah menghampakan pihak juri.
"Tetapi, saya tidak mahu menganggap penyingkiran ini sebagai penamat terhadap cita-cita saya untuk meneruskan perjalanan seni yang baru bermula. Mungkin rezeki saya ada di luar sana," ujar Ayu yang aktif menyanyi bersama band bapanya.
OIAM musim baru ini masih mengekalkan Syafinaz Selamat dan Paul Moss sebagai juri tetap manakala penyanyi Salamiah Hassan pula telah diundang sebagai juri jemputan.
Dengan penyingkiran Ayu, maka 11 peserta yang berjaya meneruskan persembahan pada minggu ini ialah penyanyi kelahiran Akademi Fantasia, Amylea; juara Mentor musim pertama, Pija; Penyanyi Baru Terbaik AIM 2006, Rizu; finalis suara Emas Bintang RTM 2007, Han; vokalis kumpulan New Boyz, Tomok, vokalis kumpulan Coco, Nine serta lima peserta bukan artis iaitu Anith, Aweera, Esther, Simon dan Fify.
Amylea turut menerima imuniti daripada pihak juri berdasarkan persembahan menarik yang dilakukannya malam tadi.
Imuniti itu secara automatik melayakkan Amylea untuk terus beraksi di minggu seterusnya serta tidak perlu melalui proses undian daripada penonton.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: