Saturday, February 28, 2009

Terbang enam minit di udara




Jarum altimeter yang dipasang kemas di bahagian perut merangkak perlahan-lahan. Dari angka kosong, jarum hitam itu kemudiannya semakin pantas melewati satu persatu titik-titik kecil di dalamnya.

Pesawat Cessna 172 itu agak sempit. Ia hanya boleh memuatkan seorang juruterbang, jurulatih terjunan dan dua orang penerjun pada satu-satu masa. Dengan pintu terbuka, setiap penumpang dapat mendengar bunyi enjin dan angin dengan begitu jelas.

Setelah berlegar di ruang angkasa Segamat, Johor untuk beberapa ketika, enjin pesawat diperlahankan, menandakan itu adalah lokasi terbaik untuk melakukan penerjunan. Sementara meter terhenti pada angka 2.5, menunjukkan bahawa kami berada pada ketinggian 2,500 kaki dari permukaan bumi.

"Jumper number one, take your position!" jerit jurulatih terjunan, Shamsudin Mohd. Amin, 26, atau lebih dikenali sebagai Jidin dengan serius.

Antara berani dan takut, penerjun pertama mula memegang palang di sisi pesawat dan meletakkan kaki kiri di satu pelantar khas dan kaki kanan di atas tayar pesawat.

"Go! Go!" jerit Jidin. Masih memegang kejap palang pesawat, nampaknya dia masih belum bersedia untuk terjun. "Go! Go!" jeritnya lagi. Entah dari mana mendapat keberanian, dia akhirnya melepaskan tangan sambil sayup-sayup saya mendengar jeritannya.


SALAH satu contoh pendaratan yang agak menyakitkan.


Degupan jantung saya semakin kencang dan doa dalam hati pun bertambah panjang. Sebabnya, beberapa minit lagi tibalah giliran saya untuk terjun.

"Huh!" dengus Jidin, sambil mengarahkan saya untuk mendekati pintu pesawat yang luas ternganga.

Bingit angin yang menerpa deras dan sejuk boleh membuatkan sesiapa sahaja bertukar fikiran sama ada untuk terjun atau kembali masuk ke dalam kabin pesawat.

Memegang palang pesawat sekuat hati, saya menarik nafas panjang sambil 'menyumpah diri sendiri' kenapa saya dengan yakinnya menerima pelawaan untuk membuat penerjunan itu.

Apa-apa pun, sudah lambat untuk menyesal dan berpatah balik. Melihat rumah-rumah yang sekecil kotak mancis membuatkan perut saya semakin kecut. Inilah pengalaman kali pertama saya melakukan penerjunan statik dari ketinggian 2,500 kaki dari permukaan bumi.

Selepas mendapat arahan daripada Jidin, saya memberanikan diri melepaskan tangan sambil diiringi dengan jeritan paling kuat dan lama pernah saya lakukan.

Badan terasa berpusing akibat tolakan angin dan saya terus mendongakkan kepala sebagaimana yang diajar dalam kursus sehari sebelumnya.


PAYUNG terjun mesti dikendalikan dengan sebaik mungkin bagi mengelakkannya terkoyak atau rosak.


Hilang sudah kiraan yang sepatutnya dibuat, sebelum terasa badan tersentak ke atas, sekali gus menandakan payung mula kembang.

"Jumper number two, payung kembang dengan baik. Tarik slider sekarang! Tarik slider sekarang!," arah satu suara dari radio. Terkial-kial, saya terpaksa 'memanjat' dan menarik semua empat bucu slider yang berada agak jauh daripada jangkauan.

Slider yang berbentuk empat segi itu mesti diikat atau diturunkan bagi mengelakkannya daripada naik semula ke atas, kemudiannya boleh menyebabkan payung terjun menguncup.

Sekiranya menguncup, pasti ia bukanlah situasi yang mahu ditempuh oleh mana-mana penerjun, walaupun penerjun profesional.

Melepaskan nafas lega, mata saya pantas mencari toggle yang perlu dipegang. Toggle ini berfungsi sebagai brek memperlahankan pergerakan, selain 'stereng' untuk mengubah arah ke kiri atau ke kanan.

"Jangan sesekali lepaskan toggle ketika berada di atas sana. Pegang sehingga anda semua selamat mendarat," pesan jurulatih yang juga seorang pesara komando, Mohd. Fadzir Sharif, 43.


PENERJUN perlu memegang palang pesawat dan memijak pelantar dengan betul sebelum melakukan penerjunan.


Jantung saya kembali berdegup mengikut rentak yang normal. Inilah masanya untuk saya menikmati keindahan pemandangan dari atas dan keseronokan terbang di udara.

Melayang ke arah tiupan angin, saya terasa dibuai-buai dengan kelajuan sederhana, sambil sesekali menarik toggle ke kiri dan ke kanan untuk mengubah haluan.

Dari jauh, hamparan landasan tanah merah Lapangan Terbang Segamat yang menjadi zon mendarat dapat dilihat dengan jelas. Supaya tidak tersasar dari zon tersebut, saya mesti mendengar arahan dari radio sepanjang masa dan tidak boleh panik atau leka.


BEGINILAH kedudukan tubuh yang perlu dilakukan sebaik sahaja penerjun keluar dari pesawat.


Masa kira-kira enam minit berada di ruang angkasa terasa begitu pantas berlalu. Tarikan graviti kian terasa. Maksudnya, saya perlu berdepan dengan satu lagi 'azab' dalam sukan ekstrem ini, apa lagi kalau bukan mendarat seselamat mungkin.

Rasa bimbang semakin ketara apatah lagi setelah melihat ramai penerjun sebelum ini 'tergolek' ketika mendarat. Ada yang mendarat di atas lopak air, tar dan rumput, dalam keadaan tersembam dan pelbagai jenis 'stunt' yang lain.

Apa yang paling kritikal ketika mendarat ialah mengendalikan toggle atau brek dengan baik. Penerjun perlu bijak menarik toggle sama ada suku, separuh atau sepenuhnya berdasarkan ketinggian dan mesti mengikut arahan daripada jurulatih yang berada di bawah.


SEMUA peserta tekun mendengar taklimat terakhir sebelum bersiap sedia memakai kelengkapan untuk terjun.


Pada ketinggian yang sesuai untuk mendarat, penerjun juga tidak boleh menarik toggle ke kiri atau kanan sepenuhnya bagi mengelakkan mereka berpusing dan terhempas ke tanah.

Jangan sesekali menarik atau melepaskan toggle secara mengejut kerana ia boleh mengurangkan keberkesanan membrek ketika hendak mendarat. Penting juga diingatkan kepada penerjun supaya tidak menarik toggle sepenuhnya sebelum masanya.

Sebabnya, tindakan 'brek mengejut' itu akan membuatkan mereka tergantung, terbuai dan mendarat dengan bahagian belakang dahulu mencecah bumi.


MOHD. FADZIR menerangkan fungsi-fungsi peralatan yang ada pada payung terjun kepada semua peserta kursus.


Tidak mahu berdepan dengan pendaratan yang menyakitkan, saya menarik toggle sebagaimana yang diarahkan. Hasilnya? Saya tergolek juga di atas kawasan berumput, mujurlah tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Sukan ini selamat. Apatah lagi kemungkinan payung terjun untuk mengembang adalah 99 peratus. Selagi penerjun tidak terlalu takut dan mengikut segala arahan yang diberi, mereka tidak akan berdepan dengan sebarang masalah.

"Kalau terluka, tercalar atau mendarat dalam keadaan kurang baik, itu biasalah. Rasa takut perlu ada dalam setiap penerjunan kerana perasaan itu akan membuatkan kita lebih berhati-hati," kata Jidin sambil tersenyum.

Penerjunan statik yang bermula kira-kira pukul 11 pagi pada Ahad lalu turut disertai oleh 14 orang penerjun dari Kuala Lumpur.

Biarpun hanya berada beberapa minit di 'awang-awangan', hanya satu perkataan yang saya boleh gambarkan mengenai pengalaman ini. Terbaik!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: