Wednesday, February 25, 2009

Ashraf, Sherry harap bertemu jodoh




Dua pelakon mahu tumpu impian dalam bidang seni sebelum buat persiapan menempuh alam rumah tangga

SIAPA sangka di sebalik kerjaya lakonannya yang glamor, Ashraf Muslim, pernah mengikuti latihan ketenteraan ketika belajar selama empat tahun di Maktab Tentera Diraja (MTD) dari 1994 hingga 1998, sekali gus mematangkan dirinya berbanding usianya yang baru mencecah 28 tahun.

Malah, latihan ketenteraan itu yang memberikannya kekuatan dalaman, selain membentuk keperibadiannya hingga menjadikan beliau seorang pelakon bertanggungjawab, berdisiplin tinggi dan berdedikasi pada kerjanya, terutama di lokasi penggambaran.

“Di MTD, saya banyak diajar tentang erti kehidupan sebenarnya, di mana kita perlu ada matlamat hidup. Ini kemudian saya praktikkan dalam karier lakonan. Sebenarnya, saya bersyukur kerana latihan inilah yang banyak mengubah corak kehidupan saya,” katanya.



Finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 bagi kategori Pelakon TV Lelaki Popular ini turut mengakui, jika tidak berlakon, sudah tentu beliau akan memilih kerjaya sebagai seorang pegawai tentera.

“Sebenarnya, saya seorang pegawai tentera bertauliah berpangkat Leftenan Muda dalam Unit Latihan Tentera Simpanan (ROTU). Sebaik keluar dari MTD, saya terus menyertai unit ini kerana terlalu meminati kerjaya sebagai pegawai tentera.

“Pada masa sama, saya mula berjinak dalam perniagaan hinggakan tidak punya banyak masa untuk sambung (tugas) di ROTU. Memang saya berminat untuk menyertainya semula, mungkin kalau tidak berlakon lagi selepas ini,” kata Ashraf sambil mengakui beliau tidak pernah merancang berada lama dalam bidang lakonan, mungkin untuk tempoh empat atau lima tahun lagi kerana sudah membuat perancangan lain untuk kehidupannya.

“Mungkin saya akan kembali dalam bidang perniagaan atau kembali menyarung pakaian seragam tentera. Tidak tahulah bagaimana nanti. Buat masa sekarang, masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenainya. Biarlah saya bertumpu kepada kerjaya sedia ada dulu,” katanya.

Ashraf lebih minat teater

Walaupun pernah beraksi dalam banyak dan telefilem, Ashraf lebih dikenali sebagai pelakon teater, terutama ketika terpilih membintangi teater muzikal, Patriot, karya dan arahan A Rahman Adam, yang dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur akhir tahun lalu.

Selain melonjakkan namanya dalam bidang lakonan, pementasan itu juga yang banyak membantu mengasah kemahiran lakonannya hingga kini beliau dilabelkan sebagai salah seorang hero angkatan baru, dengan kemampuan melakonkan pelbagai watak.

“Pembabitan saya dalam bidang lakonan melalui drama bersiri, Impian Elyana. Ketika itu, saya menceburi bidang lakonan tanpa apa-apa latihan asas. Sebab itulah, apabila ditawarkan berlakon dalam Patriot, saya terus menerimanya atas niat mahu mendalami asas lakonan.

“Bukannya tidak boleh ambil kelas (lakonan), cuma berlakon teater ini lebih praktikal untuk kita belajar. Selain Patriot, saya juga pernah beraksi dalam Patung Kertas. Saya seronok kerana berpeluang mempelajari pelbagai perkara baru dan menimba pengalaman,” katanya.

Katanya, ramai pelakon tempatan yang berjaya ketika ini lahir dari pentas teater, dengan kehebatan mereka bukan saja dari segi vokal, malah ekspresi wajah, menjiwai watak dan menghidupkan karektor hingga meninggalkan kesan kepada penonton.

“Inilah yang saya dapat dari teater. Saya akui berbanding drama atau filem, berlakon teater lebih mencabar kerana persembahan dilakukan secara langsung di hadapan audiens. Jika ada pengarah sekalipun, dia tidak boleh berbuat apa-apa kalau pementasan sudah bermula. Jad, aspek latihan sentiasa ditekankan untuk memastikan kesempurnaan. Berbanding drama atau filem, persembahan lebih kepada rakaman. Jika ada kesilapan, adegan boleh dilakonkan semula dan diulang rakam hingga sempurna, malah ada pengarah yang mengawal selia produksi,” katanya.

Belum pernah berlakon filem, Ashraf mengharapkan ada penerbit yang sudi memberikan tawaran untuk mencuba kemampuannya di layar perak, sekali gus mempelbagaikan medium lakonannya yang kini lebih bertumpu kepada teater, drama dan telefilem.

“Untuk 2009, memang saya berharap menerima tawaran berlakon filem. Saya rasa sudah bersedia untuk menyahut cabaran di layar perak pula,” katanya.

Sembunyikan hubungan cinta

Berbanding pasangan artis lain yang sedang bercinta, Ashraf dan buah hatinya, Sherry Ibrahim pandai menyembunyikan hubungan intim mereka daripada pengetahuan media walaupun sedang muncul berdua dalam pelbagai majlis hiburan sebelum ini. Malah, tidak banyak kisah percintaan mereka dipaparkan akhbar dan majalah hiburan di negara ini, sebaliknya tumpuan lebih berkisarkan perjalanan seni masing-masing.

Sambil berterima kasih kepada pengurus peribadinya, Meor Shariman kerana banyak membimbingnya, Ashraf mengakui, cukup senang dengan keadaan itu kerana menganggap boleh mengecapi populariti menerusi aksinya di kaca TV mahupun pentas teater, bukannya kisah cinta sensasi.

“Sebenarnya, saya lebih suka orang memperkatakan lakonan saya dalam sesuatu drama ataupun teater, bukan kisah peribadi saya. Jika anda perhatikan, jarang saya bercerita mengenai kehidupan peribadi, termasuk percintaan saya melainkan kalau ditanya (wartawan). Saya seboleh-bolehnya mengelak bercerita fasal hal ini kerana lebih suka bercerita soal kerjaya. Syukurlah, pengurus saya berpengalaman luas dalam bidang media. Dia banyak menasihati apa yang patutnya diceritakan kepada media, cerita apa yang patut didiamkan,” katanya.

Ashraf juga berkata, beliau dan buah hatinya itu lebih suka bersikap `low profile’ jika tiada apa-apa perkembangan terbaru mengenai diri mahupun karier seni mereka kerana menganggap publisiti berlebihan boleh mendatangkan kesan negatif terhadap diri masing-masing.

“Kita sebagai manusia tidak boleh lari dari sifat cuai dan melakukan kesilapan. Kami bimbang kalau cerita berlebih-lebihan nanti, bimbang cerita tidak baik pula yang keluar sedangkan kita melakukan sesuatu yang betul,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak kisah masyarakat mengetahui kisah peribadinya, sesuai dengan kedudukan seseorang selebriti, termasuk pelakon yang dimiliki masyarakat.

Sherry pula memberitahu mereka saling mengingatkan diri masing-masing supaya bijak menjaga tingkah laku, sesuai dengan kedudukan mereka sebagai pelakon popular, dengan setiap gerak geri sentiasa menjadi tumpuan orang ramai.

“Alhamdulillah, tiada cerita negatif mengenai kami keluar bersama setakat ini. Yang penting, kita perlu menjadi diri sendiri dan tidak hipokrit. Mesti jujur pada diri dan orang sekeliling, selain sentiasa ikhlas melakukan sesuatu kerja,” katanya.

Akui sudah rancang perkahwinan

Ditanya sama ada mereka ada perancagan untuk mendirikan rumah tangga, Ashraf berkata, perkara itu memang ada tetapi tidak mahu terburu-buru melakukannya kerana mahu mengejar impian dalam karier seni masing-masing.

“Dalam kehidupan, kita mesti ada sasaran, begitu juga dalam sesuatu perhubungan. Perancangan (berkahwin) memang ada tetapi tidak tahulah bila. Kami tidak mahu tergesa-gesa kerana banyak persiapan perlu dibuat sebelum menempuh alam berumah tangga.

“Buat masa ini, tumpuan kami lebih kepada kerjaya. Banyak impian kami yang belum tercapai lagi. Jika ada rezeki, bersatu juga kami suatu hari nanti. Insya-Allah, kalau ada jodoh kami tidak akan ke mana-mana. Yang pasti, kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan,” katanya.

Beliau mengakui mengenali buah hatinya itu melalui seorang kawan tiga tahun lalu, malah tidak tahu Sherry adalah seorang pelakon.

“Sebenarnya, dia pun tidak tahu saya juga seorang pelakon. Dari seorang kawan baik, hubungan kami bertambah rapat. Sherry banyak membantu saya, tempat saya berkongsi masalah. Saya senang berkawan dengannya. Saya juga sukakan Sherry kerana dia berfikiran terbuka, berterus-terang dan mudah dibawa berbincang. Orang sepertinya senang diajak berbual mengenai apa saja. Disebabkan saya seorang yang pendiam, manakala Sherry peramah, perbualan kami selalunya tidak membosankan,,” katanya.

Sherry yang tersipu-sipu mendengar pengakuan ikhlas buah hatinya pula berkata, terserah kepada takdir untuk menentukan jodoh mereka.

“Buat masa sekarang, biarlah kami bertumpu kepada perkembangan kerjaya seni masing-masing. Kami masih baru dalam bidang dan perjalanan masih jauh. Namun, apa yang boleh saya katakan, saya seronok mengenali dia dan keluarganya,” katanya.

Malah, Sherry bersyukur jika jodohnya ditakdirkan dengan hero kacak itu kerana beliau menepati ciri lelaki idamannya selama ini.

“Ashraf seorang lelaki bertanggungjawab, tidak hanya sebagai seorang kekasih tetapi sebagai seorang sahabat. Itulah kualiti yang ada pada dirinya. Pada dirinya juga ada kualiti kepemimpinan, selain sentiasa tenang dan fokus walaupun dalam situasi kritikal. Dia sentiasa menjadi tempat saya mengadu masalah dan mendapatkan nasihat. Bagi saya, dia bukan sekadar kekasih tetapi rakan karib. Saya bersyukur sekiranya jodoh kami panjang hingga ke jenjang pelamin dan seterusnya ke akhir hayat,” katanya.

Info Ashraf
Nama Sebenar: Mohd Ashraf Muslim
Usia: 28 tahun
Tarikh Lahir: 19 September 1981
Asal: Teluk Mas, Melaka
Keluarga: Anak Sulung (Dari Tujuh Beradik)
Akademik: Maktab Tentera DiRaja - Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Kuala Lumpur Infrastructure University College - Diploma Pentadbiran Perniagaan
Kerjaya: Model, Pelakon dan Ahli Perniagaan
Drama/Telefilem: Niyang Rapik, Sembilu, Jangan Lupa, Impian Illyana, Manjalara, Impak Maksima - The Series, Lagu Cinta Kita, Anumerta dan Rumah Depan Sebelah Kedai
Teater: Patung Kertas dan Patriot
Pencapaian Terbaik: Finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (Pelakon TV Lelaki Popular), Cleo 50 Most Eligible Bachelor 2006.

Info Sherry
Nama Sebenar: Syarizad Ibrahim
Usia: 25 tahun
Tarikh Lahir: 3 April 1983
Asal: Petaling Jaya, Selangor
Keluarga: Anak Sulung (Dari Tiga Beradik)
Kerjaya: Model, Pelakon dan Hos TV
Pengalaman Kerja: Pramugari (Penerbangan Malaysia)
Drama/Telefilem: Dunia Baru (Musim Ke-2 & 3), Lara Rindu Mahsuri, Cinta Tak Bertepi, Jelatang, Elly, Akademi Polis, Renjis, Di Bawah Ketiak Isteri,
Filem: Maut
Iklan Komersial: Prefer, HSBC, McDonald's, Pelancongan Malaysia dan TM (Telekom Malaysia).

Mekap: Rieza Amour (013-4343615)/Rambut: Zul Basri 012-381 2671)
Busana: Belicious Boutique Cafe, LG-03A Jalan PJU8/3A, Emerald Plaza North, Damansara Perdana, Petaling Jaya (www,beliciousboutique.com)
Kenderaan: Sime Darby Auto ConneXion Sdn Bhd (Range Rover 4.4 HSE).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: