Wednesday, February 25, 2009

Cinta berputik dalam diam...Nik Sayyidah


MEK bakal bergelar raja sehari Mac depan.

Tanggal 14 Mac menjadi pilihan Nik Sayyidah untuk mengahwini Mohd Hariff Ghazali

BULAN depan, pelakon, pelawak dan pengacara, Nik Sayyidah Fatiha Yazid, 26, bakal menamatkan zaman bujangnya. Pelakon yang cukup diingati dengan watak Mek, gadis Pattani yang pekat berceloteh dalam dialek Kelantan ini memilih 14 Mac untuk bernikah dengan Mohd Hariff Ghazali, 34.

Keesokan hari, mereka akan bersanding di kediaman rumah keluarga Mek di Taman Kurnia Jaya, Kelantan dengan bertemakan perkahwinan dalam taman.


Mek sekeluarga sepakat untuk memilih warna tema krim keemasan sebagai konsep majlis. Majlis bertandang sebelah pengantin lelaki turut diadakan di negeri kelahiran Mek itu pada 19 Mac di Kampung Mulong, Wakaf Bharu.

Bertemunya di lokasi penggambaran filem Senario The Movie Episod 2: Beach Boys pada 16 Februari lalu, Mek sempat mengirimkan Hip kad undangan hari bahagianya untuk disampaikan kepada rakan media di NSTP.

Saat ini persiapan boleh dianggarkan sudah 85 peratus siap dan selebihnya masih dalam proses untuk dibereskan. Mereka mengikat tali pertunangan pada 2 Disember tahun lalu dan majlis merisik diadakan pada 27 Oktober tahun yang sama.

MEK bersama tunangnya, Hariff.

Bakal suami Mek bekerja sebagai Pegawai Kanan di Pejabat Sultan Kelantan. Bakal suaminya yang selalu menghubungi Mek jika ingin mendapatkannya untuk membuat persembahan di Istana. Daripada situ, siapa sangka, cinta hadir dalam diam.

“Mama dan papa juga sukakan bakal suami saya ini. Ia adalah pilihan keluarga dan saya yakin keikhlasannya untuk memiliki hati ini. Paling penting, dia ada asas agama yang baik. Tiada ragu, saya sudah bersedia ke arah perkahwinan. Saya rasa sudah tiba masanya saya hidup berkeluarga dan mempunyai teman kerana Allah Taala menjadikan kita berpasangan.

“Sebelum ini, ketika belum berteman pasti kita akan mulai berasakan kekosongan. Ketika itu, duit dan harta benda mungkin boleh dicari, kegembiraan akan datang dan pergi tetapi saya yakin ada satu perkara yang belum lengkap iaitu mempunyai pasangan hidup. Ada kalanya kebahagiaan yang dilimpahi dengan wang ringgit dan disayangi ahli keluarga bukan jaminan kepada apa yang saya cuba maksudkan ini,” katanya yang sudah tiga bulan tampil bertudung sejak tiga bulan lalu.

Tambah Mek lagi, jiwanya sebelum ini agak kosong dan tidak mahu dibiar berlarutan, gadis comel ini merujuk ibu bapanya termasuk alim ulama. Pengorbanan papanya selama ini yang sanggup berulang alik dari Kelantan ke Kuala Lumpur akan berakhir juga.

“Umur saya ini sudah cukup molek untuk berkahwin. Kuasa Tuhan maha besar, di saat saya menyatakan kesediaan itu, dihantar-Nya seseorang iaitu bakal suami saya. Selama lima tahun, papa datang ke Kuala Lumpur untuk menjaga saya dan adik kerana bimbangkan keselamatan saya sebagai anaknya.

“Saya pernah menyuruhnya balik saja ke Kelantan kerana tidak mahu terus-terusan menyusahkannya. Mujur, ikatan perkahwinan nanti dapat menjadi alasan kukuh untuk saya tidak lagi membebankannya. Selepas ini giliran bakal suami saya pula untuk menjaga saya,” katanya yang bakal muncul dengan drama Jula Juli mengisi slot Lagenda di TV3 dan TV9 Mac depan.

Mengimbas detik bahagia ikatan cinta mereka, SMS yang dihantar Hariff menyatakan kesungguhan untuk merisik menjadi kemuncak yang menambah rona bahagia ke dalam isi hati pengacara program bual bicara Nasi Lemak Kopi O ini. Paling membuatkan sanubarinya tersentuh ialah SMS itu dibaca selepas selesai menziarahi pusara insan tersayang dalam keluarganya.

“Raya ketiga tahun lalu, dia ada datang ke rumah keluarga saya dan bercadang ingin membawa rombongan merisik. Perbincangan kami ketika itu belum mempunyai kata putus. Selepas dia pulang, saya dan ahli keluarga mengambil peluang keberkatan bulan mulia untuk menziarahi kubur arwah datuk, nenek dan moyang. Ia adalah tradisi wajib kami sekeluarga.

“Seperti kebiasaan, saya akan ketuai bacaan Yasin dan ayat suci kalamullah. Malah, pesan itu disuruh arwah datuk saya sendiri untuk dipraktikkan. Selepas selesai, saya kembali ke kereta dan saat itulah hati saya bercampur baur apabila menerima SMS menyatakan persetujuannya memilih 27 Oktober sebagai tarikh merisik. Lalu, saya tunjukkan juga kandungan SMS itu kepada mama,” katanya.

Mengenai kerjaya selepas berkahwin, kata Mek, dia belum sempat bertanyakan lanjut kepada Hariff mengenai pacuan kerjaya nanti. Bagaimanapun, kata Mek lagi, ketika selesai majlis merisik dan pertunangan, dia masih memberikan lampu hijau untuk saya terus membabitkan diri dalam dunia seni.

“Dia masih benarkan saya dan memberikan sokongan padu untuk saya terus berkarya. Masing-masing boleh bertolak ansur dan kerjaya tetap di KL. Kalau saya ada undangan membuat persembahan di Kelantan, alang-alang boleh balik kampung sekali bertemunya. Cuma selepas bergelar isteri nanti, saya harus sedar di mana letaknya diri saya,” katanya yang belum tahu ke mana lokasi berbulan madu nanti.

Menurut Mek, kebetulan tarikh mereka bernikah nanti jatuh pada musim Keputeraan Sultan Kelantan hingga hujung April. Pastinya Mek sedia maklum kesibukan bakal suaminya ketika itu.

INFO: Nik Sayyidah

  • Sudah berlakon tiga buah filem komedi iaitu Brainscan: Aku dan Topi Ajaib dan Apa Kata Hati termasuk Senario Episod 2

  • Masih memenuhi undangan membuat persembahan nyanyian di Kelantan dan Kuala Lumpur termasuk untuk VIP dan kerajaan.

  • Bertudung atas kerelaan hati tanpa dipaksa sesiapa. Kata Mek: “Saya berasakan sudah tiba masanya untuk menutup aurat (bertudung). Saya selesa dengan imej ini dan alhamdulillah rezeki semakin melimpah ruah. Mula-mula terdetik juga di hati saya, apakah dengan bertudung saya boleh terus menjadi orang seni. Saya nekad dengan niat kerana Allah Taala. Bertudung bukan halangan.

  • Busana pengantin akan ditaja oleh DeeNoor Illusion (Cikgu Zaidin), pelamin oleh Arbiz dan kek lima tingkat tajaan Chef Liza.

  • Menganggap Hariff sebagai cinta pertama yang lahir daripada ketulusan hati tiada tolok bandingan.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: