Thursday, February 26, 2009

Zeyna, Dina merempit

lue
ZEYNA (kanan) dan Dina menimba pengalaman baru dalam Rempit VS Impak Maksima.


MEREKA berdua boleh dikatakan sebagai orang baru dalam dunia drama. Seorang merupakan artis kelahiran program realiti pencarian bakat nyanyian dan seorang lagi pernah dilihat menerusi drama KAMI yang ditayangkan di 8TV dua tahun lalu.

Namun, Ani Zayanah Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Zeyna telah dipilih sebagai aktres utama drama arahan Ahmad Idham, Rempit VS Impak Maksima. Bukan sahaja kerana dirinya amat sesuai dengan watak yang ditawarkan tetapi dia telah mendapat tugasan itu atas bantuan kawan rapatnya, Nas-T.

Dina pula dipilih kerana bakat yang ditonjolkan semasa berlakon dalam versi teater muzikal Impak Maksima serta filem Jangan Pandang Belakang Congkak yang turut diarahkan oleh Ahmad Idham.

Memegang watak Erin, kawan baik kepada Farhana (Zeyna), drama 13 episod itu menggabungkan teknik drift kereta dan rempit motosikal.

"Banyak dugaan dalam drama ini dan ia amat berbeza dengan drama KAMI. Semasa menjayakan watak dalam drama KAMI, saya tidak perlu banyak berlakon kerana ia adalah seperti saya dalam kehidupan realiti.

"Namun, dalam drama Impak Maksima VS Rempit, saya perlu bermanja dengan ibu bapa saya, Datuk Razali dan Datin Aziah. Dalam kehidupan realiti, saya tidak manja dengan ibu bapa saya. Lagipun saya bukan seorang yang garang tetapi dalam drama ini memerlukan saya berkelakuan sedemikian," kata Zeyna, 23, ketika ditemui pada sidang media drama tersebut.

Menjayakan watak sebagai seorang gadis kaya dari keluarga yang memiliki perniagaan pemotoran, Zeyna turut memberitahu bahawa dia menghadapi kesukaran untuk memegang watak utama dalam drama yang ditayangkan di TV3.

"Seperti yang diketahui umum, drama TV3 banyak ditonton oleh seisi keluarga. Jadi sebagai pelakon, kami perlu memberikan lebih emosi supaya dapat menyakinkan penonton. Kita perlu sentiasa mengingati apa cita rasa yang dikehendaki oleh penonton," tambahnya yang bakal disaksikan menerusi drama Rocky Grey.

Bagi Dina pula, dia mengambil peluang untuk berlakon dalam drama yang turut dibintangi oleh Iqram Dinzly, Zed Zaidi, Puerti Fatin, Nas-T dan Siti Elizad itu sebagai sebahagian daripada pengalaman anak seni.

Percubaan berlakon telah mewarnai hidupnya kerana apa yang dirasai tidak sama dengan hidupnya semasa bertugas sebagai penyanyi.

"Saya seronok dengan kehidupan sekarang. Semasa berlakon, saya dapat merasakan diri saya sebagai orang biasa. Saya kena marah apabila lambat, menunggu giliran untuk berlakon dan berjemur. Semua itu tidak dapat dilalui semasa berlakon.

"Kami bagaikan sebuah keluarga dan Idham banyak mengajar saya. Apa yang penting adalah Idham tahu cara untuk menegur saya. Itu yang membuatkan kerjasama kali ini lebih menyeronokkan," jelas Dina yang kini merupakan penyampai radio ERA.

Mula berlakon selepas menghabiskan pelajaran di Kolej Damansara Utama (KDU), Zeyna melibatkan diri selepas diajak oleh sepupunya, pelakon Sazzy Falak. Dia yang tidak mempunyai lesen memandu menceritakan sedikit sebanyak pengalamannya berlakon sebagai seorang yang mahir dalam bidang pemotoran.

"Dari awal saya sudah memberitahu mereka bahawa saya tidak mempunyai lesen memandu. Namun, Idham memberitahu saya bahawa itu bukan satu masalah.

"Saya mempunyai ramai kakak yang selalu membawa saya dan suka menaiki teksi. Jadi memandu, pada saya tidak diperlukan," jelas anak keempat daripada tujuh adik-beradik.

Ingin lihat bagaimana Farhana bergelumang dengan dunia pemotoran, ikuti drama Rempit VS Impak Maksima yang ditayangkan setiap pukul 9 malam Isnin, bermula 16 Februari lalu di TV3.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: