NAMPAKNYA cerita mengenai pelakon lelaki ini benar-benar hebat. Belum reda cerita sensasinya dengan pelakon wanita, SS dengar satu lagi cerita menarik mengenai dirinya. |
Artis lelaki bergelar suami dan bapa ini dikatakan ada isteri lain selain isteri kesayangannya yang banyak menyokong kerjaya seninya selama ini. Cerita ini disampaikan satu sumber kepada rakan SS dan beriya-iya mengatakan sangat sedih dengan apa yang menimpa kawannya.
Katanya, kawannya itu yang juga isteri kedua artis lelaki berkenaan bukan wanita biasa tetapi daripada keluarga berada tetapi apa yang menyedihkan dia diperlakukan dengan tidak sewajarnya.
Mungkin kerana cinta dan suka sama suka, mereka berkahwin di sempadan dan kini mempunyai tiga anak. Tapi nampaknya artis itu seperti lupa, dia mempunyai satu lagi keluarga.
Apa yang mengejutkan SS, kata sumber itu, artis berkenaan bukanlah kacak tapi berbadan tegak dan nampak kategori lelaki baik-baik. Tapi dia sebenarnya memang suka menggoda gadis daripada keluarga berada. Malah, kata sumber itu, setahunya isteri pertamanya juga daripada keluarga berada.
Lebih mengejutkan SS, kata sumber itu, artis lelaki ini bukan saja mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa, malah lebih teruk lagi sanggup bertindak kasar kepada isterinya.
Katanya, apa yang kita lihat melalui satu lakonannya dalam drama yang nampak baik, tapi sanggup memukul isteri, begitulah juga sikapnya di luar.
SS difahamkan, apabila bertengkar, artis lelaki itu dengan cepat menghadiahkan penampar dan juga sepak terajang kepada isterinya.
Macam tidak percaya pula SS kerana berdasarkan penampilan artis itu, dia memang dilihat daripada kalangan lelaki baik malah lakonannya di televisyen dan filem sering mendapat pujian. Tapi kata rakan SS, sumber itu beriya-iya bercerita mengenai nasib malang kawan baiknya yang diperlakukan sedemikian rupa.
Malah kata sumber itu, dia mendedahkan perkara itu kerana tidak mahu lebih ramai wanita lain terjebak dengan tingkah laku artis ini. Iyalah, nampak baik dan memang berpotensi melayan wanita yang ada duit, nanti bimbang lebih ramai menjadi mangsanya.
|
Jika benar apa yang disampaikan ini, SS harap artis itu sedarlah hidup ini tidak selamanya di atas. Suatu hari nanti jangan sampai sudah 'terduduk' baru hendak sedar, tapi itu sudah terlambat. Mungkin masih ada waktu untuk artis itu membetulkan keadaan dan menjadi lelaki bertanggungjawab.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: