Friday, February 27, 2009

'Usah cemar nama saya'


SEBAGAI orang berpengalaman, tidak salah ilmu yang ada dikongsi bersama mereka yang memerlukan.

Begitulah, hasrat Nabila Shila Lama Abdullah, 42, atau dikenali Shila Lama tatkala menghulurkan bantuan kepada seorang gadis berusia lingkungan 20-an yang pernah menyertai sebuah pertandingan pencarian personaliti.

Pertemuan yang pada mulanya sekadar perbincangan biasa, namun melihat kesungguhan dan misi gadis berkenaan, timbul perasaan simpati yang akhirnya mengikat mereka sebagai rakan kongsi di bawah syarikat Shila Lama Enterprise.

Namun, keikhlasan dan kejujurannya menghulurkan bantuan dikhianati apabila gadis itu menggunakan namanya tanpa kebenaran untuk mendapatkan keuntungan.

"Sebab utama kenapa saya bersetuju menjadikannya rakan kongsi, pertama sekali kerana niat saya untuk membantu orang baru yang dirasakan mempunyai potensi dan visi dalam hidup.

"Sebagai orang berpengalaman tidak salah sekiranya kita berkongsi pengalaman serta kebolehan kerana ikhlas saya katakan saya bangga sekiranya melihat anak muda kita berjaya dalam hidup.

"Kebetulan, aliran perniagaan yang ingin diceburinya iaitu dengan membuka kelas peragaan serta butik tidak jauh dari skop pekerjaan saya. Jadi dapatlah saya membantu serba sedikit dan menggunakan kebolehan yang ada.

"Bagaimanapun, seawal penubuhan syarikat itu, saya nampak bagai ada sesuatu tidak kena sehinggalah sampai ke satu tahap, saya mengambil keputusan untuk tidak berurusan dengannya sama ada soal kerja atau luar bidang kerja," katanya.

Apa yang menjadi masalah sekarang, apabila gadis itu menggunakan nama Shila untuk menjalankan aktivitinya. Contohnya, baru-baru ini, nama Shila muncul di iklan kononnya saya ada menawarkan kelas peragaan.

"Banyak kali juga nama saya keluar di surat khabar dan setiap kali iklan itu disiarkan saya menerima panggilan daripada ramai orang.



"Antara aduan yang diterima, mereka mengunjungi lokasi latihan seperti yang tercatat dalam iklan tapi setibanya mereka di sana saya tidak ada untuk mengajar mereka sebaliknya, hanya gadis yang dimaksudkan itu.

"Kalau boleh saya tidak mahu mengaibkan sesiapa atau mengambil tindakan undang-undang. Cukup sekadar dia tidak lagi menggunakan nama saya kerana tindakan seperti ini mencemarkan nama baik saya.

"Perkara ini terpaksa saya hebahkan kerana bimbang jika terus berdiam diri nanti melarat kepada masalah yang lebih besar termasuk membabitkan wang pelanggan.

"Saya difahamkan oleh pengadu bukan saja nama saya digunakan untuk menarik orang ramai menyertai kelas peragaan, tetapi juga majlis pengurusan acara," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: