Thursday, February 26, 2009

Celoteh dua teman di pagi hari


SERASI... Aznil (kiri) bersama pasangan Riuh Pagi ERA, Din Beramboi.


SETELAH hampir dua bulan berkolaborasi di konti Riuh Pagi ERA, kini pasangan penyampai Aznil Nawawi dan Din Beramboi kian selesa mengendalikan rancangan kelolaan mereka.

Ke udara setiap hari selama empat jam bermula pukul 6 hingga 10 pagi, ternyata pasangan ini tidak punya masalah untuk digandingkan bersama apatah lagi, kedua-duanya sudah saling mengenali sejak lebih 15 tahun lalu.

"Kerja dengan Din memang senang. Seperti Saiful Apek, dia juga mula bertapak daripada syarikat saya dahulu.

"Saya membuat pembahagian kerja. Tugas Din ialah buat lawak sementara saya lebih kepada mengawal keadaan dan selitkan fakta-fakta," ujar Aznil ketika ditemui pada acara amal Orang Iklan ERA di Sogo, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengulas mengenai jenaka yang disampaikan oleh Din Beramboi, pengacara nombor satu negara itu menyifatkan lawak yang sering digunakan oleh rakan sekontinya itu adalah lawak di luar kotak.

"Maksudnya, banyak lawak-lawak dia yang memeranjatkan saya, lawak-lawak dia banyak yang kita tak terfikir sebab itu saya mahu bergandingan dengannya.

"Bagi saya, jika saya sendiri boleh gelak dan suka dengan lawak-lawak dia, apa lagi kepada para pendengar Era FM sendiri," katanya.

Sementara itu, Din Beramboi ketika ditemui pada acara yang sama memberitahu, memulakan tugas sebagai penyampai Era FM awal Januari lalu umpama 'come back' setelah hampir enam tahun 'bersara' sebagai penyampai radio.

"Selepas menamatkan tugas di konti THR lebih lima tahun dahulu, saya banyak buat kerja untuk televisyen.

"Bukan saya ada masalah dengan mana-mana stesen radio, cuma corak penyampaian radio ketika zaman saya dengan sekarang agak berbeza.

"Bezanya dari segi kandungan penyampaian dan juga teknikal. Zaman sekarang juga ialah zaman orang mengkritik sebab itu keterangan, gaya bahasa dan tahap penyampaian itu penting, semua itu saya perlu 'refresh' semula," katanya.

Tidak sampai dua bulan kembali bertugas sebagai penyampai radio, Din Beramboi telah dihujani suara-suara nakal yang menyatakan lawaknya merapu.

Menjelaskan hal tersebut, katanya: "Lawak bagi saya ada yang merapu dan ada juga yang tidak. Ia terpulang kepada pendengar untuk menilainya.

"Bagi saya kritikan tersebut saya anggap sebagai sesuatu yang positif. Apabila orang kata merapu, kita tidak boleh rasa nak melenting tetapi sebaliknya cuba perbaiki sebaik mungkin," kata Din lagi.

Sebagai penyampai segmen pagi, sudah tentu banyak tekanan yang dihadapi oleh mereka.

Kata orang kekuatan sesebuah stesen radio itu bukan sahaja terletak kepada kebolehan penyampai semata-mata tetapi juga slot serta segmen-segmen yang dikendalikan.

Malah, tanggungjawab yang dipikul mereka berganda apabila terpaksa bersaing dengan slot serta segmen pagi daripada pesaing terdekat, Hot FM dan Sinar FM yang tidak kurang hebatnya.

Tidak mahu meletakkan isu saingan dalam menjalani tugas di konti, kata Aznil: "Saya sebenarnya tidak kisah pun tentang saingan. Bagi saya biarlah orang-orang di luar sana yang membuat pilihan untuk mendengar yang mana satu.

"Tidak perlulah kita sibuk kejar rating sebab bagi saya yang lebih utama kita kejar ialah minat para pendengar terlebih dahulu.

"Sebab itu saya rasa Riuh Pagi mempunyai segmen-segmen yang lain daripada lain antaranya pakaian terbaik, teka bunyi dan drama sebabak.

"Insya-Allah, bermula 2 Mac ini kita akan ada segmen baru iaitu Warung Pagi," jelas Aznil mengenai rombakan program di Era.

Kumpul lebih RM12,000

Dalam usaha membawa para penyampai dan pendengar setia stesen nombor satu negara itu kepada aktiviti bercorak kemasyarakatan, pada 10 hingga 19 Februari lalu, Era FM telah melancarkan Kempen Cabaran Aznil dan Din Beramboi.

Sepanjang berlangsungnya kempen tersebut, para pendengar yang mewakili penyampai pilihan mereka dikehendaki beradu antara satu sama lain bagi mengutip mata terkumpul.

Antaranya termasuklah berbalas pantun, menguji pengetahuan peribahasa, kecekapan mengeja perkataan bahasa Inggeris serta permainan Jangan Lupa Lirik versi radio.

Keputusannya, Aznil berjaya memperoleh 269 undian mengalahkan Din Beramboi yang mengumpul 256 undian.

Kemuncaknya, pada Sabtu lalu (21 Februari), kedua-dua penyampai mengotakan janji mereka menjalani aktiviti amal bagi mengumpul dana untuk disalurkan ke Rumah Nur Salam, sebuah pusat perlindungan dan aktiviti untuk kanak-kanak terbiar di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Bertempat di hadapan pintu masuk pusat membeli belah Sogo, kedua-dua penyampai memenuhi masa selama enam jam (12 tengah hari hingga 6 petang) bersama para peminat serta pendengar setia Era FM untuk sama-sama beramal mengumpul dana untuk badan kebajikan tersebut.

Menurut Aznil, idea aktiviti amal itu dicetuskan oleh Pengurus Rancangan Era, Nazri Noran. Acara itu merupakan julung kalinya diadakan. Malah, katanya aktiviti amal tersebut adalah sebahagian daripada perancangan Era FM untuk tahun 2009.

"Untuk aktiviti ini, anggota badan saya 'dijual' untuk diiklankan. Cabaran Din ialah mencari penderma dengan menyanyi dan saya pula mengambil gambar dengan sesiapa sahaja dengan bayaran RM10.

"Selain itu, saya juga menawarkan diri untuk makan malam bersama keluarga yang berjaya membuat bidaan paling tinggi.

"Kerja amal adalah aktiviti yang paling dekat dengan pendengar. Era merancang untuk menjalankan kerja-kerja sebegini secara berterusan dan aktiviti ini adalah sebagai permulaan," terang personaliti itu lagi.

Jumlah keseluruhan yang berjaya dikumpul pada hari tersebut ialah RM12,394.60 dan cek sumbangan disampaikan oleh Nazri kepada Pengarah Eksekutif Rumah Nur Salam, Raja Azizan Suhaimi Raja Abd. Latiff.

Jumlah tersebut merangkumi bidaan tertinggi, RM370 tawaran makan malam bersama Aznil oleh keluarga Raja Norziha dan anaknya Puteri Nabilah dari Taman Tun Teja, Rawang, Selangor serta lelongan RM310 sut Astro yang dipakai oleh Aznil sepanjang acara tersebut.

Turut hadir memberikan sokongan ialah para penyampai Era FM iaitu Adi, Ray, Nana, Cham, Burn dan Reza.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: