KETERUJAAN seluruh team produksi 'Slumdog Millionaire' setelah memenangi 8 Oscar baru-baru ini masih belum reda. Di India, semakin ramai yang mula memberi sanjungan dan pujian kepada komposer A.R Rahman sehinggakan sudah tercipta ayat pujian "Allah Rakha Rahman" (Allah selamatkan Rahman).
Kejayaan Rahman memenangi dua Oscar melalui skor muzik dan lagu ciptaannya 'Jai Ho' begitu disenangi ramai hinggalah ke masyarakat barat.
Rahman layak mendapat sanjungan itu kerana berjaya menaikkan nama negaranya di mata dunia. Kehebatan muzik ciptaannya juga tidak boleh dipertikaikan lagi. Malah ada yang kata, sepatutnya sudah lama Rahman dinobatkan sewaktu kegemilangan filem 'Dil Se' melalui lagu 'Chaiye Chaiye' yang dinyanyikan oleh hero Bollywood Shah Rukh Khan.
Kredibiliti Rahman bukan sesuatu yang baru. Sudah lama komposer ini memahatkan namanya di dunia Bollywood dan Hollywood. Cuma baru kini, dia diberi pengiktirafan setinggi ini.
Sejak mula mencipta nama pada tahun 1992, Rahman bermula dengan lagu ciptaan untuk filem Tamil "Roja". Filem ini kemudiannya dibuat dalam versi Hindi.
Kini namanya sebaris dengan nama bintang-bintang Hollywood dan berjaya memasukki rekod sebagai orang India pertama mendapat Golden Globe, orang India pertama mendapat Anugerah British Academy of Film and Television Arts (BAFTA) bagi kategori muzik dan orang India pertama membolot patung emas golden Oscar.
Filem "Slumdog Millionaire" arahan Danny Boyle yang diinspirasikan dari novel seorang diplomat India Vikas Swarup, arah tuju komposer berusia 41 tahun bagaikan sudah termeteri.
Dengan pencalonan sebanyak 10 kategori dan membolot lapan dari 10 anugerah, Rahman sendiri mengungguli dua yang mana satu daripadanya dikongsi bersama penulis lirik Gulzar melalui kemenangan 'Lagu Original Terbaik' "Jai Ho".
Kisah suka duka seorang anak yatim setinggan bernama Salim setelah memenangi Rs.20 million ($410,000) dalam program gameshow "Who Wants To Be A Millionaire?" versi India merupakan inspirasi setiap penduduk setinggan.
Secara tidak langsung ianya merupakan satu pengiktirafan kepada sinema India yang sudah lama dipandang rendah kerana terlalu mengagongkan lagu dan tarian dan cerita yang panjang. Kini Rahman membuktikan orang baratpun menghargai muzik India.
Rahman diberi tiga minggu saja untuk menyiapkan lagu dan skor muzik untuk filem ini.
Nama sebenar Rahman ialah A.S Dileep Kumar dan dilahirkan dalam sebuah keluarga Tamil Hindu. Ayahnya, R.K. Shekhar, seorang komposer yang membuat muzik untuk filem Malayalam movies.
Ayahnya meninggal dunia sewaktu Rahman berusia 9 tahun. Disebabkan kesempitan hidup, keluarganya terpaksa menyewakan semua peralatan muzik untuk meneruskan kehidupan.
Dua tahun kemudian, dalam usia 11 tahun, Rahman telah diterima bekerja sebagai pemain keyboard dalam kumpulan muzik di bawah trup komposer Ilayaraja, bagi menyara ibu dan tiga orang adik perempuannya.
Setelah menimba pengalaman bekerja dengan pengarah muzik terkemuka seperti Zakir Hussain dan L. Shankar, Rahman berjaya mencipta lagu jingle dan skor muzik bagi program TV. Sehingga kini, Rahman sudah mencipta 300 buah jingle.
Semasa fasa ini, Rahman berjaya mendapat ijazah dalam muzik klasik barat dari Trinity College of Music, London dan akhirnya membuka studio sendiri di Chennai, yang dikatakan studio paling sofistikated dan paling hi-tech di Asia.
Peluang keemasan untuk mencipta nama di peringkat antarabangsa dalam muzikal broadway "Bombay Dream" arahan Andrew Lloyd Webber.
Pada tahun 1989, atas sebab-sebab tertentu Dileep Kumar mengambil keputusan memeluk agama Islam dan menukar namanya kepada A.R. Rahman.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: