Friday, February 27, 2009

Sasha bertukar Shinta


SEKALI lihat, tidak ada apa yang sukar kepada penari Tarian Kecak di Pulau Bali kerana tiada sebarang instrumen muzik digunakan selain daripada kumpulan lelaki duduk berbaris dan dengan irama tertentu menyerukan 'cak' serta mengangkat kedua-dua lengan bagi menggambarkan kisah Dewa Monyet membantu Rama melawan Rahwana yang sinonim dengan ajaran Hindu.

Tarian itu dimainkan dalam satu kumpulan seramai 50 hingga 100 orang manakala penari utama akan beraksi mengikut epik Ramayana yang terkenal dalam kisah dewa Hindu.

Dengan wujudnya watak antagonis dan protagonis, jalan cerita Tarian Kecak memperlihatkan aksi penari utama dan seterunya bertempur seperti watak Rama, Shinta, Rahwana, Hanoman dan Sugriwa.

Bagaimanapun, bagi pengacara program Dansa, Sasha Bashir, Tarian Kecak adalah satu pengalaman unik kerana kesukaran serta kelainan ditonjolkan.

Dalam episod keenam Dansa, jam 5 petang, Sabtu ini, penonton akan dapat meneroka bagaimana pengacara jelita itu mempelajari Tarian Kecak dan memegang watak sebagai Shinta, isteri yang setia kepada Rama ketika memerangi kuasa kejahatan.

"Bagi saya, tarian ini susah dan janggal, apatah lagi mempelajarinya dalam tempoh tiga hari saja.

"Ia berlainan daripada tarian lain kerana saya perlu melakukan dua pergerakan bertentangan dalam satu masa umpamanya tangan ke arah kiri manakala badan ke arah kanan.

"Posisi siku pula sentiasa perlu dalam keadaan diangkat manakala lutut dibengkoknya untuk merendahkan badan," katanya.

Menyentuh mengenai kostum tarian itu, Sasha berkata, selama dua jam diperlukan untuk memakai pakaian, aksesori dan mekap untuk watak Shinta.

"Saya perlu memakai beberapa lapis kain ditambah dengan pelbagai aksesori untuk menjayakan watak Shinta manakala setiap watak mempunyai posisi tertentu yang dipanggil 'Agem'.



"Untuk watak Shinta, saya perlu merendahkan badan, manakala pergerakan mata turut memainkan peranan penting.

"Disebabkan latar belakang saya sebagai penari kontemporari, ia menjadi satu pengalaman berharga kerana banyak perkara baru dipelajari sepanjang memahami Tarian Kecak," katanya.

Sasha berkata, watak utama Tarian Kecak boleh ditarikan wanita, cuma penari latar yang membunyikan irama 'cak' hanya dilakukan lelaki.

"Peluang menarikan kesenian popular di Bali ini memberi kepuasan tersendiri kepada saya kerana berhadapan kesukaran serta kelainan yang dipelajari.

"Bagi saya, keunikan itu perlu didedahkan kepada penonton kerana tanpa wujudnya rasa minat itu, seni ini mungkin satu hari nanti akan hilang ditelan masa," katanya.

Menurutnya, walaupun mempelajari Tarian Kecak dalam tempoh singkat, namun dia tetap berpuas hati dengan pencapaian serta pengalaman diperoleh sepanjang latihan berkenaan.

Katanya, dansa adalah satu dokumentari mini di mana semua perkara yang perlu diketahui penonton mengenai sesebuah tarian dipaparkan.

"Saya berharap penonton dapat menghargai kesenian sesebuah tarian itu kerana ia bukan saja membabitkan pergerakan malah asal usul dan bagaimana ia dipelajari," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: