KELEBIHAN suara dan gaya persembahan menghiburkan nyata memberi tuah pada peserta dari Johor, Noriezuana Syed Shafudin atau Wana bergelar juara program realiti, My Starz LG musim kedua yang berakhir malam kelmarin. |
Berbeza dengan cabaran 12 minggu dalam program berkenaan, kali ini empat peserta yang layak ke peringkat akhir termasuk Wan Nashrinie Zafri (Nashrin), Cassandra Daniel Manja (Cassie) dan Mohd Hairi Kenneith (Hairi) diberi kebebasan menyampaikan lagu pilihan mereka secara solo dan duet.
Wana yang kelihatan yakin di atas pentas memilih dua lagu solo iaitu Ku Pendam Sebuah Duka yang pernah dipopularkan Khadijah Ibrahim dan Ku Telah Jatuh Cinta (Agnes Monica) untuk segmen pertama sebelum berduet dengan Jamal Abdillah menerusi lagu Kehebatan Cinta.
Berbanding persembahan duet, nyanyian solo Wana lebih berjaya menyerlah kehebatan vokal yang dimiliki hingga tiga juri profesional iaitu Hattan, Liza Hanim dan Ajai bersetuju memilih Wana sebagai juara. Sama seperti cabaran pada persembahan mingguan, juri masih bertanggungjawab memberi 70 peratus markah manakala bakinya diambil daripada undian SMS penonton.
Selaku juara, Wana berjaya membawa pulang hadiah lumayan berupa wang tunai RM100,000 di samping kontrak rakaman album bersama Warner Music Malaysia selain TV LCD 42 inci tajaan LG.
Kata Wana, kemenangan juara memberi kejutan pada diri walaupun dia merasakan tiga saingan yang lain turut hebat ketika membuat persembahan. Dia yang pernah menyertai program realiti, Akademi Fantasia musim keenam hingga berjaya ke peringkat Top 25 menganggap kemenangan kali ini menebus kekecewaan lalu.
"Saya menganggap kemenangan ini adalah rezeki untuk saya. Sememangnya saya gembira dan tidak menyangka bergelar juara. Pada saya, semua peserta yang layak ke peringkat akhir kali ini sama hebat.
"Pastinya, kejayaan ini menjadi pendorong buat saya untuk meneruskan minat dalam bidang nyanyian. Selepas menjadi juara, sudah tentu saya bersedia menjadi artis rakaman kerana ini impian saya sejak kecil.
"Sepanjang menyertai program ini, saya belajar banyak perkara mengenai nyanyian dan persembahan pentas. Atas kemenangan ini juga, saya berhasrat berhenti menyanyi di kelab dan mahu memberi sepenuh perhatian pada karier nyanyian saya yang baru bermula ini.
"Jika diberi peluang, saya ingin merakam album bergenre pop yang saya fikir sesuai dengan jiwa saya," katanya.
|
Pada persembahan malam itu, Wana dikritik Ajai menerusi lagu duet yang disifatkan lebih teruk berbanding persembahan solo. Mempunyai masalah pada nada suara atau pitching, dia masih mempunyai kelebihan pada pakej sebagai penyanyi. Namun, Hattan memuji persembahan Wana yang berjaya dari aspek konsisten berbanding persembahan sebelumnya. Liza memberikan komen Wana mempunyai persediaan bergelar penyanyi tetapi perlu berkerja keras untuk berjaya.
|
Mengenai kritikan juri, Wana, 22, akui dia terima komen secara terbuka. Katanya, dia tidak meletakkan harapan untuk menang sebelum pertandingan bermula dan tetap gembira andai kalah kerana berpuas hati dengan persembahan sendiri.
"Saya tidak mengandaikan saya menang sebaik Nashrin diumumkan pemenang tempat kedua. Jika diikutkan, perasaan saya sebenarnya lebih gementar, apatah lagi Nashrin terlebih dulu menang," katanya.
Antara empat peserta yang bertanding, Nashrin turut mendapat sorakan ramai penonton yang hadir dan dilihat memberi saingan kuat pada Wana ketika persembahan antara mereka berlangsung. Jika Wana menyerlah pada persembahan solo, Nashrin pula berjaya dengan persembahan duet bersama penyanyi pujaannya, Misha Omar menerusi lagu Perlu Kamu yang pernah dipopularkan Ajai bersama Kris Dayanti.
Nashrin berjaya mendapat kritikan positif juri apabila Hattan menyatakan penghayatannya bagus walaupun pada penghujung lagu itu, suaranya tenggelam dengan kehebatan vokal Misha. Liza memuji persembahan Nashrin yang kelihatan serasi bersama Misha manakala Ajai mengakui penyanyi berusia 19 tahun ini mempunyai pakej sebagai penyanyi. Kata Ajai, vokal Nashrin makin meningkat bagus selepas dibantu Misha yang duet bersamanya.
Sungguhpun tewas di tangan Wana, Nashrin masih mampu tersenyum gembira dengan hadiah kemenangan berupa wang tunai sebanyak RM20,000 di samping TV LCD 32 inci LG. Dia tetap menganggap kemenangan kali ini berbaloi dengan segala usaha yang dilakukan sepanjang berada dalam program berkenaan.
"Harapan saya pada malam ini hanyalah mahu memberikan persembahan terbaik. Apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang kedua, saya sudah berasa gembira dengan kejayaan ini.
"Saya akui Misha banyak membantu saya dalam memberi penghayatan mendalam pada nyanyian. Saya memang minat pada Misha dan menjadi impian saya untuk duet bersamanya. Mengenai perancangan selepas ini, saya masih mahu meneruskan kerja asal saya dalam bidang perbankan dan pada masa yang sama, mahu karier nyanyian pergi seiring," katanya.
Pemenang tempat ketiga, Cassie pada persembahan pertama menerusi dua lagu, Langit Ketujuh nyanyian asal Sharifah Zarina dan Ku Mahu (Datuk Siti Nurhaliza) dikritik Hattan masih mempunyai kelemahan vokal walaupun mempunyai penghayatan yang baik. Liza pula menyifatkan Cassie 'lembik' pada lagu pertama sebelum kembali bersemangat pada lagu kedua. Ajai turut menyokong pandangan Liza mengenai masalah vokal dan lontaran secara mendatar menyerlah kelemahan diri hingga penghayatan tidak sampai.
Untuk persembahan segmen kedua menerusi lagu Mercy duet bersama Siti Sarah, Cassie gagal mengatasi kehebatan vokal pasangan duetnya hingga persembahannya kurang menyerlah. Bagaimanapun, Ajai masih memuji persembahan Cassie kali ini lebih baik berbanding persembahan segmen pertama.
Bagi persembahan Hairi, kelemahan sama pada aspek vokal turut membuatkan persembahannya hambar. Dia yang berduet bersama Fiq untuk dua lagu rock, Debunga Wangi (Lefthanded) dan Opera Hidup (Wings) dikatakan gagal menampilkan kehebatan vokal sendiri. Liza memberi komen Hairi dengan Fiq mempunyai keserasian dalam persembahan tetapi vokal Hairi tidak cukup bertenaga.
Hattan mengkritik vokal Hairi mendatar manakala Ajai menegur pitching yang masih mempunyai kelemahan. Pada persembahan segmen kedua menerusi Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussain) dan Kau Yang Bernama Seri (Handy Black), persembahan Hairi terus dikritik teruk. Liza menyifatkan persembahan kali ini seperti tidak serius dan Ajai memberi nasihat agar Hairi lebih berani melontarkan vokal sebagai penyanyi rock.
Mengenai komen keseluruhan, Hattan mengakui persembahan Wana lebih konsisten berbanding tiga peserta lain. Wana dinilai paling menyerlah pada persembahan hingga melayakkan diri menjadi juara musim kedua. Sementara itu, Pengurus A & R Warner Music (M) Sdn Bhd, Mokhtaza Ahmad berkata jaminan tiga bulan diberikan pada Wana untuk menghasilkan album debutnya nanti.
"Kami berharap album Wana dapat diterbitkan dalam tempoh tiga bulan ini. Mengikut pasaran muzik, kami tidak boleh terus menghasilkan 10 lagu baru untuk album debutnya tetapi dia juga akan tampil dengan single terlebih dulu.
"Kita juga akan berbincang dengan TV3 agar peserta lain masih diberi peluang untuk merakam album. Kami mempunyai perancangan tetapi ia tidak boleh diberitahu buat masa ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: