|
|
PADA mulanya, Kartini Kamalul Ariffin atau lebih mesra disapa Tini hanya menganggap kehadiran Nur Sulhi Jasmin sebagai teman sekerja.
Apatah lagi, mereka berkhidmat di bawah satu bumbung iaitu stesen yang semakin hari semakin hangat, Hot Fm.
Namun, yang bezanya adalah jawatan mereka. Tini adalah penyampai radionya manakala Nur Sulhi atau Sol pula sebagai pengurus acara di stesen radio itu.
Perkenalan mereka pada tahun 2006 rupanya tersimpan seribu rahsia dan tidak ramai yang tahu dalam diam, masing-masing menaruh hati dan perasaan antara satu sama lain.
Namun, semuanya terlerai apabila pada satu hari, Sol mempelawa Tini untuk keluar minum pada waktu petang dan ketika itulah, Sol meluahkan isi hatinya kepada selebriti berusia 30 tahun itu.
Mungkin menyedari takut Tini akan disambar orang tatkala Tini ketika itu akan melanjutkan pelajarannya ke London selama satu setengah tahun menyebabkan Sol berani melamar wanita ramah itu.
"Saya memang tidak percaya apabila mendengarkan kata-kata itu lahir daripada mulutnya (ketawa). Rasanya kalau saya tidak memberitahu yang saya akan ke London, tidak mungkin dia akan melamar saya.
"Apa pun, saya bersyukur kerana sepanjang tiga tahun kami berkenalan, semuanya berjalan lancar dan apabila diijab kabulkan hari ini, saya rasa begitu bertuah. Insya-Allah, saya sudah bersedia untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri," ungkap Tini dalam nada yang cukup gembira ketika ditemui selepas majlis pernikahannya di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur hujung minggu lalu.
Dengan dua kali lafaz sahaja, Tini sah menjadi milik Sol dalam majlis yang berlangsung dalam suasana yang harmoni dan penuh kesederhanaan itu.
Apa yang lebih manis lagi adalah Tini dinikahkan sendiri oleh ayahandanya, Datuk Kamalul Ariffin Abdul Rahim sambil disaksikan oleh Imam Masjid Pulapol, Rahimi Abdul Rajab.
Bekas pengacara rancangan 3R ini juga menerima mas kahwin sebanyak RM80 di samping wang hantaran RM10,000 dan sebentuk cincin daripada suaminya.
Pihak pengantin perempuan juga menerima 11 dulang hantaran yang merangkumi antaranya sejadah, telekung, barangan kosmetik dan wangian, kek dan jam tangan.
Sebagai balasan, pihak lelaki menerima 13 dulang yang terdiri daripada dua biji kek, bakul buah-buahan, coklat, songket, jam tangan, kemeja dan tali leher, sepasang but dan juga tepak sirih.
Untuk merai cinta mereka, ternyata Tini dan Sol mengutamakan perkara yang wajib sahaja apabila melangsungkan pernikahan tanpa mengikat tali pertunangan.
Malah, pada 23 Mac tahun lalu, ketika rombongan pihak lelaki datang untuk merisik, kedua-dua keluarga telah sepakat untuk terus melangsungkanpernikahan.
Menyambung bicara, Tini yang sememangnya cukup ramah memberitahu, hatinya terbuka untuk menerima Sol adalah kerana jejaka itu menerima dirinya seadanya.
Malah, Tini dengan penuh optimis memberitahu, meskipun jarak usia mereka adalah dua tahun, itu bukan penghalang untuk masing-masing mencipta satu perhubungan yang matang.
"Bukan itu sahaja, dia mempunyai personaliti yang cukup kuat serta pandai memujuk," jelas Tini tersipu malu sambil memandang suami tercinta di sisi.
Bagi Sol pula, hubungan cintanya dengan Tini bertambah kuat apabila suri hidupnya itu merupakan seorang yang berdikari selain mempunyai pandangan serta pendirian yang tersendiri.
"Bukan itu sahaja, kami juga berkongsi hobi yang sama iaitu suka menyelam. Disebabkan itu juga, kami sepakat untuk pergi berbulan madu di salah sebuah pulau peranginan negara untuk menyelami dasar laut negara," jelas Sol pula tentang rancangan bulan madu mereka pada bulan Mac atau April ini.
Ditanya tentang perihal cahaya mata pula, Tini dengan penuh jujurnya memberitahu, dia mahu menghabiskan masa berdua bersama Sol dulu sebelum masing-masing melangkah setapak lagi dalam fasa kehidupan mereka.
Pada sebelah petang hari yang sama, majlis resepsi telah diadakan dengan mengambil tema warna merah hati yang juga merupakan warna kegemaran Tini.
Berkonsepkan tradisional, majlis yang diacarakan oleh Faizal Ismail dan Rafidah Abdullah itu menyaksikan 1,000 orang tetamu yang hadir untuk meraikan cinta sejati pasangan sejoli ini.
Bagi majlis menyambut tetamu pula, ia akan diadakan pada Sabtu ini di Kota Tinggi, Johor.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: